Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Lebarkan Karya Sastera Dalam Media Baharu

Lebarkan karya sastera dalam media baharu 2.PNG

Oleh : Muhammad Zulkamal Awang Haji Kamis / Foto : Dewan Bahasa dan Pustaka

BERAKAS, Khamis, 29 Julai. - Dalam industri kreatif, negara-negara luar telah berjaya melebarkan karya sastera ke dalam media baharu iaitu pementasan, lakon layar, perfileman dan sebagainya. Ini membuka ruang kepada industri kreatif tempatan khususnya penggerak seni untuk bergiat aktif. 

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mempunyai pelbagai karya sastera yang berpotensi untuk dialihwahanakan. Sebagai contoh, bengkel ini telah mengangkat novel tempatan iaitu ‘Novel Mahkota Yang Berdarah’ karya Yura Halim untuk dijadikan bahan praktikal peserta. Pemilihan novel ini bertepatan dengan pelestarian warisan budaya yang berlatarbelakangkan sejarah Brunei. 

Dengan adanya karya tempatan yang diadaptasi, karya-karya tempatan tidak lagi bersandar kepada novel picisan semata-mata tetapi mengembalikan sinar seni yang gemilang.

Perkara itu antara yang diujarkan oleh Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab dalam ucapan alu-aluannya pada Majlis Penutupan Bengkel Adaptasi Novel ke Skrip Drama Pentas yang diadakan di Balai Sarmayuda, DBP, Berakas, hari ini, di sini.

Selain itu, tambah beliau, adaptasi novel ke skrip drama pentas bukanlah fenomena baharu dalam industri kreatif. Isu yang sering dihadapi dalam kalangan penggiat seni ialah ketakutan, kekangan masa dan kekurangan bahan. Ke arah ini, kerjasama padu antara DBP (selaku Penganjur Bengkel Adaptasi) dengan agensi kerajaan dan bukan kerajaan serta penggiat seni adalah diharapkan dalam mendukung dan menjayakan industri kreatif.

“Hasil bengkel ini akan diterbitkan dalam bentuk buku. Ini amat wajar dilaksanakan oleh DBP untuk mengapresiasi karya penulis. Skrip yang diadaptasi daripada novel sudah setentunya memudahkan dan menjadi ‘bench-marking’ kepada penggiat seni pentas mendapatkan cerita yang baik dan bermutu kerana sesebuah novel itu telah dinilai dan teruji dari aspek kekuatan penceritaannya,” tambah beliau lagi.

Terdahulu, Bengkel Adaptasi Novel ke Skrip Drama Pentas diadakan selama empat hari dan berakhir pada hari ini dan dibahagikan kepada 14 siri bagi memperkenalkan peserta-peserta dengan dua kaedah iaitu memahami novel dan memudah cara penulisan skrip drama pentas.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah yang juga seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil penyertaan kepada pembimbing-pembimbing bengkel, Awang Haji Sapami bin Abdullah dan Dayang Ena Herni binti Haji Wasli dan juga kepada peserta-peserta bengkel tersebut.

Salah seorang peserta dalam bengkel tersebut, Hajah Hajidah binti Haji Abdul Wahab mewakili peserta-peserta bengkel ketika memberikan ucapan alu-aluan pada majlis tersebut menjelaskan bahawa daripada latar belakang yang sangat berbeza kerana ada yang baharu hendak berkenalan dengan penulisan skrip dan ada juga yang sudah bergelumang dengan dunia penulisan skrip, merasakan sepanjang empat hari berbengkel, ruang ini telah membuka minda setiap peserta dan meraih ilmu dalam memahami teks novel dan diolah menjadi skrip drama pentas.

“Ini secara tidak langsung memberikan peluang untuk memahami bidang-bidang pementasan drama menerusi pengolahan skrip drama pentas. Hasilnya, penambahan dan percambahan ilmu serta peningkatan kemahiran dalam penulisan telah menembusi akal fikiran dari tidak tahu kepada tahu,” ujar Hajah Hajidah lagi.

Hajah Hajidah juga menambah bahawa perbincangan dan kongsi sama yang dikendalikan pembengkel dan peserta-peserta penggiat seni yang berpengalaman juga telah meningkatkan keyakinan setiap peserta dalam melontarkan idea, teknik dan kaedah yang bersesuaian serta menggali apa yang tersirat dalam suratan topik yang dipilih. Semua ini telah memberikan satu nilai ilmu tambah yang dapat dimanfaatkan.

Majlis penutupan tersebut juga diteruskan dengan persembahan drama pentas yang dijayakan sendiri oleh peserta-peserta bengkel. Dengan berjayanya bengkel tersebut, DBP berharap, lahirnya beberapa ideologi penulis dalam pelbagai genre sastera dan berharap peserta menyertai peraduan Adaptasi Novel ke Skrip Drama Pentas yang dibukakan sejak 30 Jun 2021.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 8/2/2021 10:01 AM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 8/2/2021 10:01 AM by Nisbah Binti Hj Merusin