Sumber: Media Permata
Cerita: Daniel Lim - Media Permata
Foto: Hjh Ajijah Ali - KKBS
BELAIT, 28 JULAI 2019 – Kejohanan Bola Keranjang Terbuka Brunei, Piala Lau Koon Lung 2019 membuka tirai dengan dua perlawanan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Gelanggang Bola Keranjang Kampung Baru, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyaksikan perlawanan tersebut dan seterusnya merasmikan perlawanan itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Hadir bagi mengalu-alukan kedatangan Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ialah Presiden Persatuan Bantuan Bersama Kampung Baru,Yang Chow Min; Pengerusi persatuan berkenaan, Law Shiew Yuan; yang juga menaja kejohanan tersebut; ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Hamid bin Abdul Mumin dan Penghulu Mukim Liang, Awang Ramlee bin Haji Jamudin serta pegawai-pegawai dari Jabatan Daerah Belait dan ahli-ahli persatuan.
Kejohanan tersebut mengumpulkan lapan pasukan dari seluruh daerah iaitu SRI, YTE Basketball, Homestage Realty, Illonggo-Black, Systematis Living, Master G Collection, New Village dan JNL-Eagle-Red bagi merebut gelaran juara.