Oleh : Haniza Abdul Latif / Infografik : Ihsan Dewan Bahasa dan Pustaka
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 2
Mac. - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Cawangan Temburong,
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan akan menganjurkan Pertandingan
E-Pantun sebagai salah satu usaha DBP untuk menggalakkan dan mendekatkan
orang ramai dengan perpustakaan terutama sekali bagi golongan
kanak-kanak dan muda-mudi tetapi tidak juga ketinggalan bagi golongan
dewasa.
Aktiviti tersebut turut diadakan untuk menggerakkan program
perpustakaan secara dalam talian, di samping untuk merangsang kreativiti
dan imaginasi remaja dan belia dalam penceritaan.
Terma
dan syarat pertandingan ialah terbuka kepada Warganegara dan Penduduk
Tetap Negara Brunei Darussalam (NBD) yang berumur 12 tahun ke atas;
setiap penyertaan hendaklah terdiri daripada ahli perpustakaan; reka
bentuk yang dihantar akan menjadi hak milik DBP dan DBP berhak untuk
menerbitkan dalam apa jua bentuk.
DBP berhak untuk mengubahsuai reka bentuk
tersebut tanpa persetujuan peserta berkenaan; semua penyertaan yang
diterima selepas tarikh tutup tidak akan dilayan; reka bentuk hendaklah
asli dan belum pernah disiarkan dari mana-mana bahan cetakan atau sumber
internet; dan hendaklah ada dua peserta untuk menyertai.
Tema
bagi pertandingan pantun adalah Aidiladha dan hanya pantun jenis empat
kerat yang dibenarkan, selain hanya menggunakan bahasa Melayu standard
dan dua orang pemantun hendaklah berbalas pantun sebanyak empat rangkap
bagi setiap seorang iaitu tidak kurang dari tiga rangkap dan tidak
melebihi lima rangkap.
Pantun yang dijual merupakan soalan dan
pantun yang dibeli merupakan jawapan dan hendaklah mempunyai dua baris
pembayang dan dua baris maksud serta rima hujung baris mestilah
berpolakan "a", "b", "a", "b".
Selain itu, pantun yang dikarang bukanlah
saduran dari mana-mana karya yang pernah diterbitkan dan pemantun adalah
dilarang menggunakan perkataan yang kurang sopan, menyentuh isu
perkauman, politik, menggunakan dialek, bahasa pasar, singkatan atau
bahasa asing.
Penyertaan boleh dihantar melalui WhatsApp
melalui talian +673 8266880 atau e-mel ke
'perpustakaan.temburong@dbp.gov.bn' dengan maklumat lengkap, iaitu Nama,
Nombor Kad Pengenalan, Nombor Telefon, E-mel, Subjek : Pertandingan
E-Pantun.
Bagi sebarang pertanyaan, hubungi talian +673 5221281 atau
layari laman-laman sosial Instagram dan Facebook 'Dbplibrarytemburong'.
Tarikh tutup penyertaan ialah pada 14 Mac 2021.
Dipetik daripada Pelita Brunei