Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Pemartabatan Bahasa Melayu Tanggungjawab Bersama

Pemartabatan bahasa Melayu tanggungjawab bersama 2.PNG

Oleh : Khartini Hamir / Foto : Azmah Haji Ahad

- Tema Bulan Bahasa 2021 ialah ‘Memperkasakan Bahasa Melayu’ yang menjadi tanggungjawab dan kesedaran awam seluruh masyarakat dalam upaya mendaulat dan melestari bahasa Melayu sebagai warisan sosial masyarakatnya ke arah pembentukan jati diri bangsa.

- Kita sebagai bangsa Melayu yang sentiasa memelihara serta memperkasakan martabat kedaulatan bahasa Melayu.

- Hala tuju bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan lambang jati diri seharusnya difahami, dihayati dan diusahakan bersama-sama.

- Semua warga dan masyarakat perlu berpegang teguh kepada bahasa Melayu sebagai identiti dan jati diri kita yang satu-satunya, terutamanya dalam kita berhadapan dengan cabaran mahupun peluang daripada arus globalisasi.

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 5 Julai. - Pada menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Sambutan Bulan Bahasa pada tahun ini tampil berbeza untuk memberi impak yang lebih berkesan dengan melibatkan semua kementerian di negara ini sebagai satu pendekatan senegara.

Ini kerana pemartabatan bahasa Melayu bukan sahaja disahkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) secara persendirian, ia merupakan tanggungjawab bersama sebagai satu bangsa, satu negara dan satu bahasa.

Dalam pada itu, mulai tahun ini juga, DBP, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) mewujudkan Jawatankuasa Tertinggi Bulan Bahasa 2021 yang ahlinya terdiri daripada Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, NGO, media massa dan para penulis tanah air.

Sehubungan itu, DBP pagi tadi menganjurkan Majlis Sambutan Bulan Bahasa 2021 yang diadakan di Dewan Digadong, Bangunan KKBS, Jalan Kebangsaan, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Pemartabatan bahasa Melayu tanggungjawab bersama 3.PNG
Antara objektif penganjuran Bulan Bahasa ialah memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dan jati diri bangsa; memupuk rasa kepemilikan bersama terhadap bahasa Melayu; memasyarakatkan bahasa Melayu melalui keikutsertaan orang ramai; serta menggema dan menyemarakkan Sambutan Bulan Bahasa ke seluruh negara.

Manakala tema Bulan Bahasa 2021 ialah ‘Memperkasakan Bahasa Melayu’ yang menjadi tanggungjawab dan kesedaran awam seluruh masyarakat dalam upaya mendaulat dan melestari bahasa Melayu sebagai warisan sosial masyarakatnya ke arah pembentukan jati diri bangsa.

Ini sebagaimana yang digariskan oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam ucapannya menjelaskan, tema ini memanifestasikan perakuan kita sebagai bangsa Melayu yang sentiasa memelihara serta memperkasakan martabat kedaulatan bahasa Melayu.

Justeru tambah Yang Berhormat, langkah untuk mempelbagaikan dan memperhebatkan lagi kegiatan-kegiatan Sambutan Bulan Bahasa pada kali ini melalui pendekatan Whole of Nation amatlah tepat pada masanya.

“Hala tuju bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan lambang jati diri seharusnya difahami, dihayati dan diusahakan bersama-sama. Dukungan dan keprihatinan kita hendaklah merapusi pelbagai aspek, baik daripada segi pembinaan, pembentukan dan penyelidikan mengenainya”.

“Dan kita selaku orang Brunei, apa yang paling penting ialah kepekaan kita terhadap keadaan dan penjagaan ‘Melayu’ sebagai salah satu teras falsafah Melayu Islam Beraja, kerana ‘Bahasa Menunjukkan Bangsa’ dan ‘Bahasa adalah Lambang Jati Diri Bangsa’,” tegas Yang Berhormat lagi.

Yang Berhormat seterusnya menyarankan kepada semua warga dan masyarakat untuk berpegang teguh kepada bahasa Melayu sebagai identiti dan jati diri kita yang satu-satunya, terutamanya dalam kita berhadapan dengan cabaran mahupun peluang daripada arus globalisasi.

Semoga keprihatinan, usaha dan sokongan padu semua pihak tambahnya dalam sambutan kali ini akan memberikan nilai tambah dalam menjamin kegemilangan, kerelevanan dan kelangsungan martabat bahasa Melayu secara berterusan.

Terdahulu, atur cara membuka tirainya dengan Irama Tambang Syair Begawan berjudul ‘Syair Ristaan Dewan Bahasa dan Pustaka’ hasil nukilan Awang Haji Kiflee Tarsat pada tahun 2007 yang diiramakan oleh Dayang Halimatus Rabeatul Saiedah binti Huzaimi.

Pemartabatan bahasa Melayu tanggungjawab bersama 4.PNG
Seterusnya, bacaan Ikrar Bahasa oleh Duta Bahasa, peserta Pidato Kebangsaan dan wakil institusi pengajian tinggi, pegawai dan kakitangan DBP yang diketuai oleh Penerima Anugerah Duta Bahasa 2015, Awang Mohd. Zefri Ariff bin Mohd. Zain Ariff.

Ikrar Bahasa ini turut dibaca dan ditayangkan secara langsung melalui maya (virtual) menerusi aplikasi Zoom.

Antara institusi kerajaan yang turut membaca Ikrar Bahasa secara langsung ialah Institut Perkhidmatan Awam, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Jabatan Penerangan Cawangan Daerah Temburong, Jabatan Elektrik Bandar Seri Begawan, Jabatan Elektrik Belait, Jabatan Elektrik Seria, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Teknologi Brunei, Pusat Evolusi Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Penanjong Garison, Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah, Ma’had Islam Brunei, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Sekolah Arab Temburong, Sekolah Arab Belait dan sembilan buah Perpustakaan DBP di seluruh negara.

Selain itu, bacaan ikrar ini juga turut ditayangkan secara langsung melalui media sosial DBP (Instagram dan Facebook) bagi tujuan menggema dan menyemarakkan lagi Sambutan Bulan Bahasa 2021 serta memberi ruang kepada orang ramai, terutama para pencinta bahasa untuk sama-sama bergabung membacakan Ikrar Bahasa secara maya.

Juga hadir bagi sama-sama mengetuai bacaan Ikrar Bahasa di Perpustakaan DBP Temburong, Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet), KKBS, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; di Perpustakaan DBP Tutong, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), KKBS, Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah; manakala di Perpustakaan DBP Pandan, Timbalan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), KKBS, Dayang Saidah binti Haji Wahid @ Burut.

Sejurus selepas itu, majlis diteruskan lagi dengan Aspirasi Ilmu, Forum Bahasa Melayu yang dipengerusikan oleh Pemangku Pengarah Bahagian Kebudayaan dan Kesenian, KKBS, Awang Haji Mohd. Abdoh bin Haji Awang Damit.

Antara ahli panel forum terdiri daripada Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Adanan bin Haji Basar; Elit Budaya, Dr. Haji Hashim bin Haji Abdul Hamid; dan Profesor Adjung Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat, UBD, Profesor Adjung Awang Haji Mohd. Rozan bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos.

Majlis seterusnya diserikan lagi dengan sebuah deklamasi sajak berjudul ‘Balada Bahasa Bangsaku’ karya Panji Lara yang dideklamasikan sendiri oleh Ahli Kumpulan Putra Seni (KPS) yang bergiat aktif dalam pementasan drama iaitu Awangku Mohammad Noor Sham @ Awangku Hidie bin Pengiran Hidup.

Majlis berakhir dengan penyampaian cenderamata penghargaan dan hadiah kepada pelajar cemerlang dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu Brunei Cambridge GCE Peringkat ‘O’ dan ‘A’ bagi tahun 2020 yang disempurnakan penyampaiannya oleh tetamu kehormat majlis.

Juga hadir, Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab.

Dipetik daripada Pelita Brunei
Attachments
Created at 7/22/2021 10:10 AM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 7/22/2021 10:10 AM by Nisbah Binti Hj Merusin