Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

BRUNEI SERTAI BOLING PADANG DALAM SUKAN KOMANWEL KE XXI 2018

Penyerahan Bendera Commonwealth.mingle.jpg

[Sumber: Pelita Brunei]

Berita: Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman - Penerangan

Foto: Pg Suhaimi bin Pg Hj Othman - KKBS

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 24 Mac 2018 - Negara Brunei Darussalam akan menghantar kontinjen bagi menyertai Sukan Komanwel Ke XXI 2018 Gold Coast, Australia bermula 4 hingga 15 April 2018.

Kontinjen Negara Brunei Darussalam dianggotai seramai 12 orang terdiri daripada lapan atlet dan empat pegawai termasuk Chef de Mission, pegawai urus setia, pengurus pasukan dan jurulatih.

Pada Sukan Komanwel kali ini, Negara Brunei Darussalam akan hanya menyertai satu acara sukan sahaja iaitu boling padang di mana kontinjen negara dijangka akan bertolak ke Gold Coast, Australia pada Ahad, 1 April 2018.

Sehubungan itu, pagi tadi berlangsung Majlis Penyerahan Bendera Negara kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Komanwel Ke XXI 2018 Gold Coast, Australia berlangsung di Bilik Hijau, Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Berangkat menyempurnakan majlis tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

Penyerahan Bendera Commonwealth.ucapan.jpg

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dalam sembah alu-aluannya menyatakan, pemilihan para atlet ke Sukan Komanwel adalah satu kepercayaan dan amanah yang memerlukan komitmen, dan mesti ditanai dengan sepenuhnya kerana mereka adalah wakil negara yang akan mengibarkan Bendera Negara Brunei Darussalam nanti di Gold Coast.

Menurut Yang Berhormat, penyertaan Kontinjen Negara Brunei Darussalam di Sukan Komanwel yang dianjurkan oleh Commonwealth Games Federation (CGF) bukanlah kali yang pertama, di mana penyertaan yang berterusan menunjukkan komitmen negara di temasya sukan di peringkat antarabangsa walaupun Brunei adalah negara yang kecil.

Dalam masa yang sama, jelas Yang Berhormat, ia menunjukkan komitmen negara kepada pertubuhan Komanwel. Apa yang turut penting, penyertaan ini juga akan memberikan platform kepada atlet negara untuk bersaing dengan atlet yang bertaraf 'elite'.

"Kita yakin pembinaan pengalaman dan pendedahan ini, setentunya akan mempertingkatkan dan memperkasakan lagi kekuatan fizikal mahupun mental para atlet," ujar Yang Berhormat.

Kemuncak majlis ialah sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan seterusnya berkenan menyempurnakan penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam kepada Mejar (B) Md. Talip bin Md. Tahir selaku Chef de Mission Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Komanwel Ke XXI 2018 Gold Coast, Australia.

Penyerahan Bendera Commonwealth.gambar ramai.jpg

Bagi memberkati majlis, bacaan Doa Selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Suhaili bin Haji Metali Al-Hafiz dan seterusnya sesi bergambar ramai bersama Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Puan Carol Alnutt; Ahli-ahli Jawatankuasa Pemilihan dan Penilaian Atlet dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta para ibu bapa dan penjaga.

Attachments
Created at 3/26/2018 1:23 PM by Lee Chin Foo
Last modified at 3/26/2018 2:29 PM by Lee Chin Foo