Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

BERANGKAT KE SAMBUTAN HBK KE-13

Hari Belia-on stage.jpg

[Sumber: Pelita Brunei]

Berita: Haniza Abdul Latif - Penerangan

Foto: Hajah Ajijah Ali - KKBS

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 1 Ogos 2018 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan (HBK) Ke-13 Tahun 2018 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Berangkat sama, paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Keberangkatan Kebawah DYMM dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HBK Ke-13, Tahun 2018 dan Timbalan Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Matsatejo bin Sokiaw selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HBK Ke-13, Tahun 2018.

Hari Belia-YB Dato speech.jpg


Hari Belia-Ikrar.jpg

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam sembah alu-aluannya menyembahkan bahawa keberangkatan Kebawah DYMM adalah salah satu tanda penghormatan dan keprihatinan yang amat tinggi nilainya, sebagai suntikan semangat kepada para belia dan beliawanis untuk terus bekerja keras dalam menyumbangkan tenaga dan bakti kepada negara demi mencapai Wawasan Brunei 2035.

Tambah Yang Berhormat, golongan belia telah terus mengorak langkah ke hadapan dengan pantas dalam pelbagai bidang, termasuk keusahawanan dan kesukarelawan, malah mereka berani tampil ke hadapan pada menyahut titah Kebawah DYMM untuk sentiasa berusaha demi membina keperibadian, pendidikan dan kebolehan yang sempurna dan pada masa yang sama memupuk kesedaran beragama, berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara kerana inilah maksud Belia Berkualiti yang amat dihasrat oleh negara dan ciri-ciri itu yang perlu dipupuk dan disebarluaskan lagi.

Yang Berhormat seterusnya menambah pada menyahut titah Kebawah DYMM bagi para belia untuk memberikan nafas baharu pada segala usaha pembangunan dalam negara, sambutan pada kali ini menekankan pentingnya memupuk ekosistem yang menggalakkan dan menyokong para usahawan belia secara berterusan.

''Oleh itu, beberapa pendekatan telah pun diambil demi menjadikan sambutan terus menerus mempunyai lebih nilai tambah. Majlis Perhimpunan Ramah Mesra Belia yang bertemakan 'Kejayaan' pada tahun ini menghimpunkan seramai lebih 34 usahawan belia yang telah mencapai kecemerlangan, yang bertapak dalam industri-industri baharu dan lama dan juga usahawan-usahawan belia yang berpotensi untuk berjaya untuk mengongsi kejayaan dan pengalaman mereka,'' ujar Yang Berhormat.

Pada masa yang sama menurut Yang Berhormat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian bersama-sama pihak berkepentingan berganding bahu untuk mengadakan pameran khusus mengenai pemupukan ekosistem juga acara perkongsian ilmu melalui Pleno yang akan berlangsung selama tiga hari demi mengongsikan amalan-amalan terbaik secara efektif.

Yang Berhormat seterusnya menyembahkan bahawa demi memastikan impak daripada sambutan itu adalah berterusan, satu Tadbir Urus Strategi Keusahawanan Belia telah pun diwujudkan bagi memastikan segala strategi dan inisiatif yang diambil akan memberikan kesan berpanjangan bagi para belia untuk bertapak dalam alam keusahawanan.

Seterusnya, Kebawah DYMM berkenan mengurniakan titah.

Ikrar Belia dibacakan oleh barisan kumpulan-kumpulan belia yang diketuai oleh Ketua Cawangan Penerangan Daerah Belait, Pengiran Haji Ahmad Fadillah Akhbar bin Pengiran Haji Sellahhuddin yang juga selaku Pengasas Bersama dan Penasihat Projek Bina Ukhwah.

Majlis disusuli dengan tayangan video terbitan kumpulan belia kreatif yang memaparkan beberapa usahawan belia yang telah mencapai kecemerlangan di bidang keusahawan serta usahawan belia yang melopori industri-industri baharu untuk berkongsi pengalaman mereka dan menginspirasikan agar para belia khususnya akan sentiasa berusaha dan tidak putus asa untuk mencapai sesuatu kejayaan terutama dalam bidang keusahawan.

Kemudian, majlis diteruskan dengan persembahan koir oleh seramai 34 belia daripada gabungan persatuan-persatuan belia dan orang kelainan upaya.

Acara kemuncak sambutan ialah Penyampaian Anugerah Belia Kebangsaan 2018 dalam empat kategori, iaitu Anugerah Belia Cemerlang, Anugerah Belia Berkhidmat, Anugerah Pemimpin Muda Belia dan Anugerah Projek Cemerlang Untuk Belia yang disempurnakan oleh Kebawah DYMM.

Hari Belia-penyampaian anugerah.2.jpg

Kebawah DYMM dan kerabat diraja kemudiannya dijunjung berangkat ke Perhimpunan Ramah Mesra Belia dan seterusnya dijunjung bagi menandatangani Lembaran Kenangan, kemudian berkenan menerima pesambah daripada Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HBK Kali Ke-13 Tahun 2018.

Sesuai dengan matlamat Sambutan HBK 2018, iaitu untuk mengiktiraf belia dan pergerakan belia di negara ini, maka adalah diharapkan dengan pelaksanaan sambutan tersebut akan dapat menggalakkan lebih ramai lagi penglibatan golongan belia di dalam aktiviti-aktiviti kebeliaan khususnya dan terlibat sama dalam usaha-usaha pembangunan negara amnya.

 Hari Belia-HM signing.jpg

Hari Belia.4.jpg

Attachments
Created at 8/2/2018 11:15 AM by Lee Chin Foo
Last modified at 8/2/2018 2:18 PM by Lee Chin Foo