[Sumber: Pelita Brunei]
Berita: Khartini Hamir - Penerangan
Foto: Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman - Penerangan
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 21 Julai 2019 - Bintang Belia Keputeraan memeriahkan lagi Pentas Perayaan di ibu negara sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-73, Tahun 2019.
Seramai 12 peserta terpilih berentap dan memperdendangkan pelbagai variasi lagu pilihan mereka, antara lain bertujuan untuk mencungkil bakat-bakat belia yang baharu dalam bidang nyanyian.
Bintang Belia Keputeraan yang julung kalinya diadakan ini merupakan anjuran ADPutera Event Management & Trading Services dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei dan Muara dengan bantuan Kak Tim bagi menjayakan acara pada malam itu.
Hadir selaku tetamu kehormat, Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet), Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohd. Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.
Juga hadir, Timbalan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) KKBS, Dayang Saidah binti Haji Wahid @ Burut; Pemangku Ketua Kampung Rancangan Perumahan Negara Panchor Mengkubau, Mukim Mentiri; Pengarah ADPutera Event Management & Trading Services, Dato Haji Adi Putera; juga para penyumbang, James Hon Management & Marketing dan Alimen Enterprise.
Pelbagai persembahan salingan juga turut mengambil tempat bagi memeriahkan lagi Bintang Belia Keputeraan, antaranya persembahan daripada penyanyi tempatan, Raful Rezal, persembahan duet Neff Aslee dan Yaniey Junaini juga persembahan daripada enam Bintang Belia Keputeraan.