Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Semua pihak perlu peka perkembangan bahasa Melayu

Sumber : Pelita Brunei

Oleh : Khartini Hamir / Foto : Azmah Haji Ahad

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 8 Julai. - Tema Bulan Bahasa pada tahun ini ialah 'Bahasa Melayu Bahasa Kita' mencerminkan rasa kepemilikan bersama dan rasa kekitaan terhadap bahasa rasmi negara.

 

Selain itu, ia berobjektif untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dan jati diri bangsa, selain memupuk rasa milik bersama terhadap bahasa ibunda dan memperkukuhkan kesatuan bangsa Brunei melalui aktiviti kebahasaan.

 

Justeru dalam Revolusi Industri 4.0, kewujudan rangkaian internet yang mendunia berupaya menyebarkan ilmu dan maklumat dengan lebih pantas.

 

Pemanfaatan daripada Revolusi Industri 4.0 sewajarnya menjadi peluang untuk mempertingkatkan juga memperluaskan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi, malah perlu menjadikan kedudukan bahasa Melayu ini tetap relevan dan penting dalam era Revolusi Industri 4.0 ini.

 

Dalam temu bual Pelita Brunei bersama Pegawai Bahasa selaku Penolong Ketua Bahagian, Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dayang Hajah Norati binti Bakar menjelaskan, tema bulan bahasa pada tahun ini adalah untuk menanai amanat kerajaan sebagai pendekatan senegara.

 

Ia bermaksud semua pihak, lapisan rakyat dan masyarakat hendaklah sehati sejiwa bertanggungjawab memperkasakan dasar negara, sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Negeri Brunei 1959, Bab 82 dan pindaan 2004.

 

Semua pihak jelasnya lagi, mesti peka akan perkembangan bahasa Melayu, sama ada penggunaan kosa kata umum dan istilah, khususnya dalam era Revolusi Industri 4.0, yang menekankan dan memanfaatkan bahasa Melayu yang betul untuk kepentingan dalam pelbagai perkara (perekonomian, keilmuan, karya seni dan industri kreatif lain).

 

Justeru itu, semua pihak disaran untuk membudayakan bahasa Melayu yang baik dalam laman-laman internet bagi membuktikan kesungguhan dan ketegasan kita memperkasakan penggunaan bahasa Melayu.

 

Menjelaskan mengenai usaha DBP yang telah atau giat dijalankan bagi menangani perkara itu, terangnya, DBP sentiasa melaksanakan usaha memperkasakan penggunaan bahasa Melayu melalui pelbagai pendekatan senegara berdasarkan perkhidmatan terasnya.

 

Antaranya, DBP giat mengadakan kursus dan bengkel bahasa Melayu di jabatan-jabatan kerajaan atau melalui undangan Institusi Perkhidmatan Awam, di mana hasil perkongsian melalui bengkel atau kursus itu dapat dikongsikan kepada rakan sejawat atau kalangan keluarga, terutama kepada anak-anak yang masih menuntut di pelbagai peringkat.

 

Selain itu, DBP juga giat mengongsikan perkembangan kosa kata umum dan istilah bahasa Melayu, khususnya dalam era Revolusi Industri 4.0 dan isu-isu semasa melalui Radio Televisyen Brunei (RTB), antaranya Segmen Bahasa dalam Rampai Pagi, Segmen Kenali Bahasa Brunei (memperkenalkan bahasa Melayu kepada masyarakat luas sebagai usaha untuk memperkayakan bahasa Melayu baku).

 

''Merujuk kepada usaha pengayaan dan penyebaran bahasa Melayu, kini DBP giat melaksanakan projek e-kamus melalui MoU di antara Universiti Teknologi Brunei dengan DBP yang insyaaAllah akan dapat dimanfaatkan dalam tahun yang terdekat,'' jelas Dayang Hajah Norati lagi.

 

Tambahnya, daripada aspek produk ilmiah, DBP mengungkayahkan projek mega dalam bidang leksikografi / perkamusan dengan menerbitkan Kamus Bahasa Melayu Nusantara sebagai rujukan warga bangsa Melayu dan bukan Melayu, termasuk para pelajar dan mahasiswa.

 

Kamus tersebut mengandungi 105,000 lema yang mencakupi kosa kata umum berserta contoh penggunaan ayat, istilah, peribahasa dan sebagainya. Di samping itu, DBP juga sedang giat mengusahakan penerbitan pelbagai kamus istilah, antaranya Kamus Istilah Pemakanan, Kamus Istilah Sains Marin dan Kamus Istilah Bioinformatik.

 

Sehubungan itu, terangnya lagi, sesuai dengan kehendak Surat Keliling Setiausaha Kerajaan Bil.5/83, bertarikh 13 April 1983, yang memaklumkan kepada orang ramai tentang keputusan kerajaan mengenai penggunaan Sistem Ejaan Rumi Baharu, DBP telah menerbitkan Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu yang disepakati di peringkat MABBIM.

 

Sebagai galakan budaya membaca pula, DBP mengadakan perkhidmatan perpustakaan yang menyediakan pelbagai sumber bacaan, termasuk sumber bacaan berbahasa Melayu. Begitu juga penyediaan pelbagai kegiatan untuk disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat.

 

Di samping itu, DBP juga menganjurkan pelbagai peraduan menulis esei dan cerpen, peraduan menulis karangan, pidato, kuiz bahasa Melayu, di samping itu, sentiasa melibatkan para pelajar untuk menghadiri seminar, forum, malah mengundang pelajar untuk terlibat mengadakan persembahan kesenian dalam majlis-majlis rasmi, seperti Sambutan Bulan Bahasa, Pesta Buku dan lain-lain.

 

Menurutnya lagi, DBP turut mengalu-alukan orang ramai, murid-murid sekolah, para pelajar daripada pelbagai peringkat untuk menghasilkan karya seni sastera juga karya ilmiah untuk diterbitkan.

 

Ruang dan peluang ini jelasnya, bukan sahaja menggalakkan orang awam memperkasakan kemahiran diri dalam penulisan berbahasa Melayu, malah merupakan peluang kepada masyarakat untuk sama-sama berjuang menyebarluaskan bahasa dan ketamadunan bangsa.

 

Kesimpulannya, terang beliau lagi, DBP akan secara berterusan dan bersungguh-sungguh menanai amanat kerajaan untuk membina dan memperkasakan bahasa Melayu dalam semua bidang melalui pendekatan yang menyeluruh.

 

Namun begitu, semua pihak sarannya mesti bertanggungjawab secara bersepadu meledakkan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dalam semua urusan. Dengan erti kata lain, kekuatan bahasa kita menunjukkan kekuatan bangsa kita.


Attachments
Created at 7/20/2020 11:11 AM by Dk Norsafiah Binti Pg Sapudin
Last modified at 10/6/2020 10:21 AM by Nor Rafidah binti Hj Mokhtar