Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Lahir Bakat Baharu, Tambah Khazanah Sastera Tanah Air

Lahir bakat baharu, tambah khazanah sastera tanah air 1.JPG

Oleh : Khartini Hamir / Foto : Azmah Haji Ahad

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 26 Januari. - Dari penganjuran Peraduan Karang Syair Sejarah dan Tulis Fiksi Mini ini, pihak DBP dapat menggunakan medium sastera bagi mengangkat dan memartabatkan nilai seni penulisan sastera.

Di samping turut memupuk strategi utamanya untuk membentuk pemikiran masyarakat yang melihat bahawa penulisan bukan hanya sekadar mencatat, tetapi merakam sejarah, peristiwa, cantuman budaya bangsa, pertembungan di antara kreatif dan fakta yang memberikan maklumat kepada masyarakat.

Justeru, peraduan tersebut diadakan sebagai salah satu kaedah alternatif dan sumber interaktif kepada penggemar juga penggiat sastera untuk mengikuti perkembangan sastera tanah air, di samping arus perdana perkembangan Revolusi Industri 4.0.

Sehubungan itu, berlangsung Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan Karang Syair Sejarah dan Tulis Fiksi Mini, yang diadakan di Bilik Pateh Berbai, DBP, Berakas, di sini, disempurnakan oleh Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab.

Memenangi tempat pertama bagi Peraduan Karang Syair Sejarah ialah Dayang Hajah Shaharah binti Dato Paduka Haji Abd. Wahab, dengan tajuk syairnya, 'Jambatan Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien (Jambatan Arkitek Brunei Moden); tempat kedua disandang oleh Dayang Serkartini binti Haji Omar, dengan tajuk syair, 'Jambatan Laila Kasih'; dan tempat ketiga, Dayang Hajah Maisalamah binti Rajab, dengan syairnya, 'Jambatan Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien'.

Sementara menjuarai bagi Peraduan Tulis Fiksi Mini disandang oleh Awangku Mohd. Noor Sham @ Awangku Hidie bin Pengiran Hidup, dengan tajuk karyanya, 'Ribut'; menduduki tempat kedua ialah Dayang Hajah Nur Hamizah binti Haji Samihon, dengan tajuk fiksi mininya, 'Kedai si Azam Tutup'; dan tempat ketiga disandang oleh Dayang Nur Dinani binti Mat Salleh, dengan tajuknya 'Simpang 69'.

Para pemenang, masing-masing menerima wang tunai, baucer pembelian buku dan langganan Majalah Bahana (selama setahun).

Peraduan dianjurkan bertujuan untuk mendaulat, memartabatkan dan memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ke arah mendukung visi juga misi DBP, melalui karya-karya sastera yang berkualiti.

Di samping, ia turut meluaskan jaringan komunikasi di antara DBP bersama masyarakat, khususnya pengikut-pengikut media sosial juga melahirkan bakat-bakat baharu, terutamanya penulis muda dalam menambah khazanah sastera tanah air.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 1/30/2021 3:32 PM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 1/30/2021 3:32 PM by Nisbah Binti Hj Merusin