Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BERAKAS, Rabu, 3 Mac. - Awang
Riduwan bin Johari yang mempersembahkan sajak bertajuk 'Kemerdekaan'
karya K.Manis dan Dayang Rozina binti Awang Haji Salim dengan sajak
'Narasi Negeriku' karya A. Hashim Hamid masing-masing muncul juara bagi
Kategori 'A' dan 'B' pada Peringkat Akhir Sayembara Deklamasi Puisi
Merdeka Peringkat Kebangsaan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari
Kebangsaan (HK) Negara Brunei Darussalam (NBD) Ke-37, Tahun 2021.
Manakala
naib juara Kategori 'A' disandang oleh Awang Mohammad Khairol Nazwan
bin Haji Karim dengan sajak 'Narasi Negeriku', sementara Dayang Lenna
Norsusilanita binti Bahari bagi Kategori 'B' dengan persembahan sajak
bertajuk 'Anak Jati Merdeka' karya HJR.
Tempat ketiga Kategori
'A' pula dimenangi oleh Awang Haji Osman bin Haji Damit dengan sajak
'Tanah Air' karya Badaruddin H.O dan Dayang Hajah Armah binti Haji Bair
memenangi tempat ketiga Kategori 'B' dengan sajak 'Merdeka Simfonia'
karya Yahya M.S.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya
menyempurnakan hadiah kepada para pemenang, Menteri Kebudayaan, Belia
dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji
Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji
Abidin.
Seramai 22 peserta yang terdiri dari 12 peserta bagi Kategori
'A' Lelaki dan Kategori 'B' Perempuan, dan sebanyak 11 penyertaan yang
menyertai pertandingan peringkat saringan yang diadakan pada Khamis, 25
Februari lepas, dan hanya lima peserta bagi setiap kategori mara ke
peringkat akhir pertandingan.
Sayembara anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka
(DBP) melalui Bahagian Sastera dan Majalah ini diadakan adalah
bertujuan menyemarakkan semangat HK melalui sajak dalam bahasa Melayu.
Pelaksanaan
sayembara ini merupakan satu inisiatif DBP dalam mengapresiasi karya
penulis-penulis sastera tempatan yang diterbitkan oleh DBP sebagai satu
kreativiti seni membaca, memahami dan menghayati sesebuah karya sastera.
Sajak-sajak
yang dipertandingkan mengangkat tema nasionalisme dan patriotisme
sesuai dengan objektif sayembara, iaitu menyemarakkan Sambutan Ulang
Tahun HK NBD Ke-37, Tahun 2021.
Majlis juga diselajurkan dengan
penyampaian hadiah kepada para pemenang Peraduan Menulis Cerpen dan
Kritikan Bahana DBP, 2019 yang disampaikan oleh tetamu kehormat majlis.
Bagi
Peraduan Menulis Cerpen, hadiah Penghormatan Pertama diraih oleh Dayang
Hajah Nur Hamizah binti Haji Samihon dengan cerpen 'Sepasang Sayap di
Mandian Puteri'; tempat kedua diberikan kepada Awangku Mohd. Noor Sham @
Awangku Hidie bin Pengiran Hidup, iaitu cerpen bertajuk 'Paradok' dan
tempat ketiga ialah Dayang Suryani binti Haji Ariffin dengan cerpen
'Wajah Luka Aiman'.
Sementara itu, dalam Peraduan Menulis
Kritikan Sastera Bahana, DBP, 2019, hadiah Penghormatan Pertama
diberikan kepada Awang Syahwal Nizam bin Haji Yani; tempat kedua
disandang oleh Dayang Siti Nadhrah binti Norzelan; manakala tempat
ketiga, Awangku Mohd. Noor Sham @ Awangku Hidie bin Pengiran Hidup.
Juga
hadir, Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab.
Dipetik daripada Pelita Brunei