Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
KEM MOTIVASI TEKANKAN ENAM ASPEK UTAMA

‚Äč290719-KemMotivasi-SUT giving speech.jpg

[Sumber: Pelita Brunei]

Berita: Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim - Penerangan

Foto: Mohd. Sahrizal Haji Said - Penerangan


BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 29 Julai 2019 - Penghayatan nilai-nilai Islam, pengurusan organisasi, pengurusan kewangan, keusahawanan, kerja berpasukan dan ketahanan mental dan fizikal adalah enam aspek utama yang ditekankan pada Kem Motivasi Kepimpinan Pelajar 2019.

Kem yang diadakan di Pusat Belia, ibu negara itu disertai oleh 79 pelajar Program Diploma Tertinggi Perguruan Ugama sesi pengajian 2017, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

290719-KemMotivasi-students.jpg

Majlis Perasmian kem berkenaan disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Haji Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.

290719-KemMotivasi-SUT.jpg

Pengarah Pusat Ilmu Teras KUPU SB, Dr. Haji Noralizam bin Haji Aliakhbar selaku Pengerusi majlis tersebut dalam ucapannya menjelaskan mengenai tujuan kem diadakan, iaitu memberikan pendedahan mengenai aspek teori dan amalan dari segi kepimpinan agar dapat melengkapkan pelajar untuk menjadi pemimpin serba boleh dan berwawasan, di samping membentuk sahsiah dan keperibadian pelajar yang mempunyai keseimbangan dari segi perkembangan intelek, perkembangan fizikal, emosi dan rohani.

Kem motivasi tersebut adalah merupakan salah satu program kokurikulum di bawah program kokurikulum kepimpinan yang dikendalikan oleh Pusat Ilmu Teras dengan kerjasama KKBS.

Adapun pengisian program ini berhubung kait dengan teori praktikal, ceramah berkaitan kepimpinan, tazkirah, aktiviti 'team building', aktiviti sukan dan khidmat masyarakat. Selain itu para pelajar turut dilibatkan dengan program 'Masjidku Ma'mur Negara Berkat'.

Kem yang dijalankan bermula 28 Julai hingga 1 Ogos 2019 itu bertemakan 'Melahirkan Pendidik Profesional dan Berkepimpinan Melalui Program Kokurikulum' dengan matlamat utama program untuk membekalkan pelajar dengan kemahiran kepimpinan dengan hasrat agar para pelajar dapat mengetahui, memahami dan mengaplikasikan konsep-konsep serta teori-teori kepimpinan yang berasaskan prinsip-prinsip Islam mengikut ajaran Ahli Sunnah Waljamaah dan falsafah Negara Melayu Islam Beraja.

Turut hadir, Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar; Pemangku Timbalan Ra'es; Pemangku Penolong Ra'es KUPU SB; Pegawai-pegawai Utama; Pensyarah dan kakitangan KUPU SB.

Attachments
Created at 7/30/2019 9:20 AM by Lee Chin Foo
Last modified at 7/30/2019 9:20 AM by Lee Chin Foo