Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

KE ARAH PENAMBAHBAIKAN MUTU SUKAN NEGARA

Post-motem Sukan Asia Ke-18.19.09.18.1.jpg

[Sumber: Pelita Brunei]

Berita: Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman - Penerangan

Foto: Azmah Haji Ahad - Penerangan

BERAKAS, Rabu, 19 September 2018 – Atlet-atlet Kebangsaan Negara Brunei Darussalam baru-baru ini telah menyertai Sukan Asia Ke-18 (18th Asian Games), yang berlangsung di Jakarta-Palembang, Indonesia pada 18 Ogos hingga 2 September 2018 dalam tujuh acara sukan.

Pada kejohanan tersebut, atlet-atlet kebangsaan tidak meraih sebarang pingat, namun pujian harus diberikan atas saingan yang mereka berikan kepada pihak lawan, serta semangat juang yang tidak luntur yang dipamerkan semasa temasya sukan tersebut.

Sehubungan itu, Mesyuarat Post-Mortem Sukan Asia Ke-18 (18th Asian Games) Jakarta-Palembang, Indonesia 2018, telah mendengarkan laporan mengenai prestasi dan pencapaian para atlet kebangsaan, semasa acara sukan berkenaan, termasuk cadangan-cadangan bagi penambahbaikan.

Berangkat pada mesyuarat yang berlangsung di Bilik Persidangan, Stadium Negara Hassanal Bolkiah itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan, Negara Brunei Darussalam.

Post-motem Sukan Asia Ke-18.19.09.18.3.jpg

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dalam sembah alu-aluannya, antara lain menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih, di atas keberangkatan DYTM bercemar duli ke mesyuarat tersebut yang menunjukkan keprihatinan berterusan DYTM terhadap sukan di negara ini.

Mesyuarat Post-Mortem tersebut jelasnya, dihasrat untuk dijadikan sebagai garis pandu dalam usaha berterusan untuk meningkatkan dan memperbaiki prestasi dan pencapaian atlet-atlet di negara ini yang dianggap penting, terutamanya dalam temasya-temasya sukan yang akan diadakan dan disertai.

Yang Berhormat percaya, mesyuarat berkenaan adalah penambah nilai dan muzakarah mewujudkan kualiti kesukanan yang lebih bermutu dan cemerlang.

Sementara itu, Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila  binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Penilaian dan Pemilihan Atlet Kebangsaan pula menyembahkan, tujuan mesyuarat adalah untuk mendengarkan laporan dari Chef de Mission bagi Sukan Asia Ke-18, bukan sahaja untuk mengenal pasti kelemahan-kelemahan yang dihadapi, atau kekurangan yang perlu diperbaiki, bagi membolehkan semua pihak mengambil tindakan-tindakan susulan, malah yang lebih penting ialah untuk mengetengahkan perkara-perkara positif yang perlu dikekalkan atau diteruskan.

Dalam Laporan Kontinjen ke Sukan Asia Ke-18 (18th Asian Games) Jakarta-Palembang, Indonesia 2018, yang disampaikan oleh Dayang Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim, selaku Chef de Mission, beliau antaranya mengongsikan bahawa seramai 15 orang alet kebangsaan telah menyertai dalam tujuh acara sukan, iaitu Angkat Berat (Weight Lifting), Equestrian, Golf, Karate, Olahraga, Pencak Silat dan Wushu.

Menurutnya, lima orang atlet telah berjaya mencapai sasaran, iaitu dalam sukan Angkat Berat, Pencak Silat dan Wushu, manakala tiga atlet juga berjaya memperbaiki pencapaian mereka, iaitu dalam sukan Wushu.

Semasa pembentangan laporan tersebut, beberapa cadangan dikemukakan antaranya untuk Persatuan Sukan Kebangsaan menubuhkan Bahagian / Unit Prestasi di mana jawatankuasanya terdiri daripada bekas-bekas atlet negara.

Juga dicadangkan ialah pelaksanaan Program Prestasi serta 'Performance Analysis' melalui video (taktik dan teknik), menggunakan pendekatan sains sukan (biomekanik), physiologi dan psikologi untuk membantu kekurangan dan memperbaiki prestasi atlet dari masa ke semasa.

Pada Sukan Asia Ke-18 itu, China muncul di tangga teratas, dengan jumlah pingat yang paling banyak diraih iaitu sebanyak 289 pingat, diikuti dengan Jepun yang meraih 205 pingat dan Republik Korea dengan 177 pingat.

Attachments
Created at 9/20/2018 4:07 PM by Lee Chin Foo
Last modified at 9/20/2018 4:37 PM by Lee Chin Foo