Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

MAJLIS PERASMIAN PESTA BUKU BRUNEI 2024

Acara kemuncak majlis ialah pelancaran aplikasi BudayaBN, perkhidmatan terbaharu Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan hasil usaha sama Sektor Kebudayaan dan Unit Teknologi Maklumat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. BudayaBNberfungsi sebagai aplikasi pusat  yang menempatkan maklumat dan perkhidmatan di bawah Sektor Kebudayaan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Aplikasi ini bertujuan untuk memelihara dan mempromosi warisan budaya dengan mendokumentasi tradisi, bahasa dan amalan masyarakat Brunei, dan diharap akan memudahkan masyarakat Brunei khususnya dan masyarakat luar negara amnya untuk mengetahui, memahami dan menghargai budaya Brunei yang pelbagai. Setakat ini, pengisian aplikasi mengandungi modul Kamus Bahasa Melayu Brunei, termasuk ejaan Jawi, gambar dan audio cara sebutan.


Majlis juga menyaksikan pelancaran 33 buah buku terbaharu, iaitu 18 buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, sembilan buku terbitan Jabatan Muzium-Muzium dan enam buku terbitan Pusat Sejarah Brunei. Buku terdiri daripada genre umum, ilmiah, sastera dan kanak-kanak.

 

Turut disempurnakan semasa Majlis Perasmian ialah penyampaian Hadiah Buku Terlaris 2023, iaitu usaha Dewan Bahasa dan Pustaka untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada buku-buku yang dihasilkan oleh penulis-penulis tanah air, sama ada yang diterbitkan oleh penerbit-penerbit kerajaan, swasta mahupun orang perseorangan. Pengiktirafan ini dinilai daripada jumlah buku terjual dalam setahun. Hadiah Buku Terlaris bagi tahun 2023 dianugerahkan kepada tiga kategori buku, iaitu ilmiah, sastera dan kanak-kanak. Hadiah Buku Terlaris bagi kategori ilmiah dianugerahkan kepada buku bertajuk Tarsilah Brunei: Peralihan ke Arah Brunei Moden (Tahun 1828 – 1924 Masihi), ditulis oleh Allahyarham Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama Profesor Kehormat Dr. Haji Awang Mohd. Jamil Al-Sufri bin Begawan Pehin Udana Khatib Dato Seri Paduka Haji Awang Umar, dan diterbitkan oleh Pusat Sejarah Brunei. Bagi kategori sastera, pengiktirafan diberi kepada buku Real Ghost Stories of Borneo 6, nukilan Dr. Aamton Alias dan terbitan M Content Creations. Manakala bagi kategori kanak-kanak, Hadiah Buku Terlaris 2023 diberikan kepada buku bertajuk Pancuran Limpanas Si Burung Murai tulisan Dayang Suriani @ Sarrah 'Aina binti Haji Abdul Rahman, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Dengan adanya penghargaan Hadiah Buku Terlaris ini dihasrat akan menggalakkan perkembangan penulisan, meningkatkan pertumbuhan industri perbukuan yang lebih kompetitif, meningkatkan kualiti penulisan dan penerbitan, menggalakkan penulis untuk mempromosi dan menjual buku masing-masing sekali gus mendukung dan memperkasa budaya membaca di negara ini.

 

Terdahulu, ucapan alu-aluan disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Haireni binti Haji Awang Damit, Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka selaku Pengerusi Pesta Buku Brunei 2024.

 

Majlis perasmian Pesta Buku Brunei 2024 juga diserikan dengan persembahan sketsa Hikayat 4 Pemalas oleh Rampun Kesenian Insan Sastera (RAKIS), sebuah kelab kegiatan sastera di Universiti Brunei Darussalam. Sketsa ini diadaptasi daripada komik Hikayat 4 Pemalas karya Dr. Ena Wasli, Pensyarah Program Kesusasteraan Melayu, Universiti Brunei Darussalam. Komik ini mengandungi unsur budaya Melayu seperti pantun, syair dan cara kehidupan masyarakat Melayu tradisional, yang disampaikan dalam bentuk komedi dan menghiburkan tetapi sarat dengan mesej dan moral.


Pesta Buku Brunei 2024 membawa tema “Lestari Buku, Santuni Budaya" dan berkonsepkan didik hibur (edutainment). Ia dibukakan bagi kunjungan orang ramai setiap hari bermula pada 2 hingga 11 November 2024, pukul 8.30 pagi hingga 9.30 malam, kecuali hari Jumaat pada pukul 8.30 pagi hingga 11.30 pagi dan 2.30 petang hingga 9.30 malam. Pesta Buku Brunei kali ini menampilkan sebanyak 37 pempamer dalam dan luar negara yang menawarkan jualan buku dengan potongan harga 10% hingga 80%. Selain itu, pelbagai aktiviti menarik bagi setiap peringkat umur turut diadakan, dan peserta aktiviti berpeluang untuk memenangi hadiah istimewa.​

Attachments
Created at 11/4/2024 8:41 PM by Rafidah.mokhtar
Last modified at 11/4/2024 8:44 PM by Rafidah.mokhtar