Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Manfaatkan Bengkel Sebagai Sumber Bacaan, Rujukan

Berita dan Foto : Marlinawaty Hussin

BERAKAS, Khamis, 25 Mac. - Karya tempatan yang bernilai global amat diperlukan sebagai sumber bacaan dan rujukan yang terbaik kepada masyarakat.

Oleh itu, upaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam menyediakan wadah Bengkel Penulisan Kreatif dan seumpamanya perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh para peserta bengkel, terutama penulis muda.

Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan dan Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari selaku tetamu kehormat majlis berkata demikian pada Majlis Penutup Bengkel Penulisan Kreatif, yang berlangsung di Balai Sarmayuda, DBP, di sini.

Beliau menjelaskan bahawa para peserta harus berjiwa dan berminda besar serta kreatif dalam menghasilkan penulisan setaraf dengan penulis besar luar yang mempunyai nilai pasaran antarabangsa.

"Bidang penulisan memberi sumbangan penting dalam pembangunan tamadun bangsa. Ilmu atau idea fikir penulis yang diabadikan dalam bentuk tulisan menjadi teras terhadap pembentukan dan pembinaan jati diri bangsa," terang beliau.

Menurut beliau lagi, pelbagai inisiatif telah diungkayahkan DBP pada setiap tahun dalam usaha meningkatkan mutu penulisan kreatif penulis tanah air.

"Usaha melahirkan penulis kreatif terutama penulis muda dipergiat melalui penganjuran program penulis muda, peraduan penulisan, bengkel dan penyediaan platform bagi menyumbang karya penulisan dalam majalah dan jurnal," ujar beliau.

Pada majlis tersebut, beliau melancarkan dua buah buku terbaharu terbitan DBP.

Buku-buku tersebut berjudul 'Selam Skuba ke Lautan Hatiku!' karya Dayang Hajah Nurhamizah binti Haji Samihon; dan 'Ditipu Jin Penunggu Pokok Pisang' karya Awang Mohd. Adi Zaky bin Haji Matasim.

Buku ini bukan sekadar tambahan koleksi buku DBP, tetapi adalah sumber bacaan yang bermanfaat dan berguna kepada masyarakat di negara ini.

Tetamu kehormat majlis seterusnya menyampaikan sijil dan cenderamata kepada para pembimbing serta para peserta bengkel.

Seramai 60 peserta mengikuti Bengkel Penulisan Kreatif yang terdiri daripada Bengkel Penulisan Cerita Folklor Ke-ll dan Bengkel Penulisan Novelet, iaitu 30 peserta bagi setiap bengkel.

Bengkel anjuran DBP ini diadakan selama tiga hari yang bermula 23 Mac yang lalu.

Bengkel berkenaan diadakan adalah untuk memberi ruang kepada para peserta untuk memahami dan mendalami ilmu penulisan folklor dan novelet, selain memberi pendedahan kepada penulisan karya kreatif serta folklor yang merupakan warisan budaya dan perlu dilestarikan, sama ada dalam bentuk tulisan mahupun lisan.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 4/8/2021 3:03 PM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 4/8/2021 3:03 PM by Nisbah Binti Hj Merusin