Share |

Dasar Belia Negara

Definasi Belia

Belia di Negara Brunei Darussalam adalah lelaki dan perempuan yang berumur 15 - 40 tahun, manakala Pemimpin Belia adalah tidak dihadkan umur.

Terdapat 152,700* orang dalam kumpulan yang berumur 15-40 tahun iaitu 45.l2% daripada jumlah penduduk. Daripada jumlah ini, 81,100 orang (53.1%) adalah lelaki dan 71,600 orang (46.9%) adalah perempuan.

* Brunei Darussalam Key Indicators 2000

Profil Belia

Maklumat mengenai Negara Brunei Darussalam dan penduduknya yang muda dari sudut sosial dan kebimbangan dan ekonomi, diterangkan dalam Lampiran Profil Belia Negara.

 

Isu Sejarah dan Kontemporari yang Melibatkan Belia

Apa jua penunjuk yang digunakan -taraf kehidupan, pendapatan per kapita, tahap pekerjaan, kesihatan, penyertaan dalam pendidikan - Negara Brunei Darussalam adalah diberikan penilaian tinggi. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa arus sosial, kebudayaan dan ekonomi serta masalah kebimbangan yang perlu dikenalpasti dan ditangani oleh Dasar Negara, termasuk Dasar Belia Negara seperti berikut:

Pada tahun 2000 kadar pengangguran di kalangan penduduk adalah 4.6%* (lebih 6,543 orang) berbanding dengan 2.6% tahap purata pengangguran pada tahun 1993. Apa yang sangat membimbangkan ialah pengangguran ini terutamanya tertumpu pada belia. Sebagai contoh dikalangan yang berusia 20-24 tahun hampir 18%.

Sumber minyak dan gas yang menjadi tunggak ekonomi dan kemakmuran negara pada masa ini adalah terhad. Oleh kerana itu adalah perlu bagi negara ini untuk memajukan sektor pengeluaran dan pekerjaan lain serta meningkatkan lagi pengeluaran produk pertanian tempatan.

Negara telah melalui proses pembandaran. Walaupun ini suatu kemajuan tetapi langkah-langkah hendaklah diambil supaya proses pembandaran ini tidak menyumbang kepada kemorosotan luar bandar dan pertanian serta peningkatan masalah-masalah sosial.

Terdapat kemorosotan pertubuhan-pertubuhan belia/ kemasyarakatan dan usaha-usaha bantu diri di kalangan penduduk. Di antara tahun 1964 dengan tahun 1984, bilangan pertubuhan bukan kerajaan meningkat dari 20 kepada lebih 220. Tetapi pada hari ini dianggarkan kurang satu per tiga daripada pertubuhan-pertubuhan tersebut masih aktif, dan sebahagian besar belia sama ada tidak terlibat dalam pertubuhan belia atau tidak berminat untuk menubuhkan atau menghidupkan semula pertubuhan-pertubuhan tersebut.

Pergantungan pada sektor awam bagi pekerjaan adalah salah satu faktor yang menyebabkan tahap pengangguran yang tinggi di kalangan belia. Daripada menganggap pekerjaan dalam sektor swasta (di mana sebahagian besarnya bergantung pada buruh asing) sebagai mempunyai taraf yang sama dengan sektor awam, atau memulakan perusahaan kecil, belia memilih untuk terus menganggur dan bergantung pada keluarga mereka. Di sini, sikap belia dan keluarga mereka perlu berubah.

Sungguhpun keluarga stabil, berpengaruh kuat dan memberikan sokongan baik kepada belia di negara ini, yang mana kesannya adalah positif, tetapi terdapat bahaya bahawa jika mereka berterusan bergantung terlalu lama kepada keluarga akan menjadikan mereka kurang berdikari dan tidak mengendahkan yang mereka adalah menganggur.

Walaupun kadar jenayah di negara ini rendah, terdapat kebimbangan yang jenayah di kalangan belia telah meningkat. Juga terdapat kebimbangan mengenai budaya lepak dan peningkatan masalah sosial di kalangan belia.

Revolusi maklumat dan teknologi di seluruh dunia, yang membawah fesyen dan imej-imej budaya lain, terutamanya budaya asing, ke pelusuk dunia dan rumah-rumah di Negara Brunei Darussalam, seiring dengan arus kehidupan di bandar, telah mengakibatkan kemerosotan kebudayaan dan tradisi tempatan, sehingga menjejaskan identiti dan kemajuan masa depan.

* Brunei Darussalam Key Indicators 2000

Latar Belakang Perkembangan Perkhidmatan Belia

"Cawangan Belia" mula ditubuhkan dalam Jabatan Kebajikan Masyarakat pada tahun 1964. Sepuluh tahun kemudian, pada tahun 1974, Jabatan ini ditukar menjadi Jabatan Kebajikan Belia dan Sukan. Pada tahun 1993, Jabatan Kebajikan Belia dan Sukan telah menjadi Jabatan Belia dan Sukan. Bahagian Kebajikan Masyarakat di Jabatan Kebajikan, Belia dan Sukan dicantumkan dengan Bahagian Hal Ehwal Masyarakat di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan menjadi Unit Perkhidmatan Hal Ehwal Masyarakat di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Dalam Kementerian ini terdapat juga Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei di bawah bidang kuasa Jabatan Muzium Brunei yang menyediakan latihan kemahiran pertukangan tradisional kepada belia-belia. Pada tahun 1996 Outward Bound Brunei Darussalam dan Pusat Pembangunan Belia ditubuhkan.

Di luar Sektor Kerajaan terdapat beberapa pertubuhan bukan-kerajaan. Di peringkat negara, pertubuhan - pertubuhan ini termasuk Majlis Belia Brunei yang ditubuhkan pada tahun 1959 yang mempunyai cawagannya di keempat-empat daerah, Pasukan Pengakap, Pasukan Pandu Puteri dan Pasukan Bulan Sabit Merah. Pertubuhan belia juga ditubuhkan di peringkat kampung.

Lain-lain Dasar yang Melibatkan Belia

Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan mempunyai dua dasar dan hendaklah dianggap sebagai pelengkap kepada Dasar Belia Negara iaitu Dasar Kebudayaan Negara yang diluluskan pada tahun 1996, dan Dasar Sukan Negara yang diluluskan pada tahun 1991. Program kegiatan sukan yang disediakan bagi belia termasuklah 'Sukan Untuk Masyarakat' dan 'Sukan Untuk Prestasi Tinggi'. Program-program ini ada diterangkan dalam Dasar Sukan Negara.

Dasar dan perkhidmatan yang disediakan bagi belia atau yang melibatkan belia juga terdapat di beberapa Kementerian, Jabatan dan Badan-Badan bukan kerajaan yang lain yang dihubungi oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Kementerian dan Jabatan itu termasuklah:

Walau bagaimanapun, adalah diterima oleh semua institusi Kerajaan dan Swasta bahawa tanggungjawab sebenar mengenai hat ehwal kebeliaan terletak kepada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Oleh yang demikian adalah wajar bagi semua projek dan kegiatan kebeliaan yang dikendalikan oleh semua institusi, sama ada Kerajaan atau bukan kerajaan diselaras dan dihubungkan dengan Kementerian berkenaan.

blog comments powered by Disqus
 

 

 

 

Hubungi Kami

Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat, sila hubungi kami di alamat berikut:

Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan
Simpang 336-17, Jalan Kebangsaan
Bandar Seri Begawan BA1210
Negara Brunei Darussalam

Telefon : +673 238 2911 / 238 905 / 238 0693
Fax: +673 238 0652 / 238 0653 / 238 0673 / 238 4170
2010 © Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Hak Cipta Terpelihara