BERAKAS,
Isnin, 5 Oktober. - Kedua-dua peserta dari Sekolah Rendah
Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah masing-masing dinobatkan sebagai
juara pada Pertandingan Mari Bercerita Peringkat Akhir 2020 anjuran
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Perpustakaan, yang
berlangsung pagi tadi di Balai Sarmayuda, DBP, di sini.
Hadir
selaku tetamu kehormat majlis dan menyempurnakan penyampaian hadiah
kepada para pemenang ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang
Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin
Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Dayang
Nayla Raeesa binti Haji Norzaidi yang membawakan tajuk ceritanya
'Khaulah Pahlawan Islam Wanita' dan Awang Muhammad Zarif Irfan bin Haji
Awang Muliadi dengan tajuk ceritanya 'The Lion and The Mouse'
masing-masing dinobatkan sebagai juara pada Pertandingan Mari Bercerita -
Cerita Teladan 2020 bagi Kategori 'A' (bahasa Melayu) dan bagi Kategori
'B' (bahasa Inggeris).
Sementara menduduki tempat kedua dan ketiga
bagi Kategori 'A' (bahasa Melayu) masing-masing disandang oleh peserta
dari Sekolah Arab Rimba, iaitu Awang Muhammad Azhan Fikri bin Nasrul
Muhaimin dengan tajuk ceritanya 'Sultan Muhammad Al-Fateh' dan Awang
Muhd. Ilham Haqiqie bin Abdullah Muhd. Kelali dengan ceritanya 'Ihdina -
Membimbing Ke Jalan Yang Benar'.
Naib johan bagi Kategori 'B' (bahasa
Inggeris) pula disandang oleh Awang Muhammad Aiman Asyraf bin Haji
Hazman dari Sekolah Arab Rimba dengan membawakan tajuk ceritanya 'The
Unseen', dan berada di tempat ketiga ialah Dayang Siti Nurunnajihah
binti Haji Yahmiruddin Shah dari Ma'had Islam Brunei, Tutong dengan
tajuk ceritanya 'The Rabbit and The Turtle'.
Manakala, para penerima
sagu hati bagi Kategori 'A' dan Kategori 'B' masing-masing jatuh kepada
peserta dari Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan, Charlene
Chiew Qiao En dengan tajuk ceritanya 'Kura-Kura Yang Terbang' dan
peserta dari Ma'had Islam Brunei, Tutong, Dayang Nur Aesya Alanna binti
Azrol dengan tajuknya 'The Test of The Three Disabilities Men'.
Peraduan
Mari Bercerita yang diadakan sejak tahun 1983 ini antara lain bertujuan
untuk memupuk semangat membaca, sekali gus memasyarakatkan budaya
membaca dalam kalangan kanak-kanak, dan menjadikan cerita sebagai sumber
imaginasi, inspirasi bagi menjana kreativiti semasa menyampaikan
cerita, di samping memberikan latihan kepada kanak-kanak supaya berani
bercakap di hadapan khalayak ramai.
Pertandingan pada tahun ini berunsurkan
kepada cerita teladan, dan dikhususkan untuk kanak-kanak yang berumur
antara lapan hingga 12 tahun, yang terdiri daripada rakyat dan penduduk
Negara Brunei Darussalam dan merupakan ahli-ahli perpustakaan DBP.
Para
pemenang pertandingan bagi kedua-dua kategori tersebut masing-masing
menerima wang tunai berjumlah BND300; BND200; BND100; langganan setahun
Majalah Mekar dan Naindung; sijil penyertaan; dan hadiah sagu hati
berupa hamper peralatan sekolah.
Selain itu, hadiah pertandingan juga turut
dijayakan dengan sumbangan daripada beberapa buah syarikat dan
institusi di negara ini, iaitu ITIS Wescot Technology Sdn. Bhd.; The
Coffee Bean and Tea Leaf; Sabli Industries Sdn. Bhd.; dan Ezy Printing
Services and Trading Co. Sdn. Bhd.
Turut hadir, Pemangku Pengarah DBP, Awang
Suip bin Haji Abdul Wahab.
Dipetik daripada Pelita Brunei