Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Memperingati Hari Puisi Sedunia

Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said

BERAKAS, Sabtu, 27 Mac. - Memperingati Hari Puisi Sedunia pada setiap 21 Mac setiap tahun merupakan antara salah satu objektif acara Baca Puisi yang diadakan  di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Angkatan Sasterawan dan Sasterawani (ASTERAWANI) dengan kerjasama DBP dan Kumpulan Putra Seni bergabung bagi menyemarakkan serta menzahirkan suara penulis dalam memperingati Hari Puisi Sedunia.

Memperingati Hari Puisi Sedunia 1.JPG

Memperingati Hari Puisi Sedunia 3.JPG

Memperingati Hari Puisi Sedunia 2.JPG

Hadir selaku tetamu-tetamu khas dan seterusnya memperdengarkan bacaan puisi masing-masing pada acara berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman (Badaruddin H.O.); Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud (MZM); dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Terdahulu, Ketua 1 ASTERAWANI, Profesor Madya Ampuan Dr. Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah dalam ucapan alu-aluannya berkata Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah memperakui akan kepentingan dan potensi puisi dalam melestarikan kepelbagaian unsur linguistik, dialek, laras dan gaya dalam penggunaan bahasa di seluruh dunia.

"Menikmati puisi itu tidak hanya setakat mendengar sebutan perkataan dan alunan nada suara. Namun apresiasi puisi hendaklah sampai kepada maksud atau persoalan yang dibawakannya," ujar beliau.

Baik makna itu tersirat mahu pun tersurat, jelasnya, pasti ada tema atau persoalan, bahkan nilai murni dan nilai baik dan isi penting yang ingin disampaikan oleh penyair.

"Dari aspek inilah puisi itu sangat relevan dengan manusia, kemanusiaan dan segala aspek kehidupannya," tambah beliau.

Acara puisi itu disertai oleh pemuisi-pemuisi dari pelbagai persatuan di negara ini, iaitu ASTERAWANI, KPS, Bahagian Kebudayaan dan Kesenian Daerah Tutong (B2K), Akademi UF dan Kumpulan Amas Tampawan juga tetamu khas undangan pemuisi dari luar negara, iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina, Mexico, Rusia, China dan Bosnia.

Memperingati Hari Puisi Sedunia 4.JPG

Hari Puisi Sedunia ditetapkan secara rasmi oleh UNESCO pada setiap 21 Mac setiap tahun sejak tahun 1999.

Idea Hari Puisi Sedunia dianggap mempunyai peranan penting dan juga berkait rapat dengan drama, tarian, muzik, lukisan dan bidang seni yang lain.

Matlamat tersebut adalah untuk menggalakkan kepelbagaian linguistik melalui ekspresi puisi, serta menjaga nilai bahasa daripada pupus.

Puisi juga menjadi ungkapan dalam melahirkan semangat cintakan negara bangsa.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 4/8/2021 3:54 PM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 4/8/2021 3:54 PM by Nisbah Binti Hj Merusin