Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Dalami Ilmu Perkembangan Bahasa

Berita dan Foto : Noraisah Haji Muhammed

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 17 Mei. - Pembentangan Ke-12 Siri Kongres Antarabangsa Bangsa, Sastera dan Budaya Melayu (KABSBM) sempena Bulan Bahasa kali ini mengupas aspek sastera, dengan tajuk 'Historisisme Baru dan Kesedaran Bangsa'.

Antara yang dihuraikan dalam pembentangan ialah mengenai historisisme atau kesejarahan yang boleh diandaikan sebagai satu pendekatan untuk menjelaskan kewujudan sesuatu fenomena, termasuk idea dan kepercayaan, khususnya amalan sosial serta budaya dengan mengkaji bagaimana sejarah berlaku dalam sesebuah masyarakat.

Perhatian dunia luar, khususnya negara-negara barat terhadap rantau Nusantara membuka peluang bagi kuasa-kuasa luar untuk menutup dan memalsukan fakta-fakta keilmuan serta struktur kehidupan masyarakat Melayu masa silam.

Selain itu, unsur-unsur pemisah di antara Falsafah Kesejarahan Islam dengan Barat, seperti unsur spiritualisme dan psikologi insan-Khalik yang tidak terdapat dalam pendekatan historisisme barat turut dihuraikan.

Perbezaan yang nyata di antara pendekatan historisisme, historisisme baharu dan kaedah muhasabah Islam dengan tuntutan syariat, sebagai muhasabah kesejarahan atau historisisme baharu lebih sesuai untuk diguna pakai bagi mengembalikan tamadun agama, bangsa dan budaya, dalam sesebuah masyarakat kepada landasan yang dituntut oleh agama Islam.

Siri pembentangan menampilkan pemakalah dari Singapura, Pengarah Eksekutif Asia Journalist Association-Singapore Office (AJA-SO), Dr. Norman Suratman.

Siri KABSBM sempena Bulan Bahasa itu dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Brunei melalui Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa diadakan secara maya melalui penstriman platform Facebook, 'Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei' dan aplikasi Zoom.

KABSBM secara maya disertai oleh Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abd. Wahab; Pemangku Timbalan Pengarah DBP, Dayang Hajah Sariani binti Haji Ishak; para pemakalah dari dalam dan luar negara; rakan-rakan strategik DBP; pegawai-pegawai kanan kerajaan; serta para pencinta bahasa, sastera dan budaya dari dalam serta luar negara.

Penyelenggaraan KABSBM dengan tema utama, 'Bahasa Jiwa Bangsa' itu turut didukung bersama oleh rakan-rakan strategik DBP, antaranya Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPUSB), Majlis Belia Brunei (MBB), ASTERAWANI Brunei dan Kumpulan Putra Seni (KPS).

Seramai 23 pembentang makalah, yang terdiri daripada tiga makalah ucaptama dan 20 makalah iringan dijadualkan untuk membentangkan kertas kerja masing-masing sepanjang KABSBM.

Pengerusi Kongres dipengerusikan oleh Ketua Bahagian Sastera dan Majalah, DBP Brunei, Dr. Haji Mohd. Ali bin Haji Radin.

KABSBM dilaksanakan secara bersiri, mulai 16 Mac hingga 22 Jun 2022 dengan pembentangan kertas kerja dua kali seminggu, setiap Isnin dan Rabu.

Kongres berobjektif untuk menggabungkan pakar-pakar bahasa, sastera dan budaya, di peringkat antarabangsa serta tanah air dalam upaya untuk berkongsi pengetahuan, ilmu dan gagasan melalui dinamika pengetahuan, pengalaman serta tingkat kepakaran tertentu.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 5/18/2022 9:20 AM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 5/18/2022 9:20 AM by Nisbah Binti Hj Merusin