Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
BELIA SIAGA MASA DEPAN

‚Äč[Sumber: Pelita Brunei]

Berita: Haniza Abdul Latif - Penerangan

Foto: Hjh Ajijah Ali / Hj Mohd Syazwan bin Hj Abd Jalil - KKBS

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 24 Julai 2019 - 'Belia Siaga Masa Depan' merupakan tema yang dipilih bagi Sambutan Hari Belia Kebangsaan (HBK) Kali Ke-14, Tahun 2019 yang membawa maksud masa depan menjanjikan para belia sebagai pewaris bangsa dan negara kerana kelangsungan bangsa dan negara terletak kepada para belia.

Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohd. Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud menyatakan perkara tersebut semasa Sidang Media Sambutan HBK Ke-14, bertempat di Dewan Citra Budaya, Bangunan KKBS, di sini.

240719-SidangMediaHariBelia-2019 (2).jpeg

Harapan yang tinggi kepada para belia tambahnya, bertepatan dengan peranan mereka sebagai aset negara.

Belia siaga, ujar Pengiran Mohd. Amirrizal, membawa kita semua untuk menyediakan platform yang sesuai bagi para belia untuk menceburkan diri dalam kehendak kehidupan masa depan, yang diramal dipengaruhi oleh kecerdasan buatan (artificial intelligence), teknologi maklumat dan analisis data.

Ujarnya lagi, keperluan menyediakan para belia mempunyai kepakaran, pemikiran, pendidikan dan budaya hidup dalam era revolusi industri 4.0 amat penting.

''Dalam masa yang sama, kita juga harus menyediakan dan membantu para belia untuk menuai keuntungan ledakan industri ini, termasuk menceburkan diri secara aktif dalam ekonomi kreatif dan media digital,'' jelasnya.

Majlis juga diteruskan dengan penyampaian poster kepada wakil-wakil NGO dan persatuan-persatuan, disempurnakan oleh Pengiran Mohd. Amirrizal.

Antara yang menerima poster, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash'ari selaku Pengarah Penglibatan Komuniti bagi Green Brunei dan Pengarah Green Exchange.

Juga hadir, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebeliaan dan Kesukanan) KKBS, Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said; Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Dayang Mariam binti Ulat; Pemangku Timbalan Pengarah Belia dan Sukan, Awang Mohd. Ihsan Sabri bin Haji Abd. Manap; dan Guild of Graduate Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr. Mohammad Iskandar bin Muhd. Hasnan.

Sesuai dengan matlamat Sambutan HBK 2019, iaitu untuk mengiktiraf belia dan pergerakan belia di negara ini, maka adalah diharap dengan pelaksanaan sambutan kali ini akan dapat menggalakkan lebih ramai lagi penglibatan golongan belia dalam aktiviti-aktiviti kebeliaan khususnya dan terlibat sama dalam usaha-usaha pembangunan negara amnya.

240719-SidangMediaHariBelia-2019 (4).jpeg

Attachments
Created at 7/25/2019 10:10 AM by Lee Chin Foo
Last modified at 7/25/2019 10:10 AM by Lee Chin Foo