Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Mantapkan Penggunaan Bahasa Melayu

Oleh : Aimi Sani / Foto : Ihsan Dewan Bahasa dan Pustaka

• ANTARA objektif forum berkenaan adalah bagi mendapatkan sokongan dan penglibatan pelbagai pihak untuk menyebarluaskan pengetahuan dan memantapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, termasuk tulisan Jawi. 

• INTI pati forum membincangkan mengenai pandemik COVID-19 menjadi penggalak kepada pemartabatan dan pembudayaan bahasa Melayu, terutama dalam aspek terminologi dan pengayaan perbendaharaan bahasa Melayu yang digunakan secara meluas dalam dan luar negara. 


BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 17 November. - Tamu Bahasa (Forum Bahasa) merupakan salah satu program pemartabatan bahasa Melayu di bawah payung Bulan Bahasa yang dijalankan sepanjang tahun 2021. Kita sedia maklum bahawa Majlis Sambutan Bulan Bahasa telah pun diadakan pada 5 Julai 2021 yang lepas dan Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei (DBP) telah merangka pelbagai kegiatan untuk menyemarakkan Bulan Bahasa ini. 

Memandangkan situasi pandemik COVID-19 ketika ini, sebahagian kegiatan telah diubah suai mengikut norma baharu yang disesuaikan dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan. 

Dalam erti kata lain, DBP sebagai institusi yang bertanggungjawab mengembangmajukan bahasa Melayu tetap meneruskan kegiatannya dan salah satu kegiatan dalam Program Tamu Bahasa bagi siri kedua kali ini ialah Forum Bahasa.

Sehubungan itu, DBP pagi tadi menganjurkan Tamu Bahasa secara maya melalui Facebook DBP Brunei dengan tajuk ‘Bahasa Melayu dalam Wacana COVID-19 di Negara Brunei Darussalam’.

Moderator forum tersebut ialah Pegawai Bahasa DBP, Dayang Masni binti Moktal.

Manakala ahli forum terdiri daripada Pensyarah Bahasa Melayu dan Linguistik Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr. Siti Badriyah binti Haji Mohamad Yusof dan Pengarah Pusat Bahasa UBD, Dr. Yabit Alas. 

Antara objektif forum berkenaan adalah bagi mendapatkan sokongan dan penglibatan pelbagai pihak untuk menyebarluaskan pengetahuan dan memantapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, termasuk tulisan Jawi. 

Selain turut membincangkan isu-isu semasa yang bukan hanya tertumpu kepada pemantapan  penggunaan bahasa Melayu, istilah-istilah baharu dan tulisan Jawi tetapi juga turut mempelopori perbincangan dalam pelbagai disiplin ilmu semasa, iaitu sains, teknologi, ideologi, kebudayaan dan ranah ilmu lain yang bersinergi mendukung usaha pengembangan dan pemartabatan bahasa Melayu di samping menimbulkan rasa kecintaan dan semangat patriotisme terhadap bahasa Melayu bagi segenap lapisan masyarakat, dengan objektif penyebarluasan berskala besar menggunakan platform digital serta meningkatkan kesedaran dan kefahaman semua lapisan masyarakat bahawa bahasa Melayu merupakan identiti bangsa Melayu yang tidak boleh dikesampingkan kepentingannya.

Antara inti pati forum membincangkan mengenai pandemik COVID-19 menjadi penggalak kepada pemartabatan dan pembudayaan bahasa Melayu, terutama dalam aspek terminologi dan pengayaan perbendaharaan bahasa Melayu yang digunakan secara meluas dalam dan luar negara. 

Pewahanaan bahasa Melayu perlu didampingi elemen kreatif dalam konteks kebruneian yang dapat merentas lapisan generasi masyarakat Brunei dan juga masyarakat sejagat, terutama dalam penggunaan media sosial.

Forum turut menyentuh mengenai penggunaan bahasa yang betul dan kreatif akan menarik minat generasi muda untuk lebih mengutamakan bahasa Melayu dan mencapai jangkauan masyarakat tempatan serta antarabangsa.

Bahasa Melayu perlu bergerak seimbang dengan kepesatan teknologi infokomunikasi agar dapat mencapai jangkauan mengikut aspek lingkungannya. Dalam hal ini, perlu ada keseimbangan bahasa bagi mengangkat dan menaik taraf Bahasa Melayu dari aspek pembinaan pangkalan data, infrastruktur, penterjemahan dan lain-lain yang relevan dengan gerakan progresif.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 11/25/2021 1:28 PM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 11/25/2021 1:28 PM by Nisbah Binti Hj Merusin