Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Membarigakan Sistem Ejaan Bahasa Melayu

Memberigakan sistem ejaan bahasa Melayu.JPG

Siaran Akhbar dan Foto : Dewan Bahasa dan Pustaka

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 24 Oktober. - Dalam usaha untuk memperkasakan lagi penggunaan bahasa Melayu khususnya dalam sistem ejaan bahasa Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengadakan Kursus Sistem Ejaan Rumi Bahasa Melayu yang diadakan di Kompleks Sukan Jerudong, Jabatan Belia dan Sukan, di sini, hari ini.

Kursus tersebut yang terkandung di bawah Program Bengkel Bahasa Melayu merupakan kursus yang cuba memperkenalkan pola Sistem Ejaan Bahasa Melayu baharu bagi menggantikan pola ejaan lama seperti penggantian huruf 'e' dengan 'i' dan 'o' menjadi 'u' dan lain-lain.

Selain itu, kursus ini juga secara ringkas turut menyentuh mengenai sistem pembentukan ejaan bahasa Melayu baku melalui beberapa proses seperti peminjaman (loan words), penyerapan, imbuhan (affixes) dan lain-lain.

Kursus tersebut dikendalikan oleh Pegawai Bahasa di Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa, DBP, Dayang Hajah Annisa binti Haji Moksin.

Terdahulu, kursus ini merupakan salah satu khidmat kebahasaan yang diberikan secara percuma kepada kementerian, jabatan-jabatan kerajaan dan swasta berdasarkan permintaan jabatan-jabatan yang memerlukan.

Hadir dalam menjayakan lagi kursus tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Turut hadir, Setiausaha Tetap, KKBS, Pengiran Haji Mohd. Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; Setiausaha Tetap (Kebudayaan dan Kemasyarakatan), KKBS, Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari dan Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), KKBS, Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.

Juga hadir, Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab; pengarah-pengarah jabatan dan bahagian serta pegawai-pegawai kanan KKBS.

Semasa sesi kursus tersebut, Setiausaha Tetap (Kebudayaan dan Kemasyarakatan), KKBS berkesempatan untuk memberikan ucapan alu-aluan.

Antara pengisian kursus tersebut ialah Sistem Ejaan Rumi dan Tatabahasa BM 1 (pengenalan); Sistem Ejaan Rumi dan Tatabahasa BM 2 (golongan kata bahasa Melayu) dan Sistem Ejaan Rumi dan Tatabahasa BM 3 (golongan kata bahasa Melayu) dan banyak lagi.

Selain memperkasakan lagi penggunaan bahasa Melayu, kursus tersebut juga menanamkan objektif untuk memperkenalkan Sistem Ejaan Rumi baharu dan tatabahasa asas bahasa Melayu kepada orang awam khususnya.

Seterusnya, peserta kursus berpeluang untuk mempelajari sistem pembentukan ejaan melalui kaedah-kaedah peminjaman, penyerapan, terbitan dan lain-lain.

Kemudian, membetulkan persepsi lama yang menjadi kebiasaan sehingga menyebabkan kesalahan ejaan dan juga tatabahasa bahasa Melayu dan akhir sekali, mengembangkan penggunaan ejaan dan tatabahasa bahasa Melayu yang betul dan baik kepada semua peringkat masyarakat.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 10/26/2020 2:37 PM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 10/26/2020 2:37 PM by Nisbah Binti Hj Merusin