[Sumber: Pelita Brunei]
Berita: Nooratini Haji Abas -Penerangan
Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid -Penerangan & Jabatan Muzium-Muzium (KKBS)
KOTA BATU, Sabtu, 18 Mei 2019 - Seramai enam warga Jabatan Muzium-Muzium dikurniakan Anugerah Pekerja Contoh sempena Hari Muzium Antarabangsa 2019.
Penerima-penerima terdiri daripada Pegawai Penyelidik Kanan, Bahagian Perolehan, Dayang Nora binti Haji Kadir; Pegawai Pemeliharaan, Bahagian Pemeliharaan dan Pembaikan, Awang Haji Azly bin Haji Tuah; Pembantu Arkib Tingkat I, Bahagian Arkib Negara Brunei Darussalam, Awang Mohd. Norizal bin Roseli; Penolong Penyelidik, Bahagian Etnografi, Awang Puasa bin Kamis; Pengawas Kecil, Bahagian Penyelenggaraan Estet, Awang Moksin bin Amit; dan Atendan Dewan, Bahagian Galeri Seni, Dayang Hajah Jalia binti Haji Ahmad.
Hadir selaku tetamu kehormat juga menyampaikan trofi dan sijil kepada para penerima pada majlis yang berlangsung di Masjid Pelambayan, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.
Tetamu kehormat jua menyampaikan penyerahan plak dan sijil kepada 12 warga jabatan yang menamatkan tempoh perkhidmatan masing-masing mulai Jun 2017 hingga Mac 2019.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yaa Siin dan Tahlil dipimpin oleh Imam Masjid Kampung Pelambayan, Awang Haji Ali Yusuf bin Haji Arsad.
Majlis turut diisikan dengan tazkirah bertajuk Kerja itu Ibadah, disampaikan oleh Penolong Pensyarah Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPUSB), Awang Nazirul Mubin bin Ahad.
Pemangku Pengarah Jabatan Muzium-Muzium, Awang Amirul Syukri bin Hafneh selaku Pengerusi Sambutan Hari Muzium Antarabangsa dalam ucapannya menyeru warga jabatan berkenaan perlu peka dan tekun dalam peranan masing-masing dalam menyediakan landasan-landasan strategik untuk merealisasikan impian negara.
Jelasnya, peruntukan disediakan dalam Rancangan Kemajuan Negara bagi projek-projek menaik taraf dua infrastruktur aset-aset Muzium, iaitu Galeri Seni Dermaga DiRaja dan Muzium Brunei di Kota Batu yang merupakan indikasi dan komitmen kerajaan untuk menjayakan objektif-objektif Wawasan 2035.
Sambutan merupakan usaha pihak Jabatan Muzium-Muzium dalam sama-sama menyokong dan memeriahkan lagi Sambutan Hari Muzium Antarabangsa yang diadakan seluruh dunia juga bertujuan pihak jabatan mengenang dan menghargai jasa warga perkhidmatan awam yang pernah berkhidmat dengan Jabatan Muzium-Muzium.
Sempena Hari Muzium Antarabangsa 2019, Jabatan Muzium-Muzium juga membukakan Pertandingan Penulisan Esei kepada orang ramai dengan tajuk 'Muziumku Warisanku' yang dibukakan selama tiga bulan bermula 18 Mei hingga 15 Ogos 2019 depan.
Pertandingan dibahagikan kepada dua kategori, iaitu Kategori 'A' adalah untuk orang ramai yang berumur 16 hingga 18 tahun, dan Kategori 'B' adalah untuk orang ramai berumur 13 hingga 15 tahun.
Objektif pertandingan adalah untuk menggalakkan kajian penyelidikan dan penulisan sejarah dalam bidang kemuziuman, di samping mendidik orang ramai untuk menyedari kepentingan muzium dan masyarakat dalam menghargai adat, sejarah juga budaya sebagai warisan negara.
Sambutan tahun ini bertemakan 'Museums as Cultural Hubs : The Future of Tradition' (Muzium sebagai Pusat Budaya : Tradisi Masa Hadapan) yang bertepatan untuk diperjuangkan dengan mengambil kira usaha negara ini untuk membentuk peribadi dan jati diri generasi muda dalam meningkatkan nilai pendidikan dan warisan kebudayaan untuk mendukung hasrat negara dalam mencapai Wawasan 2035.