Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

PESTA BUKU BRUNEI 2020

​[Sumber: Pelita Brunei]

Berita:

Khartini Hamir / Foto : Azmah Haji Ahad

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 29 Februari - Pesta Buku Brunei (PBB) merupakan projek tahunan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan antara acara pengisian sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-36, Tahun 2020.
 

PBB2020.png

Sehubungan itu, pagi tadi berlangsung majlis perasmiannya yang disempurnakan oleh Setiausaha Tetap, KKBS, Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan, selaku wakil Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, yang kemudiannya turut menyempurnakan Pelancaran Buku Terbitan Terbaharu DBP dan Anugerah Penghargaan Hadiah Buku Terlaris dan Anugerah Khas Buku Terlaris.

sutkkbs.png 

Pada penganjuran pesta buku tahun ini, DBP melancarkan sebanyak 46 judul buku yang terbaharu, antaranya tiga buah buku bagi kategori ilmiah, tiga buah buku bagi kategori umum, sepuluh buah buku sastera dewasa, dua puluh buah buku kategori kanak-kanak bergambar, tiga buah komik dan tujuh buah buku yang diterjemahkan dalam tujuh bahasa antarabangsa.
 
Kemuncak acara ialah Anugerah Penghargaan Hadiah Buku Terlaris, dan buat pertama kalinya sebuah buku mendapat Penghargaan Anugerah Khas Buku Terlaris.
 
Hadiah Buku Terlaris diterima berdasarkan kategori, iaitu Kategori Ilmiah diterima oleh Pusat Sejarah Brunei melalui 'Legasi Payung Negara: Aspirasi, Cita-cita dan Hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam' karya Yang Berhormat Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama Profesor Kehormat (Dr.) Haji Awang Mohd. Jamil Al-Sufri bin Begawan Pehin Udana Khatib Dato Seri Paduka Haji Awang Umar.
 
Kategori Umum diterima oleh Qasrun Nafis Publishing House (QNPH) melalui buku berjudul 'Brunei: The Origins' karya Haji Mohd Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos, sementara Kategori Sastera diterima oleh M Content Creations, Dr. Aammton Alias melalui buku berjudul 'Real Ghost Stories of Borneo 2' karya Dr. Aammton bin Haji Alias, dan Kategori Kanak-Kanak diterima oleh DBP melalui buku berjudul 'ZOY Topeng Sakti Siri 7' karya Awang Mohammad Rezuan bin Haji Jamaeh.
 
Manakala, Anugerah Khas Buku Terlaris pula diterima oleh Jabatan Mufti Kerajaan melalui buku berjudul 'Raja Melakar Sejarah' karya Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
 
Majlis juga diteruskan dengan penyampaian pemenang Pencipta Logo Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Ke-36, Tahun 2020, iaitu Awang Abdul Aziz bin Ali.
 
Beliau merupakan pereka grafik bebas dan pemegang Sijil Adobe Illustrator dari The Academy Film, Fashion and Design yang memiliki pengalaman luas dalam bidang reka bentuk logo, ID korporat, risalah dan pembungkusan.
 
Sepanjang penganjuran PBB 2020, pelbagai program dan kegiatan dibukakan khusus untuk sasaran kelompok entiti belia, dewasa dan juga kanak-kanak bahkan sasaran keluarga juga digalakkan untuk terlibat sama dalam apa jua kegiatan yang dilaksanakan.
 
Antaranya ialah Bengkel Bahasa Isyarat, Rumah Pusaka (Kumpulan Putra Seni), Bicara Buku, Bersama Penerbit Filem Muda Abdul Zanidi, Sesi Temu dan Sapa, Tebar Roti Canai Terbuka, Demonstrasi Menambat Dastar, Demonstrasi Melukis Kartun Bersama Kartunis Joy, Bengkel Penterjemahan, Demonstrasi Masakan, Persembahan Dongeng Binatang: Arnab, Kambing dan Kura-kura, Kuiz Budaya, Bedah Karya, Taklimat ISBN dan Akta Pemeliharaan Buku-buku, Persembahan Cerita Rakyat: Nakhoda Awang, Pantaran Sastera, Persembahan Bahasa Isyarat Lagu Kanak-kanak, Pertandingan Menambang Syair bagi Sekolah-sekolah Rendah, Manifestasi Sajak bagi Pelajar-pelajar Sekolah Menengah dan sebagainya.
 
PBB 2020 diadakan selama 10 hari bermula 28 Februari hingga 8 Mac 2020 bertempat di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas dengan penyediaan sebanyak 62 buah petak gerai.
 
Penyertaan terdiri daripada DBP sendiri selaku pihak penganjur, penerbit buku kerajaan, penerbit buku swasta, serta toko-toko buku dari dalam dan juga luar negara khususnya dari Indonesia, Malaysia, Kesultanan Oman dan Jordan.
 
Menerusi temu bual Pelita Brunei bersama Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Indonesia di negara ini, Tuan Yang Terutama Dr. Sujatmiko, beliau menjelaskan ini merupakan kali ketiga penyertaan negara Indonesia ke PBB, dan pada pesta buku kali ini mendatangkan satu penerbit sahaja, iaitu Gramedia.
 
"Lebih dari satu ribu buku dengan lebih dari seratus judul buku telah dibawa ke negara ini yang mengetengahkan pelbagai genre terdiri dari fiksi dan non-fiksi, buku tentang masakan, buku tentang komik dan yang menjadi perhatian warga Brunei ialah buku-buku masakan, komik dan buku pelajaran," ujarnya.
 
TYT seterusnya melahirkan harapan agar acara seumpamanya sentiasa diteruskan dari tahun ke tahun, bukan sekadar untuk mendukung pihak penulis dan pihak penerbit tapi untuk membangkitkan minat membaca dalam kalangan anak-anak, para muda belia dan sekalian warga dalam pelbagai peringkat umur.
 
Tambahnya, tujuan memperkenalkan buku-buku terbitan Indonesia agar warga Brunei dapat memahami dan mengetahui lebih banyak aspek tentang Indonesia (merangkumi budaya, seni dan sebagainya) dan daripada penyertaan pesta buku ini juga dapat saling bertukar-tukar pengalaman dan menjadikan hubungan dua buah negara lebih akrab antara satu sama lain, selain Indonesia juga turut mengalu-alukan penyertaan Negara Brunei Darussalam pada 'International Book Fair' yang diadakan setiap tahun di Republik Indonesia nanti.


Attachments
Created at 8/5/2019 10:17 AM by Lee Chin Foo
Last modified at 3/12/2020 11:02 AM by Nor Rafidah binti Hj Mokhtar