Berita
dan Foto : Saerah Haji Abdul Ghani
BANDAR
SERI BEGAWAN, Selasa, 27 Oktober. - Lazimnya, sesebuah
institusi dan organisasi akan mengadakan apa sahaja jenis majlis atau
acara yang diadakan di jabatan masing-masing. Dalam mengendalikan majlis
atau acara, pengacara atau juruacara memainkan peranan penting bagi
melancarkan majlis yang diadakan.
Kelancaran sesebuah majlis atau acara itu
biasanya bergantung kepada pengacara atau juruacara dalam pengendalian
majlis yang dianjurkan. Kekurangan dan ketidaklancaran sesuatu majlis
atau acara yang berlangsung mencerminkan ketidaktelitian pihak penganjur
dalam menyelaraskan serta menguruskan majlis yang diadakan.
Perkara
ini memberi kesan negatif terhadap imej sesebuah institusi, organisasi
atau jabatan.
Sehubungan itu, unit HRD dan Latihan Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP) hari ini mengadakan Bengkel Pengacara atau
Juruacara Majlis yang bertempat di Balai Sarmayuda, DBP, Berakas.
Seramai
45 pegawai dan kakitangan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan
(KKBS) dan jabatan-jabatan di bawahnya menyertai bengkel yang merupakan
satu bimbingan untuk memberikan pendedahan kepada pegawai dan kakitangan
bagi melahirkan pengacara atau juruacara yang berketerampilan.
Bengkel
selama dua hari itu dibimbing oleh mantan Pengarang Kanan di Bahagian
Pembinaan dan Pengembangan Sastera, DBP Brunei, Dayang Hajah Shaharah
binti Dato Paduka Haji Abd Wahab.
Matlamat bengkel ini diadakan bagi
melahirkan pengacara yang serba boleh termasuk dalam teknik mengacarakan
majlis serta mencungkil bakat-bakat baharu dalam kalangan pegawai dan
kakitangan sebagai pengacara atau juruacara majlis yang boleh
diketengahkan di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara pegawai
dan kakitangan di bawah KKBS.
Sementara itu, objektif bengkel diadakan
adalah bagi memberikan pendedahan dan pengetahuan dalam pengendalian
mengacara dengan lebih berkesan dan bersistematik serta mewujudkan dan
mengembangkan potensi diri pegawai dan kakitangan yang ingin menjadi
pengacara atau juruacara dalam majlis.
Selain itu, ia bertujuan
bagi membimbing pegawai dan kakitangan dalam penyediaan teks atau skrip
pengacara atau juruacara serta memberikan pendedahan kepada pengendali
acara untuk bersedia menjadi pengacara atau juruacara yang berkesan.
Di
samping, untuk memberi kefahaman mendalam cara melaksanakan tugas
mengacara majlis dengan sempurna mengikut amalan protokol semasa dan
meningkatkan imej dan keyakinan diri pegawai dan kakitangan dalam
berkomunikasi di hadapan khalayak ramai sebagai pengacara atau juruacara
majlis.
Diharap melalui bengkel ini para peserta akan memperoleh
pengetahuan dan pemahaman dalam penyediaan skrip serta pelapis di
jabatan masing-masing untuk meneruskan bidang pengacaraan di samping
membimbing dan mengasah bakat para peserta dalam bidang pengacaraan.
Dipetik daripada Pelita Brunei