Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman
/ Foto : Ak. Mohd. Aminol Adi
Azraie Pg. Haji Nikman
TEMBURONG, Jumaat, 5 Mac. -
Bazar Buku 2021 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan satu
inisiatif dan komitmen DBP dalam mendayaupayakan program membaca dan
literasi maklumat di samping menjayakan pengisian kegiatan bagi Festival
Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NBD), Tahun 2021.
Bazar
Buku yang julung kalinya diadakan pada tahun ini merupakan satu jenama
baharu pameran dan jualan yang berkonsep kembara atau menjengah keluar
daerah, iaitu menyapa komuniti dengan mengangkat tema 'Kembara Buku
Santuni Masyarakat'.
Antara objektif penganjuran adalah untuk
melahirkan masyarakat yang bermaklumat, berpendidikan, berpengetahuan,
berkualiti dan berwawasan.
Sehubungan itu, Majlis Perasmiannya
berlangsung di Dewan Belalong, Pekan Bangar, hari ini dan disempurnakan
oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral
(B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful
Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Juga hadir pada majlis perasmian tersebut,
Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Emran bin
Sabtu selaku Penghulu Mukim Bokok; Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan dan
Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dayang
Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari; Timbalan Setiausaha Tetap,
(Kebudayaan), KKBS, Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah dan
Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin
Pengiran Haji Hashim.
Majlis juga diselajurkan dengan
penandatanganan poster kenangan Bazar Buku dan diikuti dengan pelancaran
11 buah buku terbaharu terbitan DBP dalam Kategori Sastera yang terdiri
dari lapan sajak, dua skrip drama dan satu cerpen di mana hasil
penulisan daripada beberapa orang penulis tanah air termasuk tiga orang
penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (The S.E.A. Write Award).
Pemangku
Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab selaku Pengerusi Majlis,
dalam ucapannya berkata bahawa penganjuran ini mencatat satu sejarah,
iaitu pameran dan jualan buku, sebagai kegiatan Festival Hari Kebangsaan
NBD dan InsyaaAllah akan diadakan setiap tahun sebagai program tahunan
DBP.
Melalui platform Bazar Buku tambahnya, pasti membolehkan buku
dan ilmu, kekal menjadi subjek dan agenda terpenting anjuran DBP, dalam
memaknai pengisian acara Hari Kebangsaan dan sekali gus menterjemahkan
keprihatinan tinggi Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri
Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui KKBS
dan DBP, untuk berkomitmen dalam memperkasa pembudayaan literasi
kebangsaan dan membaca khususnya dalam kalangan masyarakat dan penduduk.
Para
peserta jualan Bazar Buku 2021 pada tahun ini terdiri daripada penerbit
kerajaan, institusi pengajian tinggi, toko buku dan syarikat swasta
tempatan, iaitu DBP, Pusat Sejarah Brunei, Jabatan Muzium-Muzium Brunei,
Jabatan Mufti Kerajaan, Perpustakaan Islam Brunei Darussalam, Pusat
Da'wah Islamiah (PDI), Penerbit Universiti Islam Sultan Sharif Ali
(UNISSA), Penerbit Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU
SB), Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Syarikat Marleina,
MindPlus Trading dan MindTrex Academy.
Dalam masa yang sama,
Bazar Buku 2021 juga menjadi platform kepada pemain industri kreatif
untuk mengetengahkan naratif mereka melalui persembahan, pementasan
lakonan dan adaptasi yang bersesuaian dengan penampilan Rumah Pusaka
oleh Kumpulan Putra Seni (KPS).
Selain itu, pihak penganjur turut
mengundang Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terdiri daripada
Konsortium Muallafpreneurs di bawah kendalian PDI yang mempamerkan dan
menjual kraf tangan; Pusat Pembangunan Belia (PPB) yang mengetengahkan
bidang keusahawanan para belia dan beberapa vendor jualan serta 'food
truck' makanan, minuman di luar Dewan Belalong.
Sehubungan itu, orang
ramai dialu-alukan untuk berkunjung ke Bazar Buku 2021 yang diadakan di
dua daerah iaitu Daerah Temburong bertempat di Dewan Belalong, Pekan
Bangar bermula pada Sabtu hingga Ahad, 6 hingga 7 Mac 2021 bermula pada
jam 8.30 pagi hingga 4.00 petang dan di Daerah Belait bertempat di KB
Sentral, Kuala Belait bermula pada Sabtu dan Ahad, 13 dan 14 Mac 2021
bermula pada jam 10.00 pagi hingga 9.30 malam.
Dipetik daripada Pelita Brunei