Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Penyerahan Bendera Amanat Dan Hasrat Kepada Kontinjen Negara

DSC_5791.jpg

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam berkenan menyempurnakan penyerahan bendera negara kepada Chef de Mission Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan SEA, Pengiran Anak Mohd. Sofian bin Pengiran Anak Haji Ibrahim.

[Sumber: Pelita Brunei]
Oleh : Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim, Hernie Suliana Haji Othman - Penerangan
Foto : Pg Suhaimi bin Pg Hj Othman - KKBS

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 9 Ogos. - Seramai 105 atlet Negara Brunei Darussalam dan 66 pegawai termasuk Chef de Mission, Assistant Chef de Mission, pengurus pasukan, jurulatih dan kakitangan perubatan akan menggalas cabaran pada Temasya Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) Ke-29, Kuala Lumpur, Malaysia yang akan bermula pada 19 Ogos hingga 30 Ogos 2017.

Sehubungan itu, Majlis Penyerahan Bendera Negara kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam  berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, di sini.

Berangkat bagi menyempurnakan majlis tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

Berangkat sama ialah anakanda DYTM, Yang Amat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul ‘Aleem.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat bagi menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Negara kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam yang akan mengikut serta dalam Sukan SEA Ke-29 (Kuala Lumpur, Malaysia) yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin.

Dalam sembah alu-aluan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, antara lain menyembahkan, penyerahan bendera negara merupakan amanat dan hasrat kepada atlet untuk membawa cabaran negara supaya berhasil dalam misi mereka dan membawa salam muhibah dan salam perpaduan seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam kepada negara tuan rumah khususnya dan seluruh negara peserta amnya.

“Sepanjang tahun 2016, Alhamdulillah, melihat Negara Brunei Darussalam membawa balik 9 pingat emas, 13 perak dan 14 gangsa pada kejohanan-kejohanan sukan di luar negara, yang merupakan pencapaian yang agak baik yang mendorong Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) khususnya untuk terus-menerus melipatgandakan usaha menjalankan dasar pembangunan sukan ke arah pembentukan budaya sukan menerusi penglibatan masyarakat secara menyeluruh dan pencapaian kecemerlangan di peringkat antarabangsa,” tambah Yang Berhormat.

Kemuncak majlis ialah sabda DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan seterusnya berkenan menyempurnakan penyerahan bendera negara kepada Chef de Mission Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan SEA, Pengiran Anak Mohd. Sofian bin Pengiran Anak Haji Ibrahim.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dan diikuti dengan sesi bergambar ramai kontinjen bersama Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

Negara Brunei Darussalam akan menyertai sebanyak 14 acara sukan pada Sukan SEA kali ini iaitu akuatik (renang berirama); olahraga; badminton; lumba basikal; ekuestrian (endurance, jumping, polo); lawan pedang; bola sepak; golf; karate; boling padang; bola jaring; pencak silat; sepak takraw dan wushu.

Kontinjen negara dijangka bertolak ke Kuala Lumpur, Malaysia secara berperingkat-peringkat bermula 12 Ogos 2017.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha-Setiausaha Tetap KKBS, Awang Haji Noor Jusmin bin Haji Abd. Samad dan Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil; Ahli-ahli Jawatakuasa Pemilihan dan Penilaian Atlet; dan pegawai-pegawai kanan KKBS serta para ibu bapa dan penjaga.

Attachments
Created at 9/6/2017 3:05 PM by Muhd. Hafizul 'Ilmi Bin Hj Zaini @ Zatul Hilmi
Last modified at 9/7/2017 10:17 AM by Muhd. Hafizul 'Ilmi Bin Hj Zaini @ Zatul Hilmi