Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

DBP Tawar Pembelian Buku Secara Dalam Talian

DBP tawar pembelian buku secara dalam talian.JPG

Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Saerah Haji Abdul Ghani, Ihsan Dewan Bahasa dan Pustaka

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 16 September. - Dalam memudahkan urusan pembelian buku dan mengurangkan masa pelanggan berada di Kedai Buku, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), kini menyediakan satu lagi inisiatif dalam pengurangan risiko penularan wabak COVID-19, di Jabatan-jabatan Kerajaan, dengan menawarkan pemilihan buku yang hendak dibeli secara dalam talian (online).

Perkara tersebut, dijelaskan oleh Pemangku Ketua Unit Pemasaran, Seranta dan Perhubungan Awam, Bahagian Penerbitan dan Pemasaran, DBP, Dayang Nor Rafidah binti Haji Mokhtar semasa ditemu bual oleh Pelita Brunei.

Menurutnya lagi, pelanggan yang membuat tempahan perlu mengimbas Kod QR yang tertera dalam poster untuk memuat naik katalog atau direktori buku-buku terbitan DBP.

Jelasnya, pelanggan yang berhasrat membuat pembelian secara dalam talian perlu memilih judul buku juga mengetahui harga buku tersebut dan setelah membuat pemilihan buku, pelanggan dikehendaki untuk menghubungi menerusi talian +673 2382511 sambungan 190 bagi menempah buku-buku tersebut sebelum membuat pembayaran secara dalam talian dan pelanggan juga boleh terus datang ke Kedai Buku untuk membuat pembayaran menggunakan BIBD QuickPay atau BIBD Swipe Card semasa mengambil buku-buku tersebut.

Terdahulu, beliau mengongsikan, Perkhidmatan e-Pembayaran Pelbagai Perkhidmatan dan Pemasaran DBP menaik taraf kaedah pembayaran pembelian buku daripada sistem konvensional secara tunai kepada sistem e-Pembayaran secara dalam talian atau digital sejak 1 Julai lalu.

Beliau, seterusnya menjelaskan, e-Pembayaran Pelbagai Perkhidmatan dan Pemasaran DBP dilancarkan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin semasa Sambutan Bulan Bahasa, yang berlangsung di Balai Sarmayuda, DBP, Berakas.

''Proses menaiktarafkan tersebut mendapat sokongan dan kerjasama dari Jabatan Perbendaharaan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD). Menaiktarafkan kepada sistem e-Pembayaran ini dinilai tepat pada waktunya dengan mengambil kira situasi semasa, iaitu ekosistem digital yang berkembang pesat, dan juga rintangan para pelanggan untuk berurusan ketika pandemik COVID-19 yang menekankan norma baharu tentang kepentingan penjarakan fizikal dan sosial serta pengehadan kapasiti ruang dalam satu-satu masa. Mekanisme e-Pembayaran ini juga direalisasikan sebagai pemudah cara kepada para pelanggan yang berurusan dengan DBP serta mendukung ekosistem digital dunia tanpa tunai,'' ujarnya.

Beliau, juga menambah, mekanisme e-Pembayaran Pelbagai Perkhidmatan dan Pemasaran DBP disediakan dalam tiga pilihan, iaitu Perbankan Digital (Digital Banking); BIBD QuickPay; dan BIBD Swipe Card.

Katanya lagi, pelanggan yang berhasrat untuk membuat pembayaran menggunakan mekanisme perbankan digital, perlu terlebih dahulu log masuk ke dalam aplikasi BIBD Online, sama ada melalui Laman Sesawang BIBD atau menerusi aplikasi BIBD Mobile, seterusnya, pelanggan hanya perlu memilih 'Dewan Bahasa dan Pustaka' dalam ruang All Payees dan mengisikan langkah-langkah yang diperlukan oleh BIBD.

Bagi mekanisme e-Pembayaran menggunakan BIBD QuickPay atau BIBD Swipe Card, ujarnya, pelanggan perlu datang ke Kedai Buku untuk memilih buku-buku yang hendak dibeli, mendapatkan jumlah belian, diikuti dengan imbasan Kod QR menggunakan aplikasi BIBD Mobile, seterusnya mengisikan jumlah belian dan menekan 'OK' untuk pengesahan pembelian dan bagi mekanisme e-Pembayaran menggunakan BIBD Swipe Card, sama ada kad kredit atau kad debit adalah sama, seperti proses belian biasa yang dilakukan oleh pelanggan di mana-mana sektor peruncitan.

DBP tawar pembelian buku secara dalam talian 3.JPG

Beliau, seterusnya mengongsikan, Kedai Buku DBP, terletak di aras bawah, bangunan Ibu Pejabat DBP, Jalan Pembangunan, Lapangan Terbang Lama, Berakas, di mana Kedai Buku dibukakan kepada orang ramai setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu, kecuali hari-hari kelepasan awam, bermula dari 8.00 pagi hingga 11.30 pagi; dan 2.00 petang hingga 3.00 petang.

Tambahnya, buku-buku terbitan DBP yang dijual di Kedai Buku terbahagi kepada lima kategori, iaitu Ilmiah; Umum; Sastera; Cerita Kanak-Kanak; dan Komik.

Selain di Kedai Buku, ujarnya lagi, buku-buku terbitan DBP boleh dibeli melalui pengedar atau toko buku yang dilantik, seperti di Pustaka Graduan (Graduan Bersepadu), yang terletak di Kampung Jaya Setia, Berakas; Syarikat Bismi, Booker International; dan Pustaka Remaja.

Sementara itu, jelasnya, DBP juga turut serta dalam pameran dan jualan hujung minggu 'Pasar Kitani' anjuran Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, pada setiap Ahad, bermula dari 6.00 pagi hingga 11.00 pagi.

Manakala aktiviti jualan lain yang turut disertai adalah di Universiti Brunei Darussalam (UBD), iaitu sempena kemasukan semester baharu dan semasa sambutan hari-hari kebesaran Islam, di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, seperti Majlis Perhimpunan Wanita sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alalihi Wasallam; Sambutan Nuzul Al-Quran; Sambutan Israk Mikraj; dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, penyertaan dalam aktiviti jualan ini, tertakluk kepada ruang dan jemputan daripada pihak yang berkenaan.

Untuk mengetahui aktiviti jualan dan pemasaran buku-buku terbitan DBP, pelanggan boleh mengikuti perkembangan semasa dan terkini melalui Instagram : '@dbpbrunei' dan '@kedaibukudbp' atau Laman Sesawang DBP di 'www.dbp.gov.bn'.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 9/28/2020 2:30 PM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 9/28/2020 2:30 PM by Nisbah Binti Hj Merusin