Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman
/ Infografik : Perpustakaan
Dewan Bahasa dan Pustaka
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 2
Mac. - Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian
Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) akan menganjurkan Pertandingan
Bicara Berirama dengan tema 'Menjayakan Wawasan Negara' yang terbuka
bagi kanak-kanak berumur 12 hingga 18 tahun terdiri daripada penuntut
sekolah menengah kerajaan atau bukan kerajaan, maktab, institusi
pendidikan tinggi, persatuan atau kelab.
Peringkat saringan akan diadakan pada 5 dan 6 April 2021 di
mana tempat pertandingan akan dimaklumkan kemudian oleh pihak penganjur.
Peringkat saringan dan peringkat akhir akan menyampaikan Bicara
Berirama dalam tempoh 12 hingga 15 minit sahaja dan tiga minit untuk
penyusunan di atas pentas dan keluar masuk pentas. Hanya lima kumpulan
yang mendapat markah tertinggi layak ke peringkat akhir.
Setiap kumpulan yang bertanding hendaklah
seramai 15 hingga 20 orang termasuk seorang konduktor dan dikehendaki
memakai pakaian seragam dan bersesuaian mengikut tema Pertandingan
Bicara Berirama yang ditetapkan. Setiap kumpulan dikehendaki menggunakan
bahasa Melayu dalam menyampaikan Bicara Berirama.
Peserta yang belum menjadi ahli hendaklah
mengisi borang yang disediakan dengan menyertakan salinan kad pengenalan
pintar. Skrip hendaklah dihadapkan kepada pihak penganjur berserta
borang penyertaan dan gambar berukuran pasport sebelum tarikh tutup.
Tarikh tutup bagi menghantar borang adalah
pada Khamis, 11 Mac 2021 jam 4.00 petang. Borang penyertaan bolehlah
didapati di setiap cawangan Perpustakaan DBP yang berdekatan atau
melalui laman sesawang 'www.librarybrunei.gov.bn/library/dbp/borang/'.
Borang yang telah lengkap diisi bolehlah
dikembalikan ke kaunter Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka yang
berdekatan atau melalui e-mel ke alamat 'perpustakaan.bsb@dbp.gov.bn'
atau faks menerusi talian +673 2224763 atau Hotline menerusi talian +673
8266880.
Bagi sebarang pertanyaan
bolehlah menghubungi Setiausaha Pertandingan Bicara Berirama 2021
Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka, KKBS, menerusi talian + 673
2235501 sambungan 402 atau melalui talian Hotline +673 8266880.
Dipetik daripada Pelita Brunei