Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Dalami Praktikal Seni Khat Tulisan Jawi

Dalami praktikal seni khat tulisan jawi 2.PNG

Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Azmah Haji Ahad


BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 7 Jun. - Seni kaligrafi Islam atau seni khat tulisan jawi merupakan salah satu warisan yang agung kerana peranannya yang begitu penting dalam ketamadunan Islam dan kebudayaan masyarakat Melayu.

Malah ia juga mempunyai potensi yang sangat besar dan luas dalam mengangkat dan menyumbang terhadap perkembangan pembangunan industri kreatif di negara ini.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Pemangku Timbalan Pengetua, Pusat Sejarah Brunei (PSB), Awang Mohammad Faisal bin Haji Mat Salleh dalam ucapan alu-aluannya semasa Bengkel Seni Khat dan Sistem Ejaan Jawi yang diadakan di Dewan Jawatan Dalam, PSB, di sini.

Melihat terhadap kepentingan itu tambahnya, PSB dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengambil inisiatif dengan membuat penganjuran bengkel tersebut bersempena Brunei Mid-Year Conference and Exhibition (MYCE) tahun 2021, anjuran Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP), Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP).

Bengkel sehari yang diadakan itu menurutnya, adalah untuk memberikan ruang dan peluang kepada para peserta untuk mempelajari, mendalami sambil membuat praktikal seni khat tulisan jawi serta mengetahui kaedah dan sistem pengejaan jawi dengan lebih bersistematik daripada dua orang pembimbing bengkel yang berpengalaman dan mahir dalam bidang seni khat tulisan dan ejaan jawi.

Seramai 41 peserta terdiri daripada pegawai dan kakitangan kerajaan, mahasiswa/i, penuntut pengajian tinggi dan orang persendirian yang mempunyai minat dan latar belakang seni khat tulisan jawi menyertai bengkel berkenaan.

Melalui bengkel tersebut, para peserta didedahkan dengan asas dan teknik yang betul yang sering diguna pakai dalam seni khat tulisan jawi serta kaedah dan sistem penulisan dan pengejaan jawi secara sistematik seperti kaedah asas penggunaan suku kata dan sebagainya.

Bengkel diadakan buat julung kali diungkayahkan dalam usaha PSB dan DBP ke arah membarigakan kepentingan sejarah dan tamadun bangsa, dan pada masa yang sama membantu mengangkat martabat seni kaligrafi khususnya dan tulisan jawi amnya sebagai tulisan Al-Quran, tulisan agama dan juga tulisan nasional.

Selain itu, bengkel turut mendedahkan penulisan dan pengejaan jawi secara sistematik dengan mengongsikan kaedah asas menggunakan suku kata bagi tujuan untuk memastikan sama ada perlu mewujudkan huruf alif dalam penulisan ataupun tidak mengikut kedudukan bunyi [a] dalam sebuah perkataan.

Beberapa kaedah asas lain turut dikongsikan dalam menulis dan mengeja jawi yang masih bersangkut dengan bunyi [a].

Pengenalan sistem ejaan jawi ini diharap akan dapat menimbulkan rasa ingin tahu yang lebih mendalam agar lebih ramai lagi generasi muda dan belia yang berkebolehan dalam penulisan jawi.

Antara objektif bengkel diadakan ialah untuk mendukung konsep Melayu Islam Beraja (MIB) dalam menanam dan menguatkan perasaan cinta dan taat setia kepada raja, agama, bangsa dan negara, di samping mempromosikan sejarah dan bahasa khususnya penggunaan tulisan jawi melalui seni kaligrafi Islam kepada masyarakat terutama generasi muda dan belia.

Melalui bengkel tersebut, ia juga dapat menyediakan ruang atau platform kepada generasi muda dan belia untuk mempelajari seni khat dan tulisan jawi serta memberikan galakan kepada generasi muda dan belia untuk bergiat aktif dalam seni kaligrafi Islam atau seni khat jawi yang bersifat sejarah.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 6/8/2021 9:46 AM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 6/8/2021 9:46 AM by Nisbah Binti Hj Merusin