BERAKAS,
Isnin, 14 Disember. - Para penulis, sasterawan, penyair,
pujangga dan seumpamanya mempunyai peranan yang amat mustahak dalam
proses pembinaan negara bangsa itu.
Para penulis memiliki daya fikir dan
intelek yang tinggi serta berani untuk menggarap idea besar bagi
sama-sama mendukung kepada pembangunan dan kemajuan negara.
Pengayaan
khazanah ilmu melalui penulisan dalam bahasa Melayu bukan sahaja
memperlihatkan keagungan peradaban dan tamadun Melayu malah ia juga
bertindak sebagai bukti kepada kekuatan dan pengembangan bahasa serta
persuratan Melayu.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang
Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin
Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin menyatakan
perkara tersebut semasa menyampaikan ucapannya pada Majlis Bersama
Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (The S.E.A Write Award)
berlangsung di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Berakas.
Yang
Berhormat berkata, Alhamdulillah, kita amat bersyukur pelbagai usaha dan
dukungan dilaksanakan oleh DBP, terutamanya dalam melahirkan penulis,
penyair dan penggiat sastera yang mapan dan prolifik sehingga mampu
meraih pengiktirafan serta penghargaan baik dalam negara mahupun luar
negara.
Pencapaian itu tambahnya, dapat kita raih apabila penulis dan
karya tanah air diangkat secara berterusan dengan adanya pengiktirafan
dan pemberian anugerah di peringkat serantau, khususnya dengan The
S.E.A. Write Award yang terkenal dan berprestij tinggi. Peluang inilah yang perlu kita pertahankan
sebagai satu platform bagi kita untuk terus memperkenalkan dan
mempromosikan karya-karya tempatan.
"Alhamdulillah, dengan adanya
permuzakarahan pada hari ini, ianya merupakan satu tanda penghormatan
dan penghargaan abis peramba / kaola / saya kepada penerima-penerima
Anugerah Penulis Asia Tenggara yang telah banyak berbakti dan berjasa
menyumbangkan baik tenaga mahupun pemikiran untuk pembangunan dan
pembinaan bangsa," ujar Yang Berhormat.
Majlis pada hari ini,
jelas Yang Berhormat, juga cukup bermakna kerana banyak peluang keemasan
yang akan diperoleh dan dapatkan secara terangkum iaitu satu lakaran
sejarah diabadikan apabila penerima-penerima Anugerah Penulis Asia
Tenggara dari tahun 1986 hingga 2019, penulis prolifik, penulis mapan
dan penulis muda dihimpunkan dalam satu majlis.
Yang Berhormat berkata,
dalam menjunjung hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda
Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kita amat
memerlukan para penerima anugerah ini untuk kita belajar, menimba
pengetahuan dan pengalaman serta mendapatkan saranan dan nasihat bagi
merangka hala tuju serta strategi pengukuhan, pelestarian dan penyebaran
bahasa serta persuratan Melayu di negara ini.
Sepertimana yang
dititahkan baginda ujarnya, peradaban dan tamadun bangsa itu dibangunkan
dengan bahasanya sendiri. Ini bermakna peradaban dan ketamadunan yang
tinggi itu dapat dilihat bagaimana bangsa menggunakan bahasa sebagai
medium untuk menyatakan dan menyampaikan pemikiran.
Maka
upaya pembangunan tamadun bangsa itu sangat memerlukan daya fikir
masyarakat yang disampaikan dengan bahasa dan salah satu penyampaian itu
adalah melalui penulisan.
Menurut Yang Berhormat lagi, bagi
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) serta BDP secara
khususnya, pemikiran, pendapat dan saranan daripada penerima-penerima
anugerah pada hari ini mempunyai nilai yang tidak ada bandingnya bagi
kita untuk merangka tindakan strategik dalam sama-sama membina dan
membangun tamadun bangsa Melayu secara berterusan dan berkesan.
Di
samping itu, tambahnya, di sinilah juga ruang dan peluang bagi
memperkenalkan penerima-penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara dengan
lebih dekat lagi kepada generasi penerus terutamanya para belia, remaja
dan kanak-kanak.
"Oleh yang demikian, amat wajar bagi kita
untuk benar-benar memanfaatkan platform yang sangat unik ini,
mengukuhkan lagi jalinan silaturahim dan bagi penulis-penulis muda kita
secara khususnya, untuk bersua dan berkenalan dengan para penulis yang
tersohor demi menjamin hubungan antara generasi kini dan yang akan
datang dalam mengembangkan bahasa Melayu sebagai jentera kepada
pembangunan tamadun bangsa secara berterusan," terang Yang Berhormat.
Dipetik daripada Pelita Brunei