Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Apresiasi Karya Sastera

Apresiasi karya sastera 1.JPG

Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Azmah Haji Ahad

  • BICARA Sastera Brunei merupakan salah satu apresiasi terhadap karya sastera dan penulis sastera tempatan di samping menggiatkan lagi kritikan terhadap karya sastera tempatan khususnya karya-karya yang baru diterbitkan.

 

  • DBP juga telah membentuk dan merancang pelbagai bentuk kegiatan yang memanfaatkan karya-karya sastera Brunei sebagai sumber bicara antaranya Bedah Karya dan Pertemuan Sasterawan Brunei.

BERAKAS, Isnin, 19 April. - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengungkayahkan Bicara Sastera Brunei (BSB) yang pertama dan dianjurkan oleh Angkatan Sasterawan dan Sasterawani (ASTERAWANI) dengan kerjasama DBP yang diadakan di Balai Sarmayuda, DBP Berakas.

Bicara Sastera tersebut dibahagikan kepada dua pembentangan iaitu pembentangan pertama disampaikan oleh Profesor Madya Ampuan Dr. Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah dengan tajuk ‘Sungai Laut dan Kita’ : Membuka Interpretasi dan Nafas Seni dan pembentangan kedua pula disampaikan oleh Awang Haji Kamis bin Tuah yang membawakan tajuk pembentangan, ‘Sastera dan Kolonialisme’ : Membaca Wacana Kolonial dan Wacana Balasan Muslim Burmat sebagai Pengarah Pascakolonial.

Terdahulu, Pemangku Timbalan Pengarah, Awang Mohd. Azurin bin Othman sebagai wakil peribadi Pemangku Pengarah yang juga hadir selaku tetamu kehormat dalam ucapannya berkata bahawa Bicara Sastera Brunei merupakan salah satu apresiasi terhadap karya sastera dan penulis sastera tempatan di samping menggiatkan lagi kritikan terhadap karya sastera tempatan khususnya karya-karya yang baru diterbitkan.

Menurutnya lagi, tidak dinafikan DBP juga telah membentuk dan merancang pelbagai bentuk kegiatan yang memanfaatkan karya-karya sastera Brunei sebagai sumber bicara antaranya Bedah Karya dan Pertemuan Sasterawan Brunei (PSB).

“Penyebaran dan penilaian terhadap sesebuah karya itu memerlukan penelitian yang mendalam dan penyelidikan yang mantap. Oleh yang demikian, DBP telah membentuk kegiatan secara kolektif khususnya meningkatkan kemahiran menulis dan keupayaan memahami serta menguasai karya sastera dengan menerapkan teori dan konsep kritikan sastera,” jelasnya.

“Pada masa ini dunia semakin luas diharap agar persatuan penggiat sastera memperluaskan penggunaan teknologi dalam penyebaran kegiatan sastera,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Ketua Satu, ASTERAWANI, Profesor Madya Ampuan Dr. Haji Brahim dalam ucapan menjelaskan bahawa objektif BSB 1 antaranya untuk menggalakkan kegiatan kritikan karya sastera Brunei sebagai salah strategi sosialisasi karya sastera.

Menurutnya, dengan cara ini, karya sastera itu lebih sampai kepada masyarakat, bukan sahaja aspek hiburan yang terhias melalui seni penulisannya, bahkan yang lebih penting ialah tema, pengajaran dan nilai kemanusiaan dan keagamaan yang ingin disampaikan oleh penulisnya.

“Keindahan bentuk karya sastera lebih mudah dinikmati secara literal. Namun, keindahan isi dan kepentingan persoalan yang biasanya tersalut dengan pelbagai motif kerap kali sukar untuk dicerna oleh pembaca.

“Di rantaian inilah pentingnya peranan pengkritik agar dapat menyelak motif yang menyalut, agar berupaya mentafsir perlambangan yang mengaburi makna kemudian agar mampu mengungkapkan mainan kata-kata atau gaya bahasa yang sering bermakna ganda dan ambiguiti,” jelasnya lagi.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 4/28/2021 10:58 AM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 4/28/2021 11:00 AM by Nisbah Binti Hj Merusin