Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Timba Ilmu, Isi Masa Lapang

Berita dan Foto : Hernie Suliana Haji Othman

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 17 Mac. - Sempena musim cuti persekolahan, Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyusun beberapa kegiatan dan aktiviti yang bermanfaat bagi mengisi masa lapang dan menambah ilmu pengetahuan para pelajar melalui kegiatan luar sekolah.

Lawatan daripada pelajar-pelajar ALAF (Program Galakan Pembelajaran Sepanjang Hayat) ke perpustakaan merupakan kolaborasi Program Cuti Sekolah di antara DBP dan BIBD ALAF yang bertujuan untuk meraih kemahiran dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan dan sekali gus untuk menanamkan minat membaca dalam kalangan pelajar.

Sehubungan itu, rombongan seramai 44 orang terdiri daripada pelajar-pelajar, pegawai dan kakitangan BIBD ALAF mengadakan lawatan ke Perpustakaan DBP di ibu negara, diketuai oleh Pengurus BIBD ALAF, Dayang A'dhwatul Amanda binti Haji Abdul Kadir.

Kolaborasi tersebut membuka laluan yang lebih luas lagi untuk ahli-ahli perpustakaan dan para pelajar ALAF bagi mendapatkan kemudahan dan akses yang menyeluruh melalui program pertukaran latihan yang disusun oleh kedua-dua pihak.

Lawatan merupakan kesinambungan daripada taklimat keahlian perpustakaan bagi pelajar-pelajar ALAF yang diadakan sebelumnya pada Selasa, 16 Mac 2021 di Pusat Pengupayaan dan Kecemerlangan (CEE) BIBD ALAF.

Antara lain tujuan program dilaksanakan ialah bagi mengukuhkan lagi kerjasama dalam menyediakan kemudahan kepada para pelajar ALAF dan ahli perpustakaan, selain sebagai satu langkah dalam sama-sama membudayakan dan memupuk budaya membaca bagi golongan kanak-kanak dan muda-mudi di negara ini.

Di samping itu, dapat memanfaatkan fasiliti-fasiliti yang disediakan bagi meraih ilmu pengetahuan dan menjana minda yang kreatif dan inovatif, serta berkongsi dan bertukar-tukar pengalaman dan ilmu pengetahuan di antara kedua belah pihak.

Antara kegiatan yang dilaksanakan adalah kuiz interaktif mengenali budaya dan adat resam Negara Brunei Darussalam, lawatan ke Unit Rujukan Umum dan Rujukan Bruneiana. Unit Rujukan Bruneiana bertanggungjawab untuk mengumpulkan, menyusun dan memberikan akses kepada bahan-bahan mengenai Negara Brunei Darussalam (NBD) tidak mengira di mana ia diterbitkan dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan NBD.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 3/18/2021 10:34 AM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 3/18/2021 10:34 AM by Nisbah Binti Hj Merusin