Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Perkembangkan Penulisan Cerita Folklor Tempatan

Perkembangkan penulisan cerita folklor tempatan 2.PNG

Berita dan Foto : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 17 Julai. - Pemangku Pengarah Bahagian Kebudayaan dan Kesenian (BKK) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Awang Haji Mohd Abdoh bin Haji Awang Damit melahirkan harapan agar penulisan cerita folklor akan lebih banyak dihasilkan dan terus berkembang di negara ini. 

Berucap selaku tetamu kehormat pada Majlis Penutup Bengkel Penulisan Cerita Folklor Ke-III di Dewan Digadong, KKBS di sini, Awang Haji Mohd Abdoh juga berharap dan ingin menyaksikan lebih banyak karya-karya yang akan dihasilkan atau diterbitkan oleh peserta-peserta pada masa akan datang berikutan industri kreatif penulisan folklor itu boleh didefinisikan masih 'infant'.

Beliau juga tertarik dengan objektif bengkel antara lain menyatakan mengidentifikasikan cerita-cerita rakyat yang dapat diketengahkan agar cerita-cerita rakyat tersebut dapat didokumentasi dan diketengahkan ke masyarakat umum agar khazanah budaya warisan yang lama tercicir (cerita rakyat) dapat dimanfaatkan oleh generasi akan datang.

Selain itu, tambahnya, ia juga dapat mendedahkan data kepada penulis dalam sumber sekunder kepada elemen naratif dan bentuk cerita (buku).

Perkembangkan penulisan cerita folklor tempatan 3.PNG

Seramai 45 peserta terdiri daripada pegawai dan kakitangan dari BKK, KKBS, Radio Televisyen Brunei (RTB), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Pusat Sejarah Brunei, mahasiswa dan mahasiswi Universiti Brunei Darussalam (UBD) serta peserta persendirian mengikuti bengkel selama lima hari itu di bawah bimbingan pensyarah di Jabatan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UBD, Dr. Maslin bin Jukim / Jukin.

Salah seorang peserta, Dayang Siti Nurfauzimah binti Haji Mahari dalam ucapannya selaku wakil peserta melahirkan penghargaan terima kasih kepada pihak penganjur secara berkolaborasi DPB, BKK dan RTB atas peluang yang diberikan.

Sepanjang lima hari mengikuti bengkel tersebut, peserta-peserta memperoleh ilmu yang baharu antaranya menghasilkan sebuah skrip dokudrama yang diadakan secara berkumpulan dan pelbagai pengetahuan yang lain. Hasil daripada bengkel ini nanti akan dapat didokumentasikan dan diterbitkan dalam bentuk buku oleh DBP.

Di samping itu, InsyaaAllah, DBP juga akan bekerjasama dengan RTB untuk menjadikan cerita-cerita folklor peserta-peserta sebagai projek animasi yang setentunya akan mampu menjadi nilai tambah pendidikan kepada masyarakat terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.

Dalam jangka masa panjang, pencapaian bengkel tersebut nanti akan diusulkan  untuk disenaraikan di bawah United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) sebagai langkah usaha untuk melestarikan dan mempromosikan warisan budaya milik Negara Brunei Darussalam.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 7/27/2021 3:00 PM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 7/27/2021 3:00 PM by Nisbah Binti Hj Merusin