Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Bazar Buku Berkonsepkan Kembara, Menyapa Komuniti Luar Daerah

Berita dan Foto : Noraisah Haji Muhammed

KUALA BELAIT, Sabtu, 13 Mac. - Bazar Buku berfungsi sebagai hab atau pusat sehenti yang menghimpunkan penerbit buku daripada institusi kerajaan bagi mewujudkan jalinan perhubungan dengan masyarakat setempat dan sekitarnya serta memupuk minat yang mendalam antara komuniti dengan buku.

Ia juga merupakan satu inisiatif dan komitmen Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam mendaya upayakan program membaca dan literasi maklumat, di samping menjayakan pengisian kegiatan bagi Festival Hari Kebangsaan 2021.

Pada masa yang sama, Bazar Buku 2021 menjadi platform kepada pemain industri kreatif untuk mengetengahkan naratif mereka melalui persembahan, pementasan lakon dan adaptasi yang bersesuaian dengan penampilan Rumah Pusaka oleh Kumpulan Putra Seni (KPS).

Bazar Buku berkonsepkan kembara, menyapa komuniti luar daerah 2.JPG

Sehubungan itu, Pelita Brunei berkesempatan menemu bual Pemangku Ketua Unit Pemasaran Seranta dan Perhubungan Awam, DBP, Dayang Nor Rafidah binti Haji Mokhtar yang antaranya menjelaskan, di mana Bazar Buku merupakan satu jenama baharu pameran dan jualan yang berkonsep kembara atau menjengah keluar daerah bagi menyapa komuniti dengan mengangkat tema 'Kembara Buku Santuni Masyarakat'.

"Bazar seumpama itu akan diungkayahkan sebagai aktiviti tahunan DBP bersempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Sambutan Bulan Bahasa," ujarnya.

Bazar Buku 2021 juga salah satu usaha bagi menarik perhatian orang ramai dengan mengadakan bazar dan aktiviti, di samping memberi kupon kepada peserta aktiviti dan memberi peluang kepada mereka untuk membeli buku-buku terbitan DBP, di mana semasa bazar ini, sebanyak 11 buah buku baharu terbitan DBP turut dipromosikan.

Bazar Buku berkonsepkan kembara, menyapa komuniti luar daerah 1.JPG

Peserta jualan bazar terdiri daripada penerbit kerajaan, institusi pengajian tinggi, toko buku dan syarikat swasta tempatan, DBP, Pusat Sejarah Brunei, Jabatan Muzium-Muzium Brunei, Jabatan Mufti Kerajaan, Perpustakaan Islam Brunei Darussalam, Pusat Da'wah Islamiah, Penerbit UNISSA, Penerbit KUPU SB, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Syarikat Marleina, MindPlus Trading dan MindTrex Academy.

Antara objektif penganjuran Bazar Buku berkenaan adalah untuk melahirkan masyarakat yang bermaklumat, berpendidikan, berpengetahuan, berkualiti dan berwawasan.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 3/15/2021 10:47 AM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 3/15/2021 10:47 AM by Nisbah Binti Hj Merusin