Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Pesta Buku Brunei 2022 Buka Tirai

Pesta Buku Brunei 2022 buka tirai 2.PNG

Oleh: Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto: Ak. Mohd Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

 - PENGISIAN Pesta Buku Brunei (PBB) 2022, bertujuan untuk memupuk dan menyemai perkembangan kognitif, mengembangsuburkan industri kreatif, di samping untuk membangunkan kecerdasan intelektual dan kecerdasan emosi.

- KOMITMEN penganjuran PBB 2022, merupakan subjek terpenting DBP, dalam menjayakan pembinaan dan pengembangan akal budi, dan pembudayaan literasi maklumat bagi masyarakat dan penduduk di negara ini.

- PBB diadakan dalam rangka menggema dan menyemarakkan Bulan Bahasa dengan mengusung tema 'Mari Membaca'. Tema ini menggarisbawahi komitmen untuk meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan mencintai dan mendaulatkan bahasa Melayu serta disinergikan dengan budaya membaca dan peningkatan ilmu pengetahuan.

 - OBJEKTIF penganjuran PBB 2022 ialah bagi menggemakan dan menyemarakkan Bulan Bahasa; sebagai wadah pertemuan dan interaksi antara penerbit, toko buku dan masyarakat di bawah satu bumbung untuk meningkatkan daya apresiasi terhadap buku; memperkasa dan memartabatkan karya tempatan serta menggalakkan pertumbuhan industri kreatif Brunei.

 

BERAKAS, Sabtu, 23 Julai. - Pesta Buku Brunei (PBB) 2022 yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas akan dimeriahkan dengan pelbagai kegiatan yang disusun sepanjang 10 hari penganjurannya, bermula 22 hingga 31 Julai 2022.

Pelbagai aktiviti yang disediakan termasuk kuiz spontan; bengkel; pementasan; peraduan mewarna; sketsa; temu dan sapa bersama penulis; mari bercerita dan pelbagai kegiatan lainnya.

Sehubungan itu, pagi tadi berlangsung Majlis Perasmian PBB 2022 yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis, Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Haji Mohd. Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan.

Hadir sama pada majlis tersebut, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kesultanan Oman ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Sheikh Ahmed bin Hashil Al-Maskari; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik Timor-Leste, Tuan Yang Terutama Abel Guterres; Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), KKBS, Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, ketua-ketua jabatan, mantan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan para penulis.

Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab dalam ucapannya pada majlis tersebut antara lain berkata, pelbagai kegiatan yang dirancang sepanjang 10 hari, adalah berkaitan dengan kemahiran berfikir, kemahiran insaniah dan bimbingan.

Pengisian acara ini secara amnya jelasnya, bertujuan untuk memupuk dan menyemai perkembangan kognitif, mengembangsuburkan industri kreatif, di samping untuk membangunkan kecerdasan intelektual dan kecerdasan emosi.

Pada masa yang sama tambah beliau, komitmen penganjuran PBB 2022, merupakan subjek terpenting DBP, dalam menjayakan pembinaan dan pengembangan akal budi, dan pembudayaan literasi maklumat bagi masyarakat dan penduduk di negara ini.

Pada majlis tersebut, sebanyak 23 judul buku terbaharu dilancarkan antaranya termasuk buku kerjasama penerbitan DBP dan Politeknik Brunei di bawah Skim Terbit dan Beli Semula, iaitu Modul Pendidikan Islam Edisi 1.

Turut dilancarkan ialah buku Lakastah Mewarna yang menghimpunkan koleksi lukisan hitam putih mercu tanda di negara ini, dan sebuah novel terjemahan dalam bahasa Inggeris berjudul Running with the Seasons (Lari Bersama Musim) hasil karya Muslim Burmat.

Tetamu kehormat seterusnya menyampaikan buku terbaharu dan dokumen perjanjian kepada para penulis, diikuti dengan penyampaian penghargaan Rakan Niaga Proaktif 2021 kepada Pustaka Graduan.

Pengiktirafan tersebut diberikan kepada rakan niaga yang mencatat prestasi jualan buku DBP yang menggalakkan.

Majlis juga diteruskan dengan penyampaian Hadiah Buku Terlaris 2021 dan sebanyak empat buah buku layak menerima Hadiah Buku Terlaris 2021, iaitu Tarsilah Brunei: Wasilah Ketakhtaan Kesultanan Brunei (Tahun 1659 – 1828 Masihi) (Jilid III) yang ditulis oleh Allahyarham Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama Profesor Kehormat (Dr.) Haji Awang Mohd. Jamil Al-Sufri bin Begawan Pehin Udana Khatib Dato Seri Paduka Haji Awang Umar dan diterbitkan oleh Pusat Sejarah Brunei; Buku bertajuk 'Broken Dreams: An Anthology of Brunei Heartfelt Stories' ditulis oleh Awang Haji Mohd. Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd. Yunos dan diterbitkan oleh Qasrun Nafis Publishing House; buku 'Bintang The Cosmocat & The Star Twins' yang dihasilkan oleh Dr. Aammton Alias terbitan M Content Creations; dan buku 'Dang Urai dan Sumbui-sumbui' yang ditulis oleh Dayang Rosmuliati binti Haji Yahya, yang diterbitkan oleh DBP.

Majlis diakhiri dengan persembahan tiga buah lagu kanak-kanak tradisi, iaitu Bangkawat, Kikik Putus dan O Kanak-Kanak yang disampaikan oleh Dayang Kamisahnor binti Hashim yang diiringi oleh lapan orang pemain muzik daripada Bahagian Kebudayaan dan Kesenian, KKBS.

Mulai tahun ini, PBB diadakan dalam rangka menggema dan menyemarakkan Bulan Bahasa dengan mengusung tema 'Mari Membaca'. Tema ini menggarisbawahi komitmen untuk meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan mencintai dan mendaulatkan bahasa Melayu serta disinergikan dengan budaya membaca dan peningkatan ilmu pengetahuan.

Para peserta PBB pada tahun ini terdiri daripada institusi kerajaan, iaitu KKBS; Pusat Sejarah Brunei; Jabatan Muzium-Muzium Brunei; Jabatan Mufti Kerajaan; Perpustakaan Islam Brunei Darussalam; Pusat Da'wah Islamiah; Jabatan Perkhidmatan Pos; Universiti Islam Sultan Sharif Ali dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.

Manakala, perwakilan luar ialah Kesultanan Oman dan Penerbit Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Toko buku dan syarikat tempatan yang turut menyertai PBB 2022 ialah Best Eastern; Mindtrex Academy; M Content Creations; Al-Tahirah; Marleina Enterprise; Pustaka Remaja; Syarikat Hasbee; Muslim Generation; Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, dan Reading and Literacy Association.

Antara objektif penganjuran PBB 2022 ialah bagi menggemakan dan menyemarakkan Bulan Bahasa; sebagai wadah pertemuan dan interaksi antara penerbit, toko buku dan masyarakat di bawah satu bumbung untuk meningkatkan daya apresiasi terhadap buku; memperkasa dan memartabatkan karya tempatan serta menggalakkan pertumbuhan industri kreatif Brunei.

Orang ramai dialu-alukan berkunjung ke PBB 2022 yang dibukakan bermula jam 8.30 pagi hingga 10.00 malam setiap hari kecuali Jumaat dibuka pada jam 9.00 hingga 11.30 pagi dan 2.00 petang hingga 10.00 malam.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 7/25/2022 11:12 AM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 7/25/2022 11:12 AM by Nisbah Binti Hj Merusin