Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

KERAJAAN BERUSAHA BAIKI ECO-SYSTEM KEUSAHAWANAN BELIA

Hari Belia.1.jpg

[Sumber: Pelita Brunei]

Berita: Haniza Abdul Latif - Penerangan

Foto: Hajah Ajijah Ali (KKBS) dan Penerangan

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 1 Ogos 2018 - Program I-Usahawan akan memberi peluang kepada pengusaha-pengusaha belia tempatan bagi mengambil bahagian di dalam tender untuk kontrak-kontrak berisiko rendah dan sebagainya.

Setakat ini, terdapat sebanyak 30 kontrak industri minyak dan gas bagi program perintis I-Usahawan, yang mana berpotensi untuk dilaratkan ke sektor lain dan juga sektor kerajaan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah demikian pada Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-13 Tahun 2018 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Menurut titah baginda, pada satu ketika dahulu kita mempunyai program peladang muda dan dengan teknologi yang lebih moden serta peluang yang lebih luas di dalam 'Agribusiness', maka mungkin saja program itu sesuai untuk dihidupkan semula, dengan pendekatan yang baharu.

''Pada hemat beta, semua inisiatif yang sedia ada dan sedang dirancang, jika dimanfaatkan sepenuhnya, tidak mustahil ia berupaya untuk melahirkan ratusan pengusaha dan ribuan peluang pekerjaan.''

''Oleh itu, pastikanlah ia, tidak disia-siakan,'' tegas baginda.

Terdahulu, baginda bertitah, mendapati di kebelakangan ini, berlaku kemajuan dan perkembangan positif di kalangan para belia kita, khasnya dalam bidang keusahawanan dan kemasyarakatan, sama ada secara individu mahupun perkumpulan, bukan sahaja dalam negara bahkan juga di peringkat serantau dan antarabangsa.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah, hampir setiap hari kita mendengar dan membaca di dalam laman-laman media sosial tentang kejayaan anak-anak muda menerokai pelbagai bidang dalam kehidupan, yang mana setentunya menjadi pembakar semangat kepada semua.

''Kita adalah menyedari akan keperluan usaha. Kerana rezeki tidak datang bergolek, melainkan memerlukan usaha, dan dengan usaha itulah juga kita mampu menembusi dunia pasaran,'' titah baginda.

Menurut baginda, dengan adanya ledakan maklumat dan pesatnya jaringan komunikasi berteknologi tinggi, maka bidang perniagaan dan usahawan adalah terbuka lebih luas, yang mana dengan terciptanya platform seperti ini, para belia seharusnya lebih kreatif lagi memperkasa diri masing-masing.

Titah baginda lagi, pada masa yang sama, kerajaan baginda juga sedang menyusun semula dan memperbaiki 'Eco-System Keusahawanan Belia' untuk membantu mereka menjadi pengusaha yang berjaya termasuk mengemaskinikan program yang sedia ada di bidang 'capacity building', penyediaan kemudahan infrastruktur yang berbentuk fizikal dan digital serta kemudahan pembiayaan kewangan dan 'market access'.

Baginda menambah titah, kerajaan baginda juga akan turut melangkah lebih jauh menyediakan 'Eco-System Keusahawanan Belia' yang lebih komprehensif, yang mana salah satu daripada pembaikan 'Eco-System' tersebut ialah dengan mempromosi dan menyediakan peluang-peluang perniagaan yang spesifik untuk membantu para belia memulakan perusahaan.

Pihak agensi kerajaan yang berkenaan tambah baginda, akan bekerja rapat dengan pengusaha-pengusaha belia di dalam mengenal pasti bidang-bidang tertentu, seperti menyediakan pelan perniagaan dan kemudahan-kemudahan lain.

Pada mengakhiri titah bersempena Hari Belia Kebangsaan pada tahun ini, baginda mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua golongan belia di negara ini yang telah memberikan sumbangan mereka kepada negara dan bangsa.

Hari Belia-usahawan.3.jpg

Hari Belia-usahawan.4.jpg

Attachments
Created at 8/2/2018 1:46 PM by Lee Chin Foo
Last modified at 8/2/2018 1:54 PM by Lee Chin Foo