Oleh : Khartini Hamir / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BERAKAS, Rabu, 4 Mac.
- Seminar Bedah Karya mengumpulkan medan penulis dan penggiat seni
sastera tempatan sebagai tempat pertemuan penulis / penggiat seni
sastera untuk membincangkan dan menganalisis hasil-hasil karya seni.
Sehubungan
itu, pagi tadi Akademi UF menganjurkan Seminar Bedah Karya 'Penyair 3
Serangkai' (Badaruddin H.O, Adi Rumi, Yahya M.S) sempena Pasta Buku
Brunei 2020 yang berlangsung di Bilik Bengkel 2, Stadium Tertutup
Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, di sini.
Hadir
selaku tetamu khas pada majlis tersebut ialah Mufti Kerajaan, Yang
Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz
Haji Awang Abdul Aziz bin Juned dan Yang Dimuliakan Pehin Siraja Khatib
Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim.
Karya-karya
'Penyair 3 Serangkai' (Badaruddin H.O, Adi Rumi, Yahya M.S) diulas dan
dibincangkan secara analitis oleh tiga orang pembicara karya yang
merupakan pakar, pengkaji dan penyelidik sastera terdiri dari Prof.
Madya Dr. Ampuan Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah; Dr. Haji Morsidi
bin Haji Mohammad dan Penolong Profesor Kanan, Dr. Haji Ramlee bin Haji
Tinkong.
Terdahulu,
Prof. Madya Dr. Ampuan Haji Brahim dalam Bedah Karyanya membentang dan
mengulas buku mengenai 'Negara Zikir' hasil karya Yang Berhormat Pehin
Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul
Aziz bin Juned, atau lebih dikenali sebagai 'Adi Rumi'.
Menurut
beliau, buku Negara Zikir itu mengandungi tujuh bahagian atau tajuk
kecil iaitu Pendidikan Zikir; Ekonomi Zikir; Sistem Zikir; Sosial Zikir;
Adat Istiadat Zikir; Undang-undang Zikir; dan Pertahanan Zikir yang
memperlihatkan jalan fikiran pengarang yang jelas dan terarah semasa
menulis puisi panjang tersebut.
Di
samping itu, Puisi Negara Zikir jelasnya dianggap sebagai sebuah teks
akademik mengenai Negara Zikir yang disampaikan melalui puisi panjang
dengan gaya bahasa personal yang mudah difahami dan berkesan.
Anggapan
tersebut adalah berdasarkan beberapa ciri antaranya isi dan bentuknya
bertunjangkan Al-Quran dan Al-Hadis; mempunyai catatan kaki yang
merupakan salah satu ciri buku ilmiah; mempunyai tajuk-tajuk kecil bagi
memperdalamkan pembicaraan satu-satu topik yang bertujuan untuk
memperluas dan memberikan kefahaman tentang Negara Zikir; terdapat teks
lain dimasukkan misalnya Hukum Kanun Brunei, Pak Pandir, Perang Kastila,
Umar bin al-Khattab dengan panglimanya dan lain-lain; menampilkan Gaya
Bahasa seperti menyampaikan syarahan, perbualan, dakwah dan dialog;
menggunakan pengulangan pada kata, frasa dan ayat yang berfungsi sebagai
penekanan pengucapan; menggunakan istilah atau kata-kata yang
memberikan kesan yang mendalam kepada pembaca; bersifat personal dengan
menggunakan aku dan kau; dan juga menyoal pembaca.
Namun,
Prof. Madya Dr. Ampuan Haji Brahim dalam pembentangannya mengetengahkan
karya Negara Zikir itu dari perspektif Talbiyah (pendidikan) yang
mengkehendaki pemeliharaan, misalnya memelihara pendidikan itu sendiri
dengan menguatkan dasar dan meluruskan sistemnya kerana pendidikan itu
adalah nyawa kehidupan.
Di
sini menurut beliau, pengarang menjelaskan bahawa dasar yang baik itu
adalah dasar zikir (yang dimaksudkan dengan istilah 'mendongak ke
langit') dan sistem yang lurus adalah sistem zikir yang bererti melakar,
melaksana dan memakai semua panduan dan etika yang tidak bertentangan
dengan hukum syarak dan aspirasi bangsa.
"Pengarang
yakin kedua-dua dasar ini akan menjadikan kita maju kerana ia telah
diajar oleh Maha Pencipta melalui kalam dan pemberian-Nya," ujar beliau.
Manakala
pendidikan yang berupa penambahan ilmu jelas beliau, tentunya dilihat
dari segi penukaran, dari sesuatu yang sudah lama diamalkan kemudian
diganti dengan sesuatu yang baru selari dengan ajaran Islam dan
Pendidikan adalah peningkatan atau pertumbuhan, yang mana sesuatu yang
melebihi daripada sesuatu yang adalah diperkirakan sebagai peningkatan
atau pertumbuhan misalnya dari segi sistem demokrasi yang dibanggakan
pada masa ini sebenarnya sistem demokrasi yang ditunjangi oleh Islam.
Di
akhir puisi, jelas Prof. Madya Dr. Ampuan Haji Brahim lagi, pengarang
telah menyatakan harapan yang optimis bagi mewujudkan Negara Zikir
dengan acuan sendiri yang melambangkan keunikan, jati diri bangsa Melayu
Brunei yang berlainan daripada negara-negara lain di dunia ini.
Sementara
itu, buku "Surat-surat Kemerdekaan" hasil karya Yang Dimuliakan Pehin
Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Yahya, atau
nama penanya 'Yahya M.S' dikupas dan dibentangkan oleh Dr. Haji Morsidi
bin Haji Mohammad.
Pada
pembentangan tersebut, Dr. Haji Morsidi berpendapat bahawa karya
Kumpulan Puisi Surat-Surat Kemerdekaan didapati lebih didominasi oleh
puisi-puisi yang membawa persoalan patriotisme, di mana sebahagian lagi
adalah puisi-puisinya mengutarakan persoalan jati diri, dan terdapat
juga beberapa puisi patriotisme yang juga mengungkapkan nilai-nilai
Islam dan jati diri.
Antara
kumpulan puisi yang menjadi tumpuan beliau ialah puisi 'Memperingati
Perjalanan Dua Puluh Musim', 'Jalan Yang Panjang Menuju Siang', 'Layar
Kemerdekaan' dan 'Pertanyaan'.
Jelas
beliau berdasarkan pembicaraan yang diutarakan dapat dikatakan bahawa
persoalan patriotisme dan jati diri yang diungkapkan oleh Yahya M.S.
dalam buku kumpulan Puisi Surat-Surat Kemerdekaan adalah merupakan
pemikiran yang kebanyakannya diadun berdasarkan pengalaman beliau yang
hidup pada beberapa zaman iaitu dari zaman Jepun, zaman ketika Brunei di
bawah naungan British dan zaman selepas kemerdekaan yang mana dengan
demikian puisi-puisi yang terungkap mempunyai kekuatannya tersendiri.
Puisi-puisi
yang mengutarakan persoalan patriotisme dan jati diri dalam Surat-Surat
Kemerdekaan ini tambahnya, mengemukakan dua penekanan yang berbeza
iaitu pertama, puisi-puisi yang lebih menekankan persoalan patriotisme
dan semangat kebangsaan; dan kedua ialah lebih menekankan jati diri, di
mana ini tergantung kepada mesej utama yang ingin disampaikan oleh
penyair, Yahya M.S.
Kesimpulannya
menurut beliau, penyair banyak menggunakan dialek Brunei dalam puisi
yang terkandung dalam kumpulan puisi ini terutama puisi yang membawa
persoalan jati diri, dan yang berkaitan dengan nilai budaya dan warisan.
"Penggunaan
dialek Brunei ini memperkuat lagi puisi-puisi yang diungkapkan kerana
ada beberapa bahagian dalam puisi beliau harus menggunakan dialek Brunei
supaya menepati makna yang ingin disampaikan," Dr. Haji Morsidi lagi.
Manakala,
buku 'Koleksi Puisi Episod - Episod SI AWANG' karya Yang Berhormat
Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin
bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Osman, atau lebih dikenali sebagai
'Badaruddin H.O', dianalisis dan diulas oleh Penolong Profesor Kanan,
Dr. Haji Ramlee bin Haji Tinkong.
Seminar
Bedah Karya selain bertujuan untuk mengapresiasi, evaluasi dan
mendalami sesebuah karya itu, ia juga untuk mengenalkan dan mengangkat
penulis dan karyanya kepada masyarakat.