Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Martabatkan Bahasa Melayu Dengan Pendekatan Whole of Nation

Martabatkan bahasa Melayu dengan pendekatan Whole of Nation 2.JPG

Oleh : Aimi Sani / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas

- Pemantapan pemartabatan bahasa Melayu akan semakin kukuh dengan adanya peranan pendekatan Whole of Nation yang melibatkan bukan sahaja agensi-agensi kerajaan, bahkan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, swasta dan semua lapisan masyarakat.

- Forum Bahasa Melayu ini dianjurkan untuk menyemarakkan lagi Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-37, selain menanamkan perasaan kecintaan terhadap bahasa Melayu.

- Menyuntik semangat cinta dan meningkatkan kesedaran bahawa bahasa Melayu dan tulisan Jawi khazanah warisan budaya bangsa Melayu yang perlu dipulihara dan dipantuni.

 

BERAKAS, Sabtu, 27 Mac. - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam menanai fungsi dan peranannya sebagai jentera pembangunan tamadun bangsa akan sentiasa memikirkan, merancang dan seterusnya melaksanakan pelbagai inisiatif dan usaha berimpak tinggi yang mampu mendukung kepada pemartabatan bahasa Melayu di negara ini.

"Kita sedia maklum bahawa bahasa Melayu sudah termaktub dalam Perlembagaan Negeri Brunei 1959, iaitu dalam bab 82(1) dan (2) yang mencatatkan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Malah penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi turut ditekankan melalui titah-titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta surat-surat keliling," jelas Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab semasa berucap pada Forum Bahasa Melayu, bertempat di Balai Sarmayuda, DBP, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis forum tersebut, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Awang Suip seterusnya menambah, seiring perkembangan zaman, bahasa Melayu juga tidak ketinggalan menghadapi cabaran dan tantangan. Menghadapi kemelut atau krisis bahasa yang digelar sebagai Wira Bahasa yang mampu 'mendangani' DBP dalam memperjuangkan dan memartabatkan bahasa Melayu.

Program dan aktiviti yang diungkayahkan DBP ujarnya, dalam memartabat dan memperkasa bahasa Melayu bukan hanya sekadar berbentuk penganjuran, tetapi mengimplikasikan kepada menanamkan kesedaran dan rasa tanggungjawab masyarakat untuk mencintai bahasa Melayu agar pendaulatannya tetap terjaga.

Pemantapan pemartabatan bahasa Melayu terang beliau, akan semakin kukuh dengan adanya peranan pendekatan Whole of Nation yang melibatkan bukan sahaja agensi-agensi kerajaan, bahkan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, swasta dan semua lapisan masyarakat.

Forum Bahasa Melayu ini dianjurkan dengan objektifnya untuk menyemarakkan lagi Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-37, selain menanamkan perasaan kecintaan terhadap bahasa Melayu, terutama dalam kalangan belia dan para pelajar, di samping memartabatkan bahasa Melayu agar keperkasaannya tidak akan pudar.

Antara pengisian forum ialah bagi memupuk nilai kecintaan dalam diri masyarakat di negara ini untuk berbahasa Melayu dan menghargai nilai-nilai murni bahasa Melayu, apatah lagi ia merupakan bahasa rasmi negara ini sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Negeri Brunei 1959 dan perlu dimartabatkan ke tingkat selayaknya.

Pemartabatan bahasa Melayu juga bukan hanya bentuk tulisan Rumi, tetapi juga merangkumi tulisan Jawi. Tulisan Jawi juga perlu diperkukuhkan sebagaimana tulisan Rumi. Tulisan Jawi juga merupakan identiti bangsa dan negara walaupun ia sudah menjadi satu kemestian dalam papan-papan tanda, nama-nama bangunan, kepala surat, kenderaan, papan iklan, poster dan seumpamanya tetapi ia masih belum mencukupi.

Oleh itu, dalam usaha mengangkat martabat bahasa Melayu dan juga tulisan Jawi sebagai cerminan identiti negara setentunya bergantung kepada penerimaan masyarakat dan generasi yang akan datang.

Oleh yang sedemikian, sebagai salah satu usaha jabatan dalam mengekalkan bahasa Melayu sejajar dengan Wawasan Brunei 2035, maka forum ini diadakan untuk menyuntik semangat cinta dan meningkatkan kesedaran bahawa bahasa Melayu dan juga tulisan Jawi merupakan khazanah warisan budaya bangsa Melayu yang perlu dipulihara dan dipantuni sebaiknya.

Forum bertajuk 'Bahasa Melayu Dalam Wawasan Negara' itu dipengerusikan oleh Pegawai Bahasa Kanan DBP, Dayang Hajah Sariani binti Haji Ishak.

Ahli panel forum terdiri dari Pegawai Bahasa di Bahagian Penyelidikan, Dokumentasi dan Pengiktirafan DBP, Dayang Ruhana binti Radin; Pensyarah Bahasa Melayu dan Linguistik, Program Pengajian Melayu, Fakulti Sastera dan Sains Sosial di Universiti Brunei Darussalam, Pengiran Haji Ashrol Rahimy bin Pengiran Damit; dan Timbalan Pengarah di Pusat Penyelidikan dan Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Awang Haji Mohammad Shahrol Azmi bin Haji Abdul Muluk.

Juga hadir, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan dan Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 4/8/2021 3:28 PM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 4/8/2021 3:54 PM by Nisbah Binti Hj Merusin