Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Peraduan Menulis Dibukakan Hingga 30 Jun

Oleh : Marlinawaty Hussin \ Infografik : Ihsan Dewan Bahasa dan Pustaka

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 18 Februari. - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Perancangan Buku, pada masa ini, mengadakan Peraduan Menulis Folklor Tujuh Puak dan Sayembara Penulisan Novelet hingga tarikh tutupnya, pada 30 Jun 2021, 4.30 Petang.

Sehubungan itu, dua Bengkel Penulisan Kreatif akan diadakan secara serentak, pada 23 hingga 25 Mac 2021, iaitu Bengkel Penulisan Cerita Folklor kedua; dan Bengkel Penulisan Novelet.

Bagi Sayembara Penulisan Novelet, ia dibukakan kepada warganegara dan penduduk tetap negara ini, berumur 16 tahun ke atas.

Antara syarat sayembara, manuskrip mestilah sesuai untuk bacaan masyarakat dengan tidak menyentuh isu-isu sensitif, perkauman, keagamaan, ras, politik, pornografi juga tidak menimbulkan polemik dan provokasi.

Manuskrip hendaklah ditulis dalam Bahasa Melayu sepenuhnya, menggunakan Sistem Ejaan Rumi terkini.

Panjang manuskrip tidak kurang 15,000 patah perkataan dan tidak lebih 40,000 perkataan.

Manakala bagi Peraduan Menulis Folklor Tujuh Puak, ia dibukakan kepada warganegara dan penduduk tetap negara ini, berumur 14 tahun ke atas.

Antara syarat peraduan, manuskrip hendaklah ditulis dalam Bahasa Melayu Standard yang mudah difahami dengan pencerapan dialog dialek tujuh puak.

Kandungan manuskrip hendaklah tentang cerita-cerita lisan (folklor) tujuh puak yang ada di negara ini, seperti folklor mengenai tempat, budaya, kehidupan, sosial dan adat bagi setiap puak.

Objektif peraduan-peraduan ini adalah bagi menghasilkan karya-karya yang berkualiti dan menepati sasaran pembaca, di samping menyasarkan pasaran yang luas, baik di dalam mahupun luar negara.

Selain itu, ia bertujuan untuk menggambarkan bangsa dan budaya juga mempertahankan warisan sepanjang zaman dan mengetengahkan folklor mengenai tujuh puak, di negara ini.

Borang dan karya hendaklah dihantar kepada Urus Setia Peraduan, Tingkat 1, Bahagian Perancangan Buku, DBP, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Jalan Pembangunan, Lapangan Terbang Lama, Berakas, BB3510.

Untuk maklumat lanjut pula, sila hubungi Urus Setia Peraduan menerusi talian +673 2382512 sambungan 179 atau 193 atau 197 atau 183 atau 187.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 2/20/2021 2:17 PM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 2/20/2021 2:17 PM by Nisbah Binti Hj Merusin