Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Seramai 45 pegawai dan
kakitangan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan
jabatan-jabatan di bawahnya telah menerima sijil pada Majlis Penutup
Bengkel Pengacara/Juruacara Majlis yang berlangsung di Balai Sarmayuda,
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Berakas, hari ini.
Pada majlis itu, sijil-sijil telah disampaikan oleh Pemangku Timbalan
Pengarah DBP, Hajah Haireni binti Haji Awang Damit.
Antara lain objektif bengkel dua hari berkenaan adalah untuk
memberikan pendedahan dan pengetahuan dalam pengendalian pengacaraan
dengan lebih berkesan dan bersistematik seterusnya mewujudkan serta
mengembangkan potensi diri pegawai dan kakitangan yang ingin menjadi
pengacara atau juruacara dalam majlis.
Dengan adanya bengkel berkenaan, peserta diharap akan mendapat
pengetahuan dan pemahaman dalam penyediaan skrip dan menjadi pelapis di
jabatan masing-masing untuk meneruskan bidang pengacaraan dan membimbing
serta mengasuh bakat peserta dalam bidang pengacaraan.
Sepanjang bengkel itu, para peserta dibimbing oleh Mantan Pengarang
Kanan di Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera, DBP, Hajah
Shaharah binti Dato Paduka Haji Abdul Wahab.
Dipetik daripada Media Permata
Tarikh: 29 Oktober 2020