Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Mencetus Dialog Intelektual Dalam Kalangan Penyelidik, Karyawan Sastera

Mencetus dialog intelektual dalam kalangan penyelidik, karyawan sastera 2.JPG

Oleh : Khartini Hamir / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 7 Oktober. - Penubuhan MASTERA atau Majlis Sastera Asia Tenggara dipersetujui pada asasnya oleh tiga buah negara pendiri, iaitu Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia dalam Kongres Bahasa Melayu Sedunia, pada 25 Ogos 1995.

Antara tujuan Penubuhan MASTERA adalah untuk merapatkan hubungan; pengertian dan kerjasama kesusasteraan negara-negara anggota dalam usaha memajukan dan mengembangkan kesusasteraan serantau ke arah menjadi warga sastera dunia yang berwibawa, di samping menyelaraskan kegiatan dan penyelidikan kesusasteraan serantau secara bersepadu.

Selaras dengan tujuan tersebut, salah satu kegiatan yang dirancang dan disepakati bersama ketiga-tiga negara pendiri, Siri Kuliah Kesusasteraan Bandingan (SKKB), di mana siri kuliah tersebut merupakan salah satu kegiatan MASTERA, yang diadakan setiap tahun.

Program yang dimulakan sejak tahun 1997 ini, mengundang sarjana sastera, khususnya kesusasteraan bandingan dari negara pendiri MASTERA atau negara pemerhati atau dari luar negara, yang mengkaji persuratan Melayu untuk menyampaikan kuliah berkenaan kesusasteraan bandingan.

Sehubungan itu, Siri Kuliah Kesusasteraan Bandingan MASTERA XXIII, 2020, diadakan dan disiarkan secara langsung dari Dewan Seminar Dato' Hassan Ahmad secara maya melalui Facebook DBP, Kuala Lumpur, di Dewan Patih Barbai, Tingkat 1, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Berakas, di sini.

Hadir mengikuti siri kuliah tersebut, Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab selaku Pengerusi MASTERA Brunei Darussalam.

Siri Kuliah Kesusasteraan Bandingan MASTERA XXIII, 2020, bertajuk 'Menelusuri Puitika Sastera Wanita dalam Novel Negara Serumpun', dibimbing oleh Prof. Madya Dr. Norhayati binti Abd. Rahman.

Antara objektif kuliah tersebut, memberi bimbingan dan pendedahan bertaraf rantau kepada penyelidik / pengkaji dan karyawan, di Asia Tenggara mengenai disiplin kesusasteraan bandingan.

Selain itu, untuk membina dan meningkatkan kepakaran juga mencetuskan dialog intelektual dalam kalangan penyelidik / pengkaji dan karyawan sastera juga menerbitkan bahan kuliah untuk dijadikan bahan rujukan tentang kesusasteraan bandingan bagi para pelajar dan khalayak sastera.

Prof. Madya Dr. Norhayati, dalam kuliahnya, menggariskan konsep kesusasteraan bandingan sebagai satu disiplin dalam pengkajian kesusasteraan, khususnya dalam bidang kritikan dan untuk lebih memahami apakah yang dimaksudkan dengan Kesusasteraan Bandingan, maka pembacaan harus bermula dengan pemahaman terhadap konsep disiplin itu sendiri.

Namun, berdasarkan berbagai-bagai definisi dan takrif atau pengertian yang diberi untuk mentafsirkan maksud dan konsep Kesusasteraan Bandingan itu, maka dapat dirumuskan bahawa Kesusasteraan Bandingan itu merangkumi beberapa perkara penting, iaitu kajian sastera dengan sastera di luar batas sesebuah negara; dan kajian tentang hubungan di antara sastera dengan pelbagai bidang daripada disiplin ilmu lain, seperti bidang seni (seni lukis, seni muzik, seni bina, seni ukir), falsafah, sejarah, sains sosial (politik, ekonomi, sosiologi), sains, agama dan lain-lain.

Menyentuh mengenai konsep Puitika Sastera Wanita pula, Prof. Madya Dr. Norhayati mengongsikan, puitika merujuk kepada konsep dan prinsip dasar yang menjadi landasan kepada pemikiran juga penciptaan sastera, di mana menurut Todorov, dalam bukunya Introduction to Poetics (1981), terdapat dua tanggapan yang berbeza untuk memahami konsep puitika, iaitu pertama, melihat kepada teks itu sendiri sebagai objek ilmu (object of knowledge); dan kedua, menimbang setiap teks sebagai suatu gambaran struktur yang abstrak.

Namun, pembicaraan tentang wanita dalam sastera sering kali menjurus kepada melihat wanita sebagai bahan penceritaan, sama ada oleh pengarang lelaki mahupun wanita; dan pemerian watak wanita dalam karya sastera oleh pengarang lelaki; dan wanita juga dikatakan berbeza.

Berdasarkan hasil-hasil kajian, pengarang lelaki dikatakan cenderung untuk memberikan gambaran yang tidak tepat mengenai wanita. Ketidaktepatan itu berlaku kerana wujudnya salah faham dan 'misrepresentation' mengenai wanita oleh pengarang lelaki, kemudian kemunculan para pengkritik feminis untuk menggunakan kepintaran mereka bagi mendekonstruksikan cara melihat wanita mengikut pandangan lelaki, jelasnya.

Beliau, juga turut menyentuh aspek lain, seperti teori Ginokritik sebagai alternatif membaca karya pengarang wanita; konsep Ginokritik; Model-model dalam Ginokritik; Penulisan Wanita dan Badan Wanita; Penulisan Wanita dan Bahasa Wanita; Penulisan Wanita dan Psikologi Wanita; Penulisan Wanita dan Budaya Wanita; Menelusuri Puitika Sastera Wanita dalam Novel Negara Serumpun; Penulisan Wanita dan Biologi Wanita; Identiti Diri Wanita dalam Penulisan; Ekspresi Seksualiti Wanita; Tentangan Wanita Terhadap Patriarki; Protes Ketidakadilan Gender; Budaya Wanita dalam Penulisan; Sumber Kekuatan dan Perpaduan Wanita; Ekspresi Pengalaman Wanita; juga Pemaparan Simbol-simbol Wanita.

Kesimpulannya, dapat dirumuskan bahawa pengarang wanita, di negara-negara serumpun berkarya bagi mengetengahkan isu-isu wanita, yang digubah dalam acuan mereka sendiri, di mana penggarapan cerita yang dipertalikan dengan aspek biologi dan budaya wanita dibentuk juga dicernakan ke dalam novel, mengikut perspektif, kaedah dan cara masing-masing, juga tahap penerapan setiap unsur tersebut adalah berbeza mengikut isu dan negara.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 10/8/2020 10:51 AM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 10/8/2020 10:51 AM by Nisbah Binti Hj Merusin