Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Jualan Buku dan Perkhidmatan Perpustakaan Bergerak Dapat Sambutan

Jualan buku perkhidmatan bergerak dapat sambutan (2).JPG

Berita dan Foto : Marlinawaty Hussin

BERAKAS, Ahad, 4 Oktober. - Perkhidmatan Perpustakaan Bergerak, yang diadakan di Gerai Hujung Minggu Pasar Kitani mempamerkan pelbagai jualan buku, antaranya mengetengahkan mengenai tradisi dan warisan negara.

Menurut Pemangku Ketua Unit Pemasaran, Seranta dan Perhubungan Awam, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dayang Nor Rafidah binti Haji Mokhtar, kategori buku paling laris dijual di petak jualan DBP itu adalah kamus.

Selain itu, beliau menjelaskan, golongan ibu bapa juga gemar membeli majalah Mekar dan buku kanak-kanak untuk anak-anak mereka.

"Bagi kamus pula, kebanyakan pembeli, terdiri daripada para belia yang ingin menambah lagi pengetahuan mereka mengenai bahasa-bahasa etnik di negara ini," katanya kepada Pelita Brunei.

Beliau berkata, kamus tersebut merupakan kamus terjemahan bagi Bahasa Melayu Brunei, Bahasa Tutong dan Bahasa Kedayan.

"Penting bagi orang ramai, khususnya golongan belia untuk mempelajari bahasa-bahasa berkenaan bagi mengelakkannya daripada pupus ditelan zaman," katanya.

Selain itu, antara buku dipamerkan yang menampilkan elemen tradisi negara ini adalah beberapa buku masakan mengandungi pelbagai resipi menyelerakan.

Dayang Nor Rafidah berkata, buku masakan tersebut merupakan kompilasi resipi turun-temurun, termasuk pais, sambal dan cacah.

"Resipi lama ini tidak begitu sama seperti resipi yang ada pada masa sekarang. Sesetengah generasi muda mungkin tidak tahu mengenai masakan asli Brunei, seperti gulaian sayur tibadak, dadah tahai dan ikan ampap. Buku ini akan memberikan panduan dalam penyediaan makanan berkenaan," katanya.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 10/5/2020 3:51 PM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 10/5/2020 5:49 PM by Nor Rafidah binti Hj Mokhtar