Share |

Dasar Belia Negara

Rancangan Tindakan Strategi

Pembangunan Sukan

  • Pembangunan sukan negara bagi kedua-dua sektor aktiviti hendaklah dilaksanakan serentak secara kesinambungan (continuum), terselaras dan bersepadu, bukan sahaja antara dua sektor sukan tetapi juga antara satu program dengan program yang lain dalam sektor berkenaan seperti dicontohkan di bawah: ­
  • Satu rancangan kasar peringkat awal (blueprint) yang meliputi tajuk-tajuk seperti (a) kepimpinan, (b) pengurusan, dan (c) sumber-sumber bagi tempoh lima tahun hendaklah disediakan untuk kedua-dua sektor aktiviti dan tiap-tiap program.
  • Sektor "Sukan Untuk Masyarakat" amatlah penting dan hendaklah diberi keutamaan dan penekanan yang lebih daripada sektor "Sukan Prestasi Tinggi". Ia bertujuan untuk mempertingkatkan penyertaan yang aktif di kalangan masyarakat dan untuk mengukuhkan asas atau tapak ke arah melahirkan kemahiran bagi mencapai prestasi yang tinggi. Sebahagian besar daripada tujuan sukan negara akan tercapai melalui sektor "Sukan Untuk Masyarakat".
  • Bagi pembangunan sektor "Sukan Prestasi Tinggi" yang mengandungi tiga program yang terkemuka, bakat (tidak keseluruhannya), pelapis dan elit, adalah wajar semua jenis sukan yang berjumlah lebih daripada 30 dimajukan serentak tetapi hanya beberapa jenis sukan sahaja diutamakan. Pemilihannya hendaklah berdasarkan kepada faktor-faktor tertentu, seperti mutu semasa dan potensi, persediaan dan perancangan dan multi pengurusan persatuan termasuk teknikal.
  • Penyertaan atlit dan pasukan negara di kejohanan anjuran persekutuan sukan, seperti Sukan SEA hendaklah dihadkan kepada sukan yang boleh memperlihatkan mutu walaupun pendedahan di kalangan antarabangsa terus digalakkan.

Kepimpinan

Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan

  • Antara rancangan tindakan strategi yang akan diutamakan ialah kepimpinan yang melibatkan struktur organisasi, pembahagian peranan, kuasa dan tanggungjawab di pihak Kerajaan dan pertubuhan-pertubuhan sukan.
  • Kerajaan melalui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan akan terus memimpin, menggalak dan membantu pembangunan dan perkembangan sukan ­ bertanggungjawab dalam perkara dasar dan penyelarasan.
  • Sebuah undang-undang mengenai sukan, iaitu "Brunei Darussalam Sports and Recreation Act" adalah dicadangkan. Antara perkara-perkara terkemuka ialah: ­
    • Peranan, kuasa dan tanggungjawab Menteri;
    • Penubuhan sebuah Jabatan Sukan dan Rekreasi;
      Penubuhan Majlis Penasihat Kebangsaan Sukan; dan
    • Penubuhan sebuah Yayasan Sukan Kebangsaan.

Kementerian Pendidikan

Kementerian Pendidikan mempunyai peranan dan tanggungjawab yang tidak kurang penting untuk pembangunan sukan negara (a) dasar pelajaran negara dapat memberi sumbangan dan penggalakkan kepada dasar sukan negara, (b) murid-murid sekolah dan penuntut institusi pelajaran tinggi merupakan kumpulan sasaran yang besar dan penting bagi program di kedua-dua sektor sukan dan (c) guru-guru merupakan sumber jurulatih dan pegawai yang penting.

Antara sumbangan Kementerian Pendidikan ialah: ­

  • Penggubalan kurikulum persekolahan yang menggalakkan perkembangan aktiviti sukan dan pendidikan jasmani;
  • Penggubalan kurikulum latihan guru yang menggalakan perkembangan pendidikan jasmani dan kejurulatihan;
  • Perancangan dan pelaksanaan program mencungkil bakat dan potensi ke arah kecemerlangan sebagai sebahagian daripada rancangan pembangunan sukan negara;
  • Penubuhan "Pusat Cemerlang" bagi beberapa jenis sukan tertentu;
  • Persediaan menubuhkan "Sekolah Sukan"; dan
  • Penubuhan sebuah majlis sukan sekolah-sekolah bagi memperkemaskan pengurusan dan perlaksanaan program termasuk pertandingan di dalam dan di luar negeri.
  • Kementerian dan Jabatan Kerajaan hendaklah mempertingkatkan lagi usaha memajukan sukan dan rekreasi di kalangan pegawai dan kakitangan melalui program yang berperancangan. Sebuah majlis penyelaras dicadang dan ditubuhkan.

Pertubuhan Sukan

  • Keberkesanan dasar sukan negara dan pelaksanaan segala program sukan, sebahagian besarnya, terletak ke atas persatuan-persatuan sukan kebangsaan. Selain daripada itu, pertubuhan dan kelab belia/sukan turut bertanggungjawab untuk mempertingkatkan penyertaan.
  • Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam sebagai anggota Interna­tional Olympic Committee dan memperjuangkan "semangat olimpik" dan menyelaraskan persatuan sukan kebangsaan mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk membangun dan memajukan sukan terutama ke arah kecemerlangan. Dasar Sukan Negara menekankan supaya majlis ini berfungsi lebih aktif menjalankan tugas dan tanggungjawabnya. Penubuhan pertubuhan sukan yang boleh memberi khidmat sokongan seperti persatuan sains sukan dan persatuan jurulatih clan sebagainya hendaklah digalakkan.

Pengurusan

  • Rancangan tindakan strategi hendaklah mewujudkan "professionalism" dan kecekapan dalam bidang pengurusan di kalangan sektor bukan Kerajaan seperti Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan Persatuan Sukan Kebangsaan. Antara rancangan yang dicadangkan di bawah satu skim bantuan pengurusan sukan ialah:
    • Menubuhkan sebuah unit khas di Kementerian atau di Jabatan untuk menyelaras perkara-perkara pengurusan dan teknikal dengan persatuan-persatuan dan pertubuhan sukan
    • Perlantikan seorang setiausaha kerja sepenuh masa untuk kerja-kerja pentadbiran dan perancangan (sebagai permulaan beberapa persatuan sukan yang tertentu sahaja akan terlibat).
    • Menempatkan beberapa persatuan sukan kebangsaan secara satu kumpulan di sebuah "Balai Sukan" atau "Sport House" yang menggunakan perkhidmatan guna sama kakitangan, alat kelengkapan pejabat, perkhidmatan penerbitan, perpustakaan dan lain-lain.

Kejurulatihan

  • Masalah yang mendesak dalam pembangunan sukan tanahair ialah kejurulatihan, baik dari segi jumlah mahupun kelayakan dan pengalaman dan sistem persijilan yang seragam. Maka hendaklah ditubuhkan sebuah Lembaga Kejurulatihan Kebangsaan anjuran Kerajaan untuk menyelaras dan membantu persatuan-persatuan sukan. Lembaga hendaklah mewujudkan satu kurikulum kejurulatihan dan skim persijilan yang diiktiraf bersama oleh Kerajaan dan persatuan sukan kebangsaan ke arah menjadikan kejurulatihan sebagai satu profesyen.

Kemudahan Sukan

  • Berbagai-bagai kemudahan sukan telah disediakan dan dirancang oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian/]abatan, seperti Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan dan pihak berkuasa tempatan. Kemudahan-kemudahan ini pada keseluruhannya dapat memenuhi kehendak semasa. Walau bagaimanapun terdapat kelemahan dari segi penyelarasan penggunaan kemudahan-kemudahan tersebut yang menimbulkan keadaan penggunaan yang tidak maksima. Taburan (distribution) dan penyelenggaraan kurang menggalakkan kemajuan sukan terutama di sektor "Sukan Untuk Masyarakat".
  • Satu rancangan kasar peringkat awal (blueprint) untuk tempoh 20 tahun berkenaan kemudahan sukan hendaklah disediakan berpandukan kepada strategi kedua-dua sektor aktiviti sukan, serta merangkumkan rancangan yang sedia ada, yang mana sesuai.
  • Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Jabatan Belia dan Sukan hendaklah berperanan sebagai penyelaras bagi rancangan kemudahan sukan di sektor Kerajaan dan di sektor bukan kerajaan. Satu garispandu ke arah penyelarasan penggunaan hendaklah disediakan selepas perbincangan dengan agensi-agensi tuan punya/penyelenggara dan pihak pengguna seperti persatuan sukan kebangsaan.
  • Pihak berkuasa yang merancangkan pembangunan bandar dan desa dan alam sekitar hendaklah memasukkan rancangan kemudahan sukan dan rekreasi mengikut dasar, pawaian, spefikasi yang ditetapkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan berpandukan "blueprint" yang disediakan.

Kewangan

  • Sehingga ini hampir keseluruhan sumber kewangan untuk pembangunan dan kemajuan sukan bergantung kepada sumber Kerajaan. Dasar Sukan Negara menekankan supaya lama-kelamaan dan setapak demi setapak semua program sukan dapat berdikari dan mempunyai sumber kewangannya sendiri dan semua program dapat diungkayahkan tanpa masalah kewangan.

Yayasan Sukan

  • Sebuah Yayasan Sukan Negara (National Sports Foundation) dicadang ditubuhkan di bawah "Brunei Darussalam Sports and Recreation Act" sebagai sumber kewangan dan agensi pembangunan ekonomi belia dan sukan. Selain daripada pemberian pelancaran Kerajaan dan derma dan sumbangan daripada sektor swasta, sebahagian besar aset-aset Yayasan akan diperolehi daripada orang ramai, terutama masyarakat belia dan sukan melalui pembelian saham dan sebagainya.
  • Yayasan akan mengambil langkah-langkah menggalakkan pertumbuhan ekonomi di kalangan belia dan sektor sukan seperti pelaburan, pembuatan (manufacturing) alat-alat sukan dan mengadakan kejohanan antarabangsa yang menggalakkan pertumbuhan industri pelancongan dan "celebrity".

Penggalakan (Insentif)

  • Usaha-usaha penggalakan kepada atlit, jurulatih dan pegawai hendaklah diperting­katkan kerana ia amat penting untuk menggalakkan kepimpinan dan meningkatkan kecemerlangan. Antara insentif ini, ialah pemberian pelancaran, subsidi tahunan untuk pentadbiran bagi kelab dan persatuan belia dan sukan yang mempunyai program ke arah memajukan "Sukan Untuk Masyarakat", hadiah kemenangan, bantuan perbelanjaan latihan di dalam dan di luar negeri, elaun "tuition", cuti, biasiswa, peluang pekerjaan, anugerah, perlindungan insurans dan sebagainya. Penggalakan ini hendaklah juga untuk pemimpin dan pegawai, termasuk jurulatih. Skim penggalak khas hendaklah juga diwujudkan untuk orang-orang cacat. Pihak sektor bukan Kerajaan, selain daripada menyokong tindakan Kerajaan, perlu juga menawarkan insentif untuk peningkatan mutu sukan di kalangan mereka.
  • Pemansuhan cukai import ke atas alatan sukan dan pertumbuhan industri sukan rekreasi dan pelancongan adalah satu daripada insentif yang akan menggalakkan penyertaan masyarakat dalam sukan.

Biasiswa

  • Satu skim biasiswa sukan untuk atlit yang berpotensi akan dapat mempertingkatkan kemahiran dan kecemerlangan mereka sambil meneruskan peningkatan bidang akademik. Ia dapat mengikiskan andian bahawa sukan itu satu faktor negatif dan penghalang kepada kemajuan akademik seseorang. Adalah wajar juga diwujudkan satu skim latihan melalui hadiah biasiswa untuk pegawai-pegawai sukan, terutama dari golongan guru-guru untuk mempertingkatkan mutu kejurulatihan dan pengetahuan sukan.
blog comments powered by Disqus
 

 

 

 

Hubungi Kami

Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat, sila hubungi kami di alamat berikut:

Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan
Simpang 336-17, Jalan Kebangsaan
Bandar Seri Begawan BA1210
Negara Brunei Darussalam

Telefon : +673 238 2911 / 238 905 / 238 0693
Fax: +673 238 0652 / 238 0653 / 238 0673 / 238 4170
2010 © Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Hak Cipta Terpelihara