Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

TUNJUKKAN PRESTASI TERBAIK

Penyerahan Bendera14.08.18-11.jpg

[Sumber: Pelita Brunei]

Berita: Haniza Abdul Latif - Penerangan

Foto: Hajah Ajijah Ali - KKBS

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 14 Ogos 2018 - Para atlet kebangsaan yang menyertai Sukan Asia Ke-18 disaran untuk sentiasa memberikan dedikasi, komitmen, dan disiplin yang tinggi dalam menunaikan tanggungjawab masing-masing, di samping memberikan tumpuan jitu (focus), azam dan semangat juang yang tinggi, dan sentiasa menunjukkan prestasi yang terbaik semasa pertandingan itu nanti.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC) bersabda demikian pada Majlis Penyerahan Bendera Negara kepada Kontingen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Asia Ke-18, Jakarta  Palembang 2018.

"Saya percaya, ini adalah satu amanah yang diberikan dan harus ditanai oleh semua atlet, kerana tanpa adanya semua ini, ianya akan menjadi batu penghalang bagi setiap atlet untuk melepasi rintangan dan halangan dalam memperolehi kejayaan," sabda Duli Yang Teramat Mulia pada majlis yang berlangsung di Bilik Hijau, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, di sini.

Mengenai 'Anti-Doping', DYTM bersabda menekankan bahawa sebagai seorang yang bergelar atlet kebangsaan dan juga pegawai yang terpilih bagi mewakili negara, seharusnya sudah mengetahui akan kepentingan penjagaan diri dari barang terlarang yang menyalahi dari segi 'Anti-Doping'.

Sabda DYTM lagi, seandainya para atlet tidak tahu, maka mereka adalah tidak layak untuk digelar sebagai atlet kebangsaan dan tidak layak dipilih bagi mewakili negara sama ada sebagai atlet ataupun pegawai.

Terdahulu, DYTM bersabda melahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, melalui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, di atas sokongan yang diberikan, kepada BDNOC, sehingga dapat menghantar satu kontinjen, seramai 8 orang atlit lelaki dan 7 orang atlet wanita, yang mana akan menyertai dalam tujuh jenis sukan iaitu sukan Angkat-Berat, Ekuine (Jumping), Golf, Karatedo, Olahraga, Pencak Silat dan Wushu.

Di samping itu sabda DYTM, turut mengiring kontinjen negara ialah seorang Chef de Mission, dua pegawai urusetia, dua pegawai perubatan dan 10 orang pegawai terdiri dari pengurus, jurulatih-jurulatih dan juga groom.

"Tahniah saya ucapkan kepada atlet-atlet yang terpilih untuk mewakili negara. Hendaklah difahami di sini, di mana penyertaan abiskita, adalah berdasarkan kepada kelayakan dan penilaian yang terperinci, yang telah dibuat, dan diputuskan oleh Jawatankuasa Tertinggi Penilaian dan Pemilihan Atlet Kebangsaan. Oleh yang demikian, abis kita sepatutnya mengambil kesempatan ini sepenuhnya dengan semangat yang tinggi, dalam sama-sama berusaha bagi mengharumkan nama Negara Brunei Darussalam di Sukan Asia ke-18 nanti," sabda DYTM lagi.

DYTM seterunya bersabda, sebagai atlet terbaik negara dalam acara sukan masing-masing, sudah tentu akan mendapat sokongan padu dari peminat-peminat sukan di negara ini.

Sabda DYTM, dengan adanya sokongan sedemikian ianya akan menyuntik semangat padu para atlet dalam menghadapi pihak lawan semasa pertandingan nanti.

"Di kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada persatuan sukan kebangsaan dan jurulatih-jurulatih yang terlibat, serta ibu bapa atlet-atlet, kerana sentiasa memberikan bimbingan, sokongan dan dorongan yang berterusan bagi sama-sama menjayakan sukan di negara kita," sabda DYTM lagi.

Dalam mengakhiri sabda, DYTM berdoa semoga semua akan mendapat kejayaan, sentiasa diberi kekuatan dan kesihatan, serta sentiasa dalam peliharaan Allah Subhanahu Wata'ala.

Penyerahan Bendera14.08.18.seating.jpg

Attachments
Created at 8/15/2018 10:24 AM by Lee Chin Foo
Last modified at 8/15/2018 10:25 AM by Lee Chin Foo