Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

MAJLIS KESYUKURAN RAIKAN ULANG TAHUN KEMERDEKAAN KE-35 TAHUN

220219MajlisKesyukuran-Penerangan.2.jpg

[Sumber: Pelita Brunei]

Berita: Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi - Penerangan

Foto: Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah - Penerangan


BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 22 Februari 2019 - Syukur Alhamdulillah, sudah 35 tahun Negara Brunei Darussalam menanai kemerdekaan, bebas dari sebarang penjajahan dan selaku anak watan negara mengecapi nikmat merdeka itu maka terbentuknya satu perpaduan, harmoni, aman damai dan sejahtera sehingga hari ini dan diharap akan sentiasa berkekalan.

Dalam nikmat yang kita kecapi di negara tercinta ini, semua itu datangnya dari rahmat Allah Subhanahu Wata'ala jua dan saban tahun seluruh rakyat dan penduduk di negara ini akan mengimarahkan berduyun-duyun datang ke masjid-masjid dan surau-surau serta balai-balai ibadat di keempat-empat daerah bagi sama-sama menzahirkan rasa syukur atas kurniaan Allah yang sangat besar maknanya ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang merupakan Ulul Amri dengan mengutamakan Islam dalam mencorak pemerintahan negara, berkenan berangkat ke Majlis Kesyukuran Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah, Membaca Surah Yaa Siin dan Doa Kesyukuran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-35, Tahun 1440 Hijrah / 2019 Masihi berlangsung di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, di ibu negara.

Berangkat sama, paduka-paduka anakanda Kebawah DYMM, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Wakeel.

Keberangkatan Kebawah DYMM berserta kerabat diraja dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, selaku Pengerusi Ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Ke-35, Tahun 2019M; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Sejurus keberangkatan tiba Kebawah DYMM, azan Maghrib dilaungkan kira-kira 6.34 petang oleh Pegawai Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Mudim Awang Haji Metassim bin Haji Metussin.

Sembahyang Fardu Maghrib berjemaah diimamkan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar yang juga kemudiannya mengepalai Sembahyang Sunat Hajat dan seterusnya memimpin bacaan Surah Yaa Siin beramai-ramai.

Bagi memberkati majlis, Doa Kesyukuran dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Selepas azan Fardu Isyak dikumandangkan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid bagi masjid tersebut, Mudim Awang Haji Amran bin Haji Md. Salleh, Sembahyang Fardhu Isyak berjemaah diimamkan oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah DYMM berserta kerabat diraja yang lain berkesempatan menerima junjung ziarah bersama para jemaah yang hadir.

Semoga Allah Subhanahu Wata'ala sentiasa melindungi Negara Brunei Darussalam serta mengurniakan keberkatan melimpah ruah dan keselamatan ke atas bumi Darussalam dan seluruh isi di dalamnya daripada anasir-anasir jahat yang boleh menggugat keamanan negara.

Tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, 'Menjayakan Wawasan Negara' masih dikekalkan bagi sambutan tahun ini dan semoga kemuncak acara sambutan pada 23 Februari akan berjalan dengan sempurna dan jayanya.

220219MajlisKesyukuran-Penerangan.3.jpg

Attachments
Created at 2/25/2019 9:24 AM by Lee Chin Foo
Last modified at 2/25/2019 9:24 AM by Lee Chin Foo