Anugerah Penulis Muda ASEAN
Anugerah Penulis Muda ASEAN merupakan satu pengiktirafan yang diberikan oleh Kerajaan Thailand kepada penulis muda negara Asia Tenggara yang berbakat besar dalam bidang penulisan. Anugerah ini diselenggarakan oleh Bangkok Metropolitan Administration (BMA) serta Komiti Penganjur Anugerah Penulis Asia Tenggara (The S.E.A. Write Award), Rangkaian Penulis Asia Tenggara (S.E.A. Write Network), dan Faculty of Liberal Arts of Mahidol University.
Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei Darussalam selaku Sekretariat Anugerah Penulis Muda Asia Tenggara mengungkayahkan Anugerah Penulis Muda ASEAN (ASEAN Young Writers) melalui Peraduan Menulis Cerita Pendek (Cerpen) untuk memilih calon penerima Anugerah Penulis Muda Asia Tenggara pada tahun 2014. Sasaran anugerah ini adalah remaja dan belia serta pelajar yang berusia antara 15 hingga 24 tahun dari sekolah-sekolah, maktab-maktab dan universiti-universiti di Negara Brunei Darussalam, serta persatuan-persatuan penggiat sastera dan orang awam yang berkelayakan. Peraduan Menulis Cerpen ini dibukakan dalam dua kategori, iaitu versi bahasa Melayu dan Inggeris.