Siaran Akhbar dan Foto : Dewan Bahasa dan Pustaka
•
Panel Penilai Anugerah bagi Negara Brunei Darussalam telah sepakat
untuk memilih Novel Angin Koperasi yang sekali gus mengangkat
penulisnya, Awang Haji Bujang bin Haji Matnor dengan nama pena beliau,
Bujang M.N.
•
Anugerah berprestij ini merupakan apresiasi yang sangat besar kepada
bidang sastera negara serantau. Ia bukan sahaja dapat mengangkat dan
menghargai nama penulis sesebuah negara, malah mendorong dan
menggalakkan para penulis negara serantau untuk terus aktif berkarya dan
aktif dalam hal-hal kemasyarakatan yang menyumbang kepada kemajuan dan
kejayaan dunia kesusasteraan.
BELAIT, Sabtu, 17 Julai. - Sebagai
penghargaan dan pemakluman awal mengenai pengiktirafan penulis tempatan
yang telah dipilih sebagai calon penerima Anugerah Penulis Asia
Tenggara (The S.E.A. Write Award) Tahun 2020, Dewan Bahasa dan Pustaka
(DBP) mengadakan Majlis Mengagai, hari ini, di sini.
Rombongan
‘mengagai’ diketuai oleh Pemangku Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan dan
Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dr. Siti
Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.
Turut
hadir ialah Pemangku Pengarah DBP, Dayang Hajah Sariani binti Haji
Ishak; Pegawai-pegawai kanan DBP; Panel Penilai Anugerah Penulis Asia
Tenggara dan Urus Setia Unit Pengiktirafan.
Menurut
kenyataan yang diberikan, Panel Penilai Anugerah bagi Negara Brunei
Darussalam telah sepakat untuk memilih Novel Angin Koperasi yang sekali
gus mengangkat penulisnya, Awang Haji Bujang bin Haji Matnor dengan nama
pena beliau, Bujang M.N.
Majlis tersebut berlangsung di kediaman Awang Haji Bujang di Kampung Sungai Taring.
Anugerah
Penulis Asia Tenggara merupakan anugerah yang diberikan setiap tahun
sejak tahun 1979 kepada penyair dan penulis di Asia Tenggara. Anugerah
ini diwujudkan oleh kerajaan Thailand bagi mengiktiraf penulis-penulis
dan penyair terkemuka di negara-negara rantau ASEAN iaitu Negara Brunei
Darussalam, Filipina, Indonesia, Kemboja, Lao, Malaysia, Myanmar,
Singapura, Thailand dan Viet Nam.
Negara
Brunei Darussalam mula diundang untuk menghantar penulis bagi menerima
anugerah berkenaan pada 1986. Setiap tokoh penerima anugerah yang
dipilih oleh panel penilai di negara masing-masing, dinilai berdasarkan
hasil karya yang telah terbit mengikut genre yang ditetapkan oleh pihak
penganjur di Bangkok, Thailand.
DBP,
KKBS melalui Bahagian Penyelidikan, Dokumentasi dan Pengiktirafan
bertanggungjawab selaku Urus Setia Anugerah Penulis Asia Tenggara bagi
Negara Brunei Darussalam.
Anugerah
berprestij ini merupakan apresiasi yang sangat besar kepada bidang
sastera negara serantau. Ia bukan sahaja dapat mengangkat dan menghargai
nama penulis sesebuah negara, malah mendorong dan menggalakkan para
penulis negara serantau untuk terus aktif berkarya dan aktif dalam
hal-hal kemasyarakatan yang menyumbang kepada kemajuan dan kejayaan
dunia kesusasteraan.
Dipetik daripada Pelita Brunei