
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Haireni binti Haji Awang Damit, Pemangku Timbalan Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka selaku Timbalan Pengerusi majlis.
Majlis diteruskan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, iaitu Surah al-Qadr oleh Yang Mulia Awang Haji Nordin bin Haji Durahman, Guru Ugama, Kompleks Rumah Kebajikan, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM). Manakala pembaca ibrah bagi surah tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Nuurmatiin bin Haji Abu Bakar, Pemangku Pegawai Pembangunan Masyarakat dan Pemangku Ketua Guru Ugama, Pusat Bahagia Brunei dan Muara, JAPEM.
Seterusnya, majlis turut diserikan dengan Ceramah Khas bertajuk “Berdamping dengan Al-Quran” yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak, Pensyarah Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).
Majlis diakhiri dengan Bacaan Doa Khas bagi Memohon Kesihatan dan Kesejahteraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia oleh Yang Mulia Awang Md. Nabil bin Haji Ruslan, Pembantu Perkembangan Ugama, Pusat Pembangunan Belia.
Turut hadir ke majlis berkenaan ialah Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap, Ketua-Ketua Bahagian dan Jabatan serta pegawai dan kakitangan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Majlis tersebut merupakan salah satu aktiviti tahunan keagamaan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta Jabatan-Jabatan di bawahnya yang bertujuan untuk memperingati dan menyemarakkan peristiwa bersejarah, iaitu Nuzul Al-Quran bersempena dengan turunnya ayat pertama kepada Nabi Muhammad sallallahu alaihi wa sallam. Dengan memperingati dan menghayati peristiwa tersebut, mudah-mudahan kita sentiasa mengingati dan mencintai Al-Quran.