Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksBahagian Penerbitan dan Pemasaran

​​​PENGENALAN

Bahagian Penerbitan dan Pemasaran memfokuskan kepada pelaksanaan matlamat Pelan Tindakan DBP 2020 – 2024 bagi merealisasikan komitmen jabatan ini menjadi Penerbit Unggul Inklusif. Antara lain komitmen pelan tindakan ini ialah melaksanakan penerbitan berimpak, pemerkasaan ekosistem pengurusan penerbitan, penterjemahan dan pengantarabangsaan karya dan jalinan strategik pemasaran dengan stakeholders DBP.


Bahagian ini didukung melalui empat unit teras, iaitu:


  1. Unit Buku, Hak Cipta dan Royalti

  2. Unit Majalah, Jurnal dan Rampaian 

  3. Unit Penyemakan

  4. Unit Pemasaran, Seranta dan Perhubungan Awam 

Struktur B4.jpg 

Bahagian ini juga bertindak selaku Urus Setia Pesta Buku Brunei​.


FUNGSI DAN PERANAN  

1. Unit Buku, Hak Cipta dan Royalti


Unit ini bertanggungjawab melaksanakan kerja-kerja atur huruf, reka letak, penyemakan dan penyelarasan teknikal penerbitan buku dalam pelbagai genre yang diterbitkan oleh DBP setiap tahun termasuk penyediaan penentuan cetak, pembukaan tawaran sebut harga, lantikan syarikat pencetak dan menguruskan permohonan pesanan belian (purchase order) buku ke Unit Kewangan DBP. Unit ini juga bertanggungjawab dalam melaksanakan khidmat penerbitan Skim Terbit dan Beli Semula, iaitu perkhidmatan penerbitan buku yang ditawarkan kepada kementerian, jabatan kerajaan, penulis dan institusi swasta, begitu juga menindaklanjuti permohonan bagi melesenkan semula karya penulis oleh pihak ketiga.

 

Unit ini juga mengawal selia dan mengurus dasar penerbitan jabatan serta bertanggungjawab dalam menyediakan draf-draf perjanjian berkaitan khidmat penerbitan dan melesenkan semula karya penulis melalui penggunaan hak-hak subsidiari khususnya penterjemahan, penerbitan semula dan penerbitan alih wahana dengan kerjasama Pejabat Peguam Negara. Selain itu, unit ini juga bertindak sebagai urus setia bagi penandatanganan Perjanjian Lesen untuk Menerbitkan Karya antara Kerajaan (DBP) dengan Penulis dan bertanggungjawab dalam membarigakan kandungan klausa-klausa Perjanjian Lesen untuk Menerbitkan Karya dalam upaya untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman penulis tentang kepentingan hak cipta penerbitan dan hak cipta karya berdasarkan Perintah Hak Cipta, 1999, termasuk inisiatif bagi pemberdayamajuan karya penulis melalui penggunaan hak-hak subsidiari. Di samping itu, unit ini bertanggungjawab mengusahakan pembayaran royalti dan honorarium penulis buku berdasarkan ketetapan dalam Perjanjian Lesen untuk Menerbitkan Karya.


Unit ini bertindak selaku Urus Setia Majlis Perjanjian Penerbit-Penulis dan Urus Setia Penghargaan Hadiah Buku Terlaris.


2. Unit Majalah, Jurnal dan Rampaian

 

Unit ini mengendali penyelarasan atur huruf dan penyemakan penerbitan bagi lima buah majalah dan tiga buah jurnal. Majalah tersebut ialah Mekar, Naindung, Juara Pelajar, Bahana (termasuk sisipan khusus lembaran Mastera) dan komik Lakak-Lakak. Manakala jurnal pula ialah Beriga, Pangsura dan Jurnal Bahasa.

 

Unit ini juga mengendalikan proses atur huruf dan penyemakan penerbitan rampaian khususnya buku program yang dikendalikan oleh bahagian dalam jabatan ini mahupun keperluan atur huruf dan percetakan yang dikehendaki oleh jabatan dan kementerian dari luar. Unit ini turut  mengendalikan atur huruf penerbitan bahan rampaian lain yang relevan bagi acara jabatan khususnya buku panduan, buku mini, buku pengiktirafan, buku mewah (coffee table), risalah program, sijil, borang, isi jemputan, poster, skrol dan sebagainya.

 

Unit ini berobligasi untuk memantau proses percetakan dan perbekalan bagi keperluan Unit Stor untuk kegunaan semua bahagian. Selain daripada itu, unit ini menguruskan spesifikasi cetak untuk tawaran sebut harga penerbitan rampaian dan menyediakan permohonan borang purchase order, surat lantikan dan mengendalikan urusan pembayaran bahan cetak rampaian.

 

Komitmen unit ini juga adalah untuk melaksana program strategik penterjemahan dan pengantarabangsaan karya khususnya terbitan jabatan dan juga menyelaras khidmat konsultasi penerbitan buku.

 

3. Unit Penyemakan


Unit ini bertanggungjawab memastikan terbitan jabatan betul dari segi ejaan, kata, istilah dan tatabahasa, penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul mengikut standard ejaan baku dalam Sistem Ejaan Rumi Bahasa Melayu, tatabahasa bahasa Melayu yang berkohesi dan berkoherens, fakta dan data betul dan sahih dalam penerbitan jabatan. Unit ini menerima pruf buku untuk disemak dari Unit Buku, Hak Cipta dan Royalti serta pruf bahan terbitan rampaian dari Unit Majalah, Jurnal dan Rampaian. Pruf yang selesai disemak dan diselaras akan diserahkan kembali ke unit masing-masing untuk pembetulan. 

 

4. Unit Pemasaran, Seranta dan Perhubungan Awam


Unit ini bertanggungjawab dalam menguruskan promosi dan pemasaran buku, majalah dan jurnal terbitan DBP melalui mekanisme berikut, iaitu Kedai Buku DBP, jerayawara, pameran dan jualan di majlis-majlis keraian anjuran jabatan dan kementerian, Dudun DBP, langganan dalam dan luar negara, dan juga jualan secara konsainan melalui Rakan Niaga Pemasaran DBP. Unit ini turut berperanan memudah cara pihak syarikat atau vendor yang berhasrat untuk menjual buku DBP sama ada secara dalam talian atau jualan kedai. Pembelian buku boleh dilakukan secara tunai atau melalui mekanisme e-pembayaran yang dilancarkan pada 1 Julai 2020.

 

Jualan buku secara besar-besaran juga dilaksanakan oleh unit ini melalui program strategik DBP, iaitu Pesta Buku Brunei serta penglibatan jabatan ini dalam pesta buku serantau dan antarabangsa.

 

Selain elemen pemasaran, unit ini juga bertanggungjawab menjaga imej DBP dengan meneliti berita dan isu semasa, termasuk pandangan dan aduan orang ramai dalam media massa dan elektronik, menguruskan publisiti dan mengeluarkan siaran media, mempromosi dan membarigakan kegiatan DBP dalam media sosial rasmi, serta menguruskan lawatan dari luar seperti jabatan kerajaan/institusi pengajian tinggi/maktab dan sekolah ke DBP. 


Unit ini bertindak selaku Urus Setia Penghargaan Rakan Niaga Proaktif.