Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Mantapkan Pengetahuan, Penggunaan, Penguasaan Bahasa Melayu Standard

Mantapkan pengetahuan, penggunaan, penguasaan bahasa Melayu standard 1.JPG

Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Azmah Haji Ahad

- DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA (DBP) menyediakan pelbagai platform yang melibatkan generasi muda untuk turut sama-sama berperanan dalam mendayaupayakan pemartabatan dan pemerkasaan bahasa Melayu di negara ini.

- PERTANDINGAN Pidato memainkan peranan penting dalam mendukung pemartabatan bahasa Melayu.

- PERTANDINGAN Pidato meluaskan dan memantapkan pengetahuan, penggunaan juga penguasaan bahasa Melayu standard yang betul dan benar, di samping membina keyakinan diri juga kemahiran komunikasi untuk mampu berucap dalam khalayak ramai; dan meluaskan pengetahuan am juga isu-isu semasa dalam dan luar negara.


BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 1 April. - Pidato bertajuk 'Tonggak Utama Jayakan Wawasan Merdeka' membawa tuah kepada Awang Mohammad Riduwan bin Johari hingga dinobatkan pemenang Pertandingan Pidato Kebangsaan Brunei Darussalam sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-37, yang berlangsung di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini.

Johan pertandingan berjaya memperoleh 83 peratus dan memenangi wang tunai berjumlah BND800, plak, Buku-buku Terbitan DBP dan sijil penyertaan.

Sementara itu, naib johan disandang oleh Awang Mohammad Rahimi bin Muhammad Fadillah, dengan penyampaian pidato, bertajuk 'Perpaduan Rakyat, Kunci Pembangunan Negara' dengan perolehan 79 peratus, memenangi wang tunai berjumlah BND600, plak, Buku-buku Terbitan DBP dan sijil penyertaan.

Tempat ketiga pula disandang oleh Dayang Noraffah binti Haji Latif, dengan penyampaian pidato, bertajuk 'Kepimpinan Belia Penyuluh Wawasan Negara', mendapat 68 peratus dan memenangi wang tunai berjumlah BND400, plak, Buku-buku Terbitan DBP dan sijil penyertaan.

Hadir selaku tetamu kehormat, seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Pada majlis tersebut, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, seterusnya menyempurnakan Pelancaran Buku-Buku Terbaharu Terbitan DBP.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.

Terdahulu, Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab, dalam ucapan alu-aluannya, antara lain berkata, DBP menyediakan pelbagai platform yang melibatkan generasi muda untuk turut sama-sama berperanan dalam mendayaupayakan pemartabatan dan pemerkasaan bahasa Melayu di negara ini, antaranya menerusi seni pengucapan awam, yang didasari penggunaan bahasa Melayu sepenuhnya.

Pertandingan Pidato itu, tambahnya, memainkan peranan penting dalam mendukung pemartabatan bahasa Melayu. Pemidato yang baik dapat merancang dan memastikan hujah juga idea, disusun dengan bersistematik, bahasa yang berkesan dan berhemah, agar setiap idea yang disampaikan dapat difahami dengan jelas.

Menurutnya lagi, pertandingan tersebut merupakan satu medan terbaik, bagi melahirkan pemidato-pemidato dalam kalangan generasi belia, yang mampu berkomunikasi dan berhujah, dengan kupasan idea yang bernas, bersandarkan pada penggunaan bahasa Melayu yang murni dan mantap.

Seramai 12 peserta menyertai pertandingan tersebut, pada peringkat saringan dan hanya empat peserta sahaja yang mara ke peringkat akhir.

Tema pidato, 'Menjayakan Wawasan Negara' yang diangkat bagi sama-sama memeriahkan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-37, bertepatan dengan gagasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, yang dimanifestasi bagi memastikan negara ini mempunyai rakyat berpendidikan, berkemahiran dan berjaya; kehidupan yang berkualiti; dan ekonomi yang dinamik juga berdaya tahan.

Wawasan Negara Brunei Darussalam turut disokong dengan kekuatan identiti Brunei yang bercalakkan falsafah Melayu Islam Beraja.

Oleh itu, melalui tema ini, para pemidato boleh mengaitkan pelbagai elemen pembicaraan yang lebih meluas skopnya, dengan sudut pandang yang jauh dan ke depan, iaitu dari aspek sosiobudaya, pendidikan, geopolitik, ekonomi, pembangunan, infrastruktur, pola hidup dan sebagainya.

Antara objektif pertandingan diadakan ialah untuk meluaskan dan memantapkan pengetahuan, penggunaan juga penguasaan bahasa Melayu standard yang betul dan benar, di samping membina keyakinan diri juga kemahiran komunikasi untuk mampu berucap dalam khalayak ramai; dan meluaskan pengetahuan am juga isu-isu semasa dalam dan luar negara.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 4/10/2021 10:13 AM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 4/10/2021 10:23 AM by Nisbah Binti Hj Merusin